15November2018

DoJ rancang fail pelbagai dakwaan isu 1MDB

Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) merancang untuk memfailkan pelbagai dakwaan jenayah berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), dakwaan itu akan dibuat terhadap dua bekas pegawai bank Goldman Sachs dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Laporan yang memetik sumber itu menjelaskan tindakan memfailkan dakwaan bagi kes itu, sekali gus akan menjadi tuduhan jenayah pertama dibuat DoJ.

Agensi berita itu mendakwa bekas rakan Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner dijangka mengaku bersalah kerana berkonspirasi untuk mengubah wang haram selain melanggar Akta Amalan Rasuah Asing.

“Dia akan dilucuthak AS$43.7 juta (RM182.64 juta),” menurut laporan itu.

WSJ melaporkan bahawa Jho Low yang menjadi dalang di sebalik penyelewengan dana 1MDB dengan kali terakhir dilihat di China turut akan didakwa.

Pendakwa raya AS sebelum ini pernah memfailkan saman aset sivil untuk merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan dana dicuri daripada 1MDB.

Bagi memperoleh maklumat lanjut, WSJ cuba untuk menghubungi peguam Leissner namun gagal.

Pada Disember lalu, Peguam Negara AS, Jeff Sessions menyifatkan isu 1MDB ialah ‘kleptokrasi paling teruk’.

Ia selepas beliau mendedahkan hampir separuh daripada AS$3.5 bilion (RM14.18 bilion) yang dirampas negara itu berkaitan tindakan penguatkuasaan ke atas 1MDB.-2/11/2018 *gambarfail

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 510  tetamu dalam talian