18Oktober2018

10 janji Pakatan Harapan yang tidak ditunaikan lagi...

Selepas 11 hari Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan, sudah banyak janji dalam manifesto mereka gagal dilaksanakan seperti mana kata Pengerusinya yang juga Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.

Kalau mengikuti secara dekat cara pentadbiran kerajaan PH yang pada awal 11 hari dikemudi oleh Mahathir secara solo dengan penglibatan besar Majlis Penasihat Kerajaan tanpa kabinet yang lengkap. Sepanjang tempoh berkenaan, hanya Mahathir sahaja yang sudah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad ke-V.

Mungkin kerana ghairah, mentadbir negara secara solo sampai Mahathir terlepas pandang kira-kira sepuluh perkara-perkara ini.

Pertama, sebelum hari mengundi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 (PRU14), Mahathir dalam ceramah kempen kata hendak wujudkan 1 juta jawatan pekerjaan baru tapi yang kedengaran di sana sini di pihak kerajaan PH, hanyalah hendak tamatkan perkhidmatan kakitangan awam terutamanya kakitangan kontrak.

Ada lebih 500 orang yang didakwa lantikan politik secara kontrak ditamatkan perkhidmatan secara serta-merta. Dalam sidang media Mahathir, beliau berkata ada 17,000 kakitangan dengan lantikan sama, perlu diuruskan atau dalam erti kata lain diberhentikan juga.

Jika ada peluang pekerjaan pun, bukan orang baru yang tidak bekerja akan mengisinya, sebaliknya akan diisi oleh rakyat yang hilang kerja akibat diberhentikan oleh kerajaan yang baru ini.

Kedua, kerajaan pakatan berjanji dalam masa 100 hari, akan memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan harga barang akan turun. Selepas hampir dua minggu, GST tidak pun dimansuhkan sebaliknya hanya dikurangkan kepada kadar sifar peratus sahaja.

Apabila rakyat menuntut janji itu, penyokong mereka akan kata “Takkan lepas kahwin terus dapat anak,” kata mereka mempermainkan penyokong Barisan Nasional (BN) yang menuntut janji.

Ketiga, mereka kata akan kawal harga petrol pada harga RM1.50 se-liter dan melaksanakan semula subsidi minyak petrol. Bagaimanapun, itu tidak dilaksanakan, sebaliknya sistem pengapungan harga dan penetapan harga petrol secara mingguan diteruskan. Rakyat kempunan hendak balik berhari raya dengan harga petrol yang lebih murah.

Keempat, Mahathir berkali-kali pukul canang satu Malaysia bahawa kerajaan PH akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk siasat isu 1MDB yang mereka reka sendiri. Bagaimanapun, Mahathir ubah cerita kata ia akan mula disiasat selepas dapat bukti kukuh. Selama ini, skrip ketika ceramah itu hanya dibuat-buat dan tidak ada bukti?

Kelima, kerajaan PH janji akan buru ahli perniagaan yang mereka kata ada kaitan dengan 1MDB, Jho Low. Dalam sidang media Perdana Menteri juga, beliau berkata secara kasarnya, kerajaan tahu di mana lokasi Jho Low. Kemudian, Mahathir kata bukan kerja beliau untuk tangkap orang.

Keenam, Mahathir dulu kata akan lihat semula perjanjian dengan negara China dalam projek-projek yang dilaksanakan oleh kerajaan BN sebelum ini yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Selepas berkuasa, beliau umumkan akan terus sokong inisiatif oleh Najib dengan negara China dalam projek “Belt and Road”.

Dulu, pakatan tuduh kata Najib gadai negara kepada China.

Ketujuh, tiga hari selepas menang, Anggota Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengumumkan ekonomi negara kekal kukuh dengan asas yang kuat.

Dalam ceramah di seluruh negara, orang-orang kanan Mahathir kata negara akan bankrap tidak lama lagi jika di bawah pemerintahan Najib. Dalam masa tiga hari sahaja, ekonomi boleh jadi kukuh sekelip mata sahaja.

Kelapan, Pakatan Harapan sebelum ini kata jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dilantik oleh Parlimen dan akan melaporkan siasatan serta segala perkembangan kes kepada Parlimen. Bagaimanapun, Mahathir sudah pun umumkan pelantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sebagai Ketua Pesuruhjaya yang baru.

Mereka langgar manifesto bahawa jawatan itu perlu diputuskan oleh Parlimen.

Kesembilan, Selepas mengumumkan nama lapan lagi Menteri Kabinet baru-baru ini, tidak ada seorang pun wakil menteri dari Sabah dan Sarawak diumumkan dilantik dari negeri Sabah dan Sarawak. Entah bila, Mahathir akan melantik wakil dari dua negeri itu tidak diketahui setakat ini.

Kesepuluh, Dalam kabinet Mahathir sudah tidak ada lagi Menteri yang khas di Jabatan Perdana Menteri untuk menguruskan hal ehwal agama Islam seperti selalu di dalam Kabinet sebelum ini. Sebelum ini, di bawah Najib, Menteri yang bertanggungjawab ialah Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Kini, dalam kabinet Mahathir juga bakal ada tertuduh rasuah iaitu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dibicarakan atas kesalahan itu kerana menyalahguna kuasa untuk menggunakan kedudukannya untuk beli sebuah banglo dengan harga yang murah jauh dari harga pasaran.

Itu pun sudah melanggar manifesto kerana mahu meminimumkan rasuah dalam kerajaan PH, tapi lantik tertuduh rasuah jadi Menteri Kewangan.

Daripada,
Rakyat Menuntut Janji

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 341  tetamu dalam talian