22September2018

Sejenak bersama Nazir Hussin: Susuk kebanggaan Pemuda UMNO

Antara program besar Pemuda BN adalah yang mendapat pujian ramai adalah karnival mencari kerja atau BN Youth Job Fair.

Ribuan anak muda negara ini yang mendapat kerja hasil daripada penganjuran kanival yang menghimpunkan ratusan bakal-bakal majikan itu.

Saban tahun ia menjadi program yang menarik minat ramai dan Nazir Hussin orang yang paling sibuk ke hulu ke hilir memastikan program besar tersebut berjaya.

Namun berkat usaha, kecekalan dan keyakinan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan maka kejayaan tetap menyerlah biarpun dalam usia yang muda.

Sebut sahaja BN Youth Job Fair maka tergambar nama Nazir Hussin Akhtar Hussin. Beliau merupakan tokoh muda yang dikagumi kejayaan-kejayaan besarnya.

Nazir Hussin antara nama dikalangan pemimpin-pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang mendapat perhatian dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menempa kejayaan demi kejayaan dalam pergerakan itu, beliau dipilih sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNI Bahagian Titiwangsa kemudian dipilih menduduki salah satu kerusi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada tahun 2008 seterusnya dipilih semula semasa pemilihan exco pada tahun 2013.

Sebagai Exco Pemuda UMNO Malaysia, beliau memperjuangkan nasib pekerja-pekerja kolar biru sehingga mendekatkan hubungan dua hala kesatuan sekerja dengan kerajaan sampailah ke peringkat penganjuran karnival mencari kerja terbesar diadakan di negara ini.

Nazir melalui saat sukar untuk sertai UMNO dan beliau juga sebenarnya dikelilingi oleh pemimpin-pemimpin parti PAS namun persoalannnya kenapa beliau memilih UMNO sebagai wadah perjuangan siasahnya.

Terdapat beberapa perkara yang dijawab dalam temubual khas ini dan Nazir yang bergelar jutawan sejak umurnya 20an lagi tidak kekok untuk mengulas tentang masa depan politiknya.

Berikut adalah transkrip temubual eksklusif  bersama Nazir Hussin Akhtar Hussin Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia;


AGENDADAILY : Bagaimana bermulanya politik saudara.

NAZIR : Saya bermula dengan mengikuti beberapa fasa pilihanraya umum dan pilihanraya kecil dahulu, saya melihat UMNO memerlukan lebih ramai pemimpin pelapis yang berani dan benar-benar mahu perubahan dalam UMNO.

Perubahan itu mestilah kita lakukan dan kita mesti bertanggungjawab untuk menjadi agen perlaksana perubahan.

Saya berfikir bahawa saya sedikit berkemampuan untuk sama-sama menyumbang dalam parti samada dari segi tenaga mahupun daya pemikiran.

Pada tahun 2008 setelah Barisan Nasional (BN) tidak mendapat keputusan yang baik pada pilihanraya umum ke 12 itu, saya membuat suatu keputusan untuk bersama dalam barisan pergerakan pemuda UMNO di Bahagian Titiwangsa.

Saya beryakinan sekiranya ada ruang dan peluang saya akan mampu membawa perubahan.

Saya lalui beberapa siri Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK), berdasarkan pengamatan saya merasakan sekiranya saya berada diposisi tertentu di situ mungkin saya akan membuat keputusan-keputusan yang berbeza, saya rasa saya boleh buat.

Berdasarkan diri saya yang berasal dari keluarga yang susah, saya memulakan perniagaan dan saya berjaya dalam perniagaan saya.

Saya jadi jutawan pada umur 21 tahun, saya terokai pelbagai perniagaan dan saya pernah gagal tetapi saya bangkit semula, saya bina semula empayar perniagaan saya berjaya, saya mempunyai ribuan kakitangan dan atas faktor-faktor itu maka sekiranya saya berada dalam barisan pemuda, Insha Allah akan berjaya.serta mampu untuk bawa perubahan.
 

AGENDADAILY : Kenapa memilih UMNO sedang ramai golongan muda memilih parti-parti pembangkang...

NAZIR : Asasnya bila emak saya sendiri adalah penyokong kepimpinan PAS tetapi ayah saya adalah ‘hardcore’ BN.

Emak saya seorang pensyarah agama, beliau cenderong pada PAS dan sering membawa saya semasa kecil bertemu Tuan Guru Haji Hadi, pernah makan bersama Datuk Harun Din, malah rumah saya merupakan tempat kunjungan pemimpin-pemimpin PAS.

Keluarga saya juga mempunyai sekolah agama yang mana anak-anak pemimpin PAS juga menghantar anak-anak mereka belajar, rumah saya juga berhampiran dengan surau yang didominasikan oleh orang PAS.

