29November2014

Saguhati RM2.6 juta pada bekas kakitangan... Khalid jawab guna peguam

Selepas berbagai pendedahan dibuat oleh media berkaitan saguhati berjuta ringit kepada bekas kakitangan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pada Jumaat, peguam Khalid mengeluarkan kenyataan berkaitan pendirian anak guamnya.

Tan Poh Yee daripada Bon Advocates berkata, anak guamnya sedia disiasat oleh mana-mana pihak bersabit bayaran pampasan bernilai RM2.6 juta kepada lapan pembantu khasnya.

Menurutnya itu adalah amalan kerja biasa apabila persetujuan dicapai untuk menamatkan kontrak pekerja lebih awal, sejumlah amaun yang dipersetujui dibayar sebagai pampasan.
 
"Jumlah itu biasanya merupakan bayaran untuk tempoh kontrak yang masih berbaki dan bayaran ex-gratia untuk perkhidmatan yang sudah diberikan mengikut budi bicara.
 
"Anak guam kami mengalu-alukan siasatan audit negeri yang sedang berjalan dan sebarang siasatan dalam hal ini.
 
"Beliau akan bekerjasama bagi membantu sebarang soalan yang mungkin berbangkit," katanya dalam satu kenyataan.
 
Tan berkata, setiausaha kerajaan negeri dan pegawai kewangan negeri juga terlibat dalam membuat keputusan mengenai bayaran pampasan kepada bekas pembantu politik Khalid dan kakitangan MBI itu.
 
Khalid sebelum  ini dikaitkan dengan dakwaan salah guna kuasa  berhubung pemberian pampasan itu, yang dilakukan sebelum beliau menamatkan perkhidmatan sebagai Menteri Besar Selangor.
 
Lapan individu berkenaan termasuk bekas Ketua Eksekutif MBI, Faekah Husin dan bekas Setiausaha Akhbar kepada Khalid, Arfa'eza Abdul Aziz, serta enam bekas kakitangan MBI yang lain meletak jawatan secara sukarela akibat pertukaran pucuk pimpinan negeri kepada Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali.
 
Dikhabarkan Faekah menerima hampir RM700,000 sementara Arfa'eza menerima sejumlah RM400,000 manakala setiausaha politik Khalid, Mustapa Mohd Talib menerima pampasan bernilai RM265,000.-29/11/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 556  tetamu dalam talian