18Ogos2018

Bolehkah Menteri janji SST tidak akan membebankan rakyat?

Kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sah sifar berkuatkuasa pada 1 Jun 2018 yang lalu.

Namun begitu, harga barang tetap juga tidak turun. Teringat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diadakan lagi Dato Saifuddin Nasution menjaja cerita bahawa GST merupakan punca kenaikan harga barang dan kenaikan kos sara hidup.

Tetapi setelah Dato’ Saifuddin Nasution memegang jawatan sebagai Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), beliau membuat pusingan U dengan mengakui sendiri GST bukan sebab utama harga barang naik.

Apa sudah jadi?

Jelas dapat kita lihat sendiri kenyataan Dato Saifuddin boleh berubah-ubah, hari ini kata lain esok kata lain.

Jadi jika cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bakal diwujudkan semula apakah jaminan yang boleh dibuat oleh Dato Saifuddin Nasution bahawa SST ini tidak membebankan rakyat.

Benar SST merupakan cukai yang dikenakan pada satu aras sahaja dimana ia hanya ditanggung oleh pengilang. Dan cukai tersebut boleh dianggap sebagai kos kepada sesuatu perniagaan.

Namun apa yang kita perlu tahu adakah cukai tersebut diserap oleh pengilang sahaja atau ia akan dikembalikan semula kepada pengguna?

Sebelum ini cukai GST dinyatakan dalam resit pembelian jadi rakyat sedia maklum akan cukai yang dikenakan kepada mereka.

Tetapi berbeza dengan SST, cukai berkenaan tidak boleh dilihat sama ada benar atau tidak 10 peratus cukai jualan dan 6 peratus cukai perkhidmatan itu dikenakan kepada pengilang sahaja. Ini yang menimbulkan banyak tanda tanya dalam kalangan rakyat.

Lebih penting lagi apabila SST dilaksanakan nanti, apakah jaminan Dato Saifuddin Nasution kepada rakyat bahawa harga barang akan menurun?

Sebagai rakyat saya mendesak Menteri KPDNKK untuk menjawab kesemua persoalan ini dan mereka perlu berjanji bahawa pelaksanaan SST kelak tidak akan membebankan rakyat.-18/7/2018


Penulis merupakan Persatuan Pemikir Muda Johor

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 505  tetamu dalam talian