Saya memerhati, meneliti dan menilai PAS, perjuangan PAS tentang Islam bagus tetapi individu-individu termasuk sesetengah pemimpin-pemimpin PAS hanya menggunakan Islam untuk kepentingan sendiri, ini adalah sesuatu yang tidak betul.

Bagi saya memperjuangkan Islam tidak kira dalam UMNO atau luar UMNO, selagi hayat dikandung badan saya tetap memperjuangkannya.

Masalahnya pada PAS, bila saya mendengar apa yang mereka bercakap di surau, separuh daripada apa yang diberi ceramah itu adalah firnah dan pembohongan. Separuh lagi memutarbelit hukum, jadi saya yang emak berikan didikan agama, sejak kecil adik beradik kena belajar kitab maka kita nampak apa yang dibawa oleh PAS tidak betul.

Maka ianya tidak sesuai dengan jiwa, saya tak boleh hipokrit, kita tidak boleh jadi orang Islam yang bercakap nak perjuangkan Islam tetapi perjuangan mereka berbohong. Mereka meletakkan Islam itu sebagai asas untuk meraih sokongan, ianya dilakukan oleh sesetengah pemimpin PAS.
 

AGENDADAILY : Di mana permulaan saudara dalam UMNO.

NAZIR : Bermula pada tahun 2002, saya cuba hantar borang untuk jadi ahli UMNO melalui Ketua UMNO Cawangan Kariah Atas A Datuk Aziz Jamaluddin dalam Bahagian Titiwangsa.

Saya melalui satu fasa yang mencabar bila kita hantar borang akan hilang kemudian hantar lagi kemudian hilang lagi, hingga tahun 2004 saya hadir mesyuarat UMNO tanpa ada nama dalam cawangan. Pada tahun 2005 Datuk Aziz bawa borang saya bersama borang emak serta adik beradik saya terus ke ibupejabat UMNO untuk didaftarkan.

Saya ingat kata-kata beliau,...kalau kali ini pun tak ada juga (jadi ahli UMNO) kita tak payahlah masuk UMNO.

Selepas itu, tahun 2005 nama saya, nama adik beradik dan emak ayah saya ada dalam cawangan itu.

Pada pemilihan tahun 2008, saya mula menawarkan diri bertanding Ketua Pergerakan Pemuda Cawangan UMNO Kariah Atas A dan bertanding merebut jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa.

Selepas menang jawatan Naib Ketua Pemuda Bahagian, saya memasang cita-cita untuk bertanding diperingkat pusat. Hanya berbekalkan kecekalan diri serta berusaha, saya bertanding salah satu kerusi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Saya bersyukur kerana menang menduduki kerusi nombor 14. Ketika itu saya berusia 28 tahun.

Oleh kerana tempoh kempen pemilihan ketika itu telah dipanjangkan, saya telah ambil kesempatan untuk turun ke bahagian-bahagian seluruh semenanjung dan Sabah.saya amat bersyukur dan berterima kasih pada perwakilan kerana walaupun saya bukan Ketua Pemuda Bahagian tetapi mereka memberi peluang untuk saya menang.

AGENDADAILY : Setelah menang exco, apa tugas dan tanggungjawab serta apa kejayaan.

NAZIR : Saya telah dilantik sebagai Pengerusi Seketariat Pekerja Muda yang bertanggungjawab untuk menjalin hubungan rapat dengan pekerja-pekerja kolar biru yang pada ketika itu mereka tidak menyokong kerajaan malah kesatuan sekerja tidak sokong kerajaan.

Termasuklah orang UMNO dan bekas penyokong UMNO tidak menyokong kerajaan, mereka sokong PKR kerana majikan mereka tidak memberi layanan sepatutnya. Mereka membuat aduan ke Jabatan Buruh tetapi tak dilayan. Mereka benci dengan kerajaan dan sertai pembangkang yang kononnya adalah harapan baru mereka ketika itu.

Tugas saya amat mencabar kerana kena mendekati mereka tersebut, pada ketika itu kita mempunyai lebih 3.5 juta orang yang terdiri pekerja kilang yang berumur bawah 40 tahun.

Sungguhpun berat dan mencabar, saya memulakan langkah-langkah dengan membantu mereka ketika pemilihan MTUC disamping membuat pendekatan dengan hampir 150 kesatuan sekerja di negara ini. saya jumpa lebih separuh dari kesatuan sekerja itu, saya bawa mereka jumpa menteri, menjalinkan hubungan baik dengan kementerian, kita cuba selesaikan masalah utama ditempat kerja, saya amat berterima kasih pada mantan Senator Datuk Maznah Mazlan Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika itu kerana memberi ruang dan peluang pada saya untuk membawa segala masalah pekerja ini untuk diselesaikan.

