15November2018

Apa pendirian kerajaan negeri Johor terhadap ICERD?

Isu mengenai cadangan kerajaan untuk menandatangani Konvensyen Antarabangsa berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kian hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak.

Perkara ini tercetus ekoran kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Waytha Moorthy bahawa Kerajaan Pakatan Harapan akan meratifikasi ICERD pada suku pertama awal tahun hadapan.

Biarpun begitu, sehingga ke hari ini Menteri Besar Johor, Dato’ Osman Sapian dan kerajaan negeri masih tidak menyatakan pendirian mereka terhadap isu ini. Seperti kita tahu sudah pelbagai pihak yang menyatakan pendirian mereka untuk menolak ratifikasi ICERD. Antaranya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan NGO yang lain.

Persoalannya, rakyat Johor ingin tahu apakah pendirian Menteri Besar Johor, Dato’ Osman Sapian dan kerajaan negeri mengenai ratifikasi ICERD? Menyokong atau menolak?

Kita sedia maklum sudah berpuluh tahun lamanya kerajaan sebelum ini tidak menandatangani ratifikasi ICED. Jadi jika benar kerajaan Pusat bersetuju meratifikasi ICERD ini tidak mustahil peranan Raja-raja Melayu, agama Islam dan orang-orang Melayu serta anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak yang menerima keistimewaan bertahun lamanya akan tergugat. Malah ia juga boleh mengubah struktur dan acuan negara seandainya isu ini masih dipandang sepi oleh para pemimpin dan rakyat pada hari ini.

Jadi memandangkan Osman Sapian sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Johor yang kononnya memperjuangkan nasib pribumi, adakah beliau benar-benar faham tentang maksud ‘Pribumi’?

Sepatutnya beliau lebih faham dan cakna tentang maksud ‘pribumi’ di mana beliau selaku Presiden PPBM Negeri Johor perlu mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera secara tidak langsung perlu menolak ratifikasi ini. Bukannya menyokong dalam diam setiap tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan Pusat.

Sebagai pemimpin dan wakil kepada rakyat negeri Johor, Osman Sapian perlu berani menyatakan pendiriannya soal ratifikasi ICERD bukannya hanya berdiam diri seolah-olah bersetuju dengan apa sahaja keputusan kerajaan Pusat. Namun, jika pendirian beliau menolak ratifikasi ini maka nyatakan kepada rakyat Johor bahawa beliau menolak sekeras-kerasnya ratifikasi ICERD.

Setidak-tidaknya rakyat Johor sedia maklum akan pendirian Menteri Besar Johor dan kerajaan negerinya soal isu yang kian meruncingkan ini. Malah Osman Sapian juga perlu sentiasa ingat akan titah Tuanku Sultan Johor bahawa baginda mahukan Johor sentiasa jadi Johor.

Maka, negeri Johor perlu ada pendirian tersendiri mengenai ratifikasi ICERD kerana ini berkait rapat juga dengan nasib rakyat Johor pada masa hadapan. Akhir sekali, rakyat Johor ingin tahu apakah tindakan dan pendirian Menteri Besar Johor dan kerajaan Negeri berhubung dengan ratifikasi ICERD ini?-8/11/2018


Penulis merupakan penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 510  tetamu dalam talian