14Disember2018

BN perlu agresif untuk tawan semula Parlimen Miri

Parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak perlu berusaha habis-habisan untuk memenangi semula kerusi parlimen Miri, yang pernah menjadi kubu kuat BN namun terlepas ke tangan pembangkang buat pertama kali pada 2013, dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata berikutan hubungan antara semua empat parti komponen BN iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kembali pulih selepas diselubungi konflik dalaman, peluang untuk memenangi semula kerusi parlimen Miri kelihatan cerah.

"Kita mesti memenangi semula kerusi parlimen Miri supaya kita dapat bersama-sama membangunkan kawasan ini untuk generasi akan datang," katanya pada majlis jamuan malam Tahun Baharu Cina anjuran jawatankuasa perhubungan SUPP parlimen Miri dan Sibuti, malam tadi.

Sehubungan itu, Abang Johari, yang juga Pengerusi BN negeri, berkata penduduk Miri perlu berfikir secara rasional pada PRU14 oleh kerana keputusan mereka itu akan menentukan masa depan Miri selain pembangunan bahagian Miri.

"Keempat-empat pemimpin dalam parti komponen BN Sarawak adalah anak Sarawak, kami akan mempertahankan hak negeri ini berdasarkan Perlembagaan," katanya.

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa perhubungan SUPP bagi parlimen Miri dan Sibuti Datuk Lee Kim Shim berkata bagi PRU14 , SUPP telah membentuk sebuah jawatankuasa pilihan raya dengan jentera pilihan raya kini sedia untuk digerakkan sebaik sahaja kempen bermula.

"Bersama-sama dengan parti komponen kami PBB, PRS dan PDP, kami akan pastikan kita memenangi semula kerusi parlimen Miri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Lee yang juga Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak berharap kerajaan negeri akan mengkaji kemungkinan menjadikan sungai Miri berhampiran Hotel Pullman ke Kampung Wireless sebagai kawasan tebingan, sama seperti Tebingan Kuching, untuk menarik kedatangan pelancong.

Beliau turut memohon ketua menteri supaya mempertimbangkan untuk menjadikan Bandaraya Miri sebagai pangkalan bagi Petroleum Sarawak Berhad (Petros), iaitu syarikat minyak dan gas milik Sarawak.

"Miri merupakan pusat bagi industri minyak dan gas selama lebih beratus-ratus tahun, dan menjadi harapan agar Petros akan melaksanakan peranan penting dalam memajukan industri minyak dan gas di Sarawak, terutamanya di Miri,dengan mewujudkan lebih banyak peluang dan pekerjaan," katanya.-19/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 540  tetamu dalam talian