Saya ingat beliau beritahu saya, sekiranya adalah masalah rakyat tanpa kira apa bangsa pun beliau akan cuba bantu kerana matlamatnya adalah untuk selesaikan masalah rakyat dan nak menang pilihan raya. Lebih 50 kes telah diselesaikan.

AGENDADAILY : Ceritakan kisah kejayaan BN Youth Job Fair.

NAZIR : Saya melihat keadaan masih lagi belum mencukupi untuk membantu rakyat kerana hasil dari kajian Makmal Pemuda BN menunjukkan bahawa masalah utama ketika itu adalah kegusaran anak muda untuk mendapatkan pekerjaan.

Saya berbincang dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin untuk mengadakan satu karnival kerjaya yang mana saya telah mengadakan hampir 30 acara karnival kerjaya secara kecil-kecilan tetapi kurang impaknya kerana tidak dapat sesuaikan kehendak majikan dengan potensi pekerja yang sebenar.

Saya telah cadang untuk bawa satu cara baru dengan mengumpulkan segala majikan dan kita bawa semua pekerja dari sektor perkilangan, perbankan, profesional termasuk bidang tentera dan polis untuk membuat rekrutmen di satu tempat.

Kita war-warkan keseluruh negara supaya orang datang tengok sendiri. Pada tahun 2008 dan 2009 ekonomi dunia tidak berapa baik, ramai orang tak dapat kerja malah orang yang ada kerja pun kena berhenti kerja. Mahasiswa Melayu merungut kerana tiada peluang pekerjaan.

Sebagai Pengerusi Pekerja Muda, saya kena memainkan peranan yang lebih, saya rasa pemuda UMNO mesti buat sesuatu, saya gunakan semua saluran media sosial seperti facebook, sms disamping melalui kawan-kawan bagi mengadakan program Karnival Kerjaya di Pusat Dagangan Dunia Putra dengan menawarkan 60,000 ribu peluang pekerjaan.

Kita namakan BN Youth Job Fair, senarionya ialah pada tahun 2008 adalah PRU terburuk buat BN dan dari tahun itu hingga 2010 terdapat 16 PRK, tujuh PRK permulaan BN kalah, momentum pembangkang sangat tinggi, orang UMNO pun tak mahu pakai baju UMNO, pemuda UMNO pun tak mahu pakai baju UMNO dan pergi ke mana-mana bergerak atas nama NGO malah ketua-ketua bahagian buat program tidak ramai orang UMNO yang datang.

Kita pulak pada tahun 2009/2010 nak pandai-pandai buat program atas nama BN pulak. Waktu itu ramai orang nasihatkan saya supaya jangan gunakan nama BN, pakailah nama Karnival Kerjaya 1Malaysia sebab Datuk Seri Najib baru ambil pimpinan dari Tun Abdullah dengan konsep 1Malaysia.

Sebagai seorang ‘marketer’, saya rasa kalau saya tidak boleh ‘market’kan, gagal yakinkan orang tentang produk saya iaitu BN itu bagus bermakna parti ini sudah sampai ke penghujungnya kerana orang parti dan pemimpin parti gagal untuk menarik minat orangramai ‘membeli’ barangnya.

Saya merasakan barang saya bagus, BN produk yang bagus dan BN membuat sesuatu yang betul cuma bagaimana kita hendak yakinkan, kita kena buktikan dengan kita laksanakan. Dengan itu apabila kita buktikan ianya bagus, kita yakinkan jenama kita bagus maka kita buat apa pun atas jenama itu orang yakin.

Begitulah bila pilihanraya bila kita calon atas jenama itu orang akan pilih. Itulah kaedah saya, setelah buat tahun 2010 dengan jayanya kita buat karnival kerjaya 2011 secara besar-besaran, tiga hari pertama kehadiran mencecah 500,000 orang datang. Sangat mengejutkan kerana orang jangka tidak ada orang datang, dijangka hanya anak-anak orang-orang BN dan UMNO sahaja datang, sesak dewan PWTC dengan anak muda.

Itulah bukti bahawa bila kita memperjuangkan sesuatu perkara itu dengan ikhlas, Allah akan bantu kita.

Selain itu orang yakin bahawa sekiranya kita buat perkara betul orang akan datang, padahal orang yang datang itu kita tidak kenal samada dia orang BN ke, pembangkang ke, malah ada ‘hantu raya’ yang datang semata-mata untuk kondem di media sosial tetapi akhirnya orangramai membidasnya dan menafikan dakwaan tak betul ‘hantu’ itu. Saya tak perlu buat apa-apa kerana mereka yang datang itu menjawab tuduhan-tuduhan tersebut.

Ekoran kejayaan karnival pertama, Perdana Menteri telah mengarahkan Khairy dan saya untuk memperluaskan karnival itu ke seluruh negara. Itulah kami mula buat ‘roadshow’ ke serata negeri. Total program kita menawarkan lebih 100,000 peluang pekerjaan dan kita telah dapat membantu 147,000 orang mendapat pekerjaan dan hingga kini dalam sistem database saya ada 800,000 pencari kerja.

Mereka ini dari pelbagai lapisan masyarakat dan jenis, ada yang dah bekerja nak lompat kerja lain, yang graduan baru nak cari kerja dan bermacam-macam. Saya wujudkan satu facebook untuk iklankan kerja kosong.

Cabaran pengadakan karnival semasa di Sungai Petani, kita buka peluang pada syarikat besar di Pulau Pinang, oleh kerana negeri itu dikuasai pembangkang, mereka telah diugut supaya tidak sertai karnival itu tetapi pencari kerja tetap datang kerana mereka yakin bahawa jawatan itu benar-benar wujud sementara majikan pula tidak yakin dan tidak mahu terlibat dengan mana-mana parti politik, mereka nak ‘playsafe’, nak jaga bisnes tetapi bila kita membuktikan bahawa program ini adalah tempat untuk mencari pekerja yang berkualiti akhirnya mereka tidak perlu bayar agen lagi untuk mencari pekerja.

Cuba bayangkan satu majikan nak mencari 50 orang pekerja tetapi akhirnya mendapat 8,000 orang pencari kerja, mereka boleh pilih yang terbaik. Bagi saya setiap pekerjaan itu dapat diisi maka ianya suatu kejayaan, yang penting pekerja itu rakyat Malaysia bukan pekerja asing.

AGENDADAILY : Apa program lain dan pengiktirafan yang diberikan pada saudara.

NAZIR : Pada tahun 2013 saya melihat orang Melayu mempunyai banyak peluang yang ditawarkan oleh kerajaan dari sudut sokongan bagi melahirkan usahawan Melayu. Terdapat geran dan pinjaman tetapi bila kita berjumap dan berbincang dengan mereka, jawapannya adalah susah, sukar, banyak masalah, tak tahu cara dan tidak tahu di mana untuk mendapatkan peluang tersebut. Manakala mereka yang dapat pinjaman tidak mahu berkongsi maklumat atau membantu orang lain.

Maka saya buat satu program dengan mengumpulkan semua agensi-agensi kerajaan yang menawarkan pelbagai kemudahan diatas satu pentas bertajuk Klinik Usahawan Warga Industri 1Malaysia dengan seorang moderator yang bagus untuk bercakap dan kita kumpul orangramai yangt berminat dalam berkenaan untuk mendengar apa yang kerajaan sediakan untuk mereka. Kita hanya menyasarkan 30,000 orang tetapi telah mendapat sambutan luar dugaan hingga cecah 200,000 orang.

Saya mendapat sokongan dan kerjasama dari Datuk Dr Azizan Osman yang popular dengan ceramah motivasi kejayaan, beliau mempunyai pengikutnya tersendiri. Tujuan saya adalah untuk membantu golongan pekerja kilang menambahkan pendapatan mereka.

Program tersebut berjaya kerana setiap program kita buat orang datang hingga melimpah ke luar dewan.

Dalam tempoh lima tahun saya menjadi exco pemuda UMNO saya telah mendapat dua penganugerahan daripada Malaysian Book of Records, pertama penganjuran karnival kerja yang terbesar dan jumlah Job Offer terbesar (lebih  kurang, tak berapa ingat).

Selain itu membantu ‘team MUTC’ mengambilalih pimpinan pembangkang yang menguasai MUTC yang digunakan sebagai suara golongan pekerja untuk hentam kerajaan akhirnya kita dapat membetulkan semula MTUC ke landasan perjuangan asalnya. Kita juga berjaya membantu kerajaan dalam memperjuangkan isu gaji minima.

Kita telah membuat desakan pada kerajaan hingga tertubuhnya Majlis konsultasi Gaji Negara, saya rasa itu suatu kejayaan pada Pemuda UMNO Malaysia.

Negara kita sudah ada skim gaji minima, walaupun bermula RM900 tetapi pada zaman Perdana Menteri Datuk Seri Najib perkara itu dilaksanakan dan perjuangan itu datangnya daripada Pemuda UMNO.

AGENDADAILY : Apakah ada lagi yang diperjuangkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO.

NAZIR : Pemuda UMNO pada keseluruhannya memperjuangkan banyak isu termasuk Skim Rumah Pertama Ku yang kini telah diambilalih oleh PR1MA,

Saya juga berjaya membawa kepimpinan MTUC yang baharu ke satu program makan malam bersma Perdana Menteri pada tahun 2010. Banyak pihak tidak percaya perkara itu akan berlaku kerana ada kebimbangan kononnya kepimpinan MTUC akan menghentam PM semasa ucapan tapi ianya tidak berlaku.

Presiden MTUC