17November2018

Guan Eng bebas... menang tapi belum tentu bersorak

Tindakan Jabatan Peguam Negara menarik balik kes rasuah melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengejutkan seluruh negara sekaligus mendatangkan perspektif di kalangan rakyat telah berlaku selective prosecution atau pendakwaan terpilih di dalam kes tersebut.

Ini kerana kes tersebut sebenarnya sudah berjalan di mana seramai 21 saksi sudah dipanggil memberikan keterangan dan tarikh perbicaraan sudah ditetapkan.

Adakah Peguam Negara Tommy Thomas yang merupakan peguam peribadi Lim Guan Eng sejak 10 tahun lalu telah menyalahgunakan kuasanya untuk menggugurkan kes jual beli banglo pada harga di bawah pasaran semasa antara bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan juga ahli perniagaan Phang Li Koon.

Jabatan Peguam Negara perlu memberi penjelasan lanjut kepada rakyat Malaysia mengapa kes Lim Guan Eng itu digugurkan dan Menteri Kewangan itu dilepas dan dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Susulan keputusan pengguran kes itu, pelbagai pihak memberikan pelbagai reaksi termasuk mahukan RCI ditubuhkan bagi menyiasat kes itu secara terperinci, menggesa attorney general (AG) meletak jawatan dan kes itu dianggap titik hitam dalam sejarah perundangan negara.

PAS pula mahukan kertas putih dibuka di parlimen bagi menjelaskan secara terperinci penarikan balik kes melibatkan Guan Eng.

Terdapat lebih 18,000 peguam di negara ini dan adakah mereka semua bersetuju dengan tindakan AG ini.

Bekas Presiden Majlis Peguam, Zainur Zakaria tidak berpuas hati dengan kenyataan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria berhubung keputusan nolle prosequi ke atas pertuduhan Guan Eng dan Li Koon.

Peguam terkemuka Datuk Abu Backer Sidek pula menegaskan AG perlu meletak jawatan kerana menyalahgunakan kuasa yang ada. Sementara Peguambela dan Peguamcara Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz pula mendakwa kenyataan Mohamad Hanafiah Zakaria menimbulkan lebih banyak persoalan yang memerlukan satu RCI perlu ditubuhkan. Malah Nurul Izzah turut mahu penjelasan kenapa Guang Eng dibebaskan atas isu rasuah tersebut.

Bekas Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali pula berpendapat peguam negara yang baharu mungkin memiliki pandangan yang berlainan tetapi pada amalan biasa jika saksi sudah ramai dipanggil jarang sekali Pejabat Peguam Negara akan melayan sebarang pencelahan.

Bekas Menteri Besar Selangor Dr. Mohamad Khir Toyo yang mempunyai persamaan dengan kes Guan Eng pada 2007 telah dihukum tanpa sebarang campur tangan Pejabat Peguam Negara semasa kes beliau berjalan dan mahkamah dapat mempertimbangkan kes tersebut sehingga Mohamad Khir Toyo didapati bersalah.

Lim Guan Eng telah dibebaskan oleh perundangan tetapi beliau tidak akan bebas oleh mahkamah rakyat. Guan Eng hanya menang sorak tetapi belum tentu terus bersorak.

Rakyat Malaysia bukannya bodoh sedangkan BN yang dituduh tetapi sampai sekarang masih lagi tidak dapat dibuktikan melakukan kesalahan pun, boleh tumbang, inikan kes melibatkan beliau yang mempunyai ramai saksi dan reaksi sangat negatif.-6/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 450  tetamu dalam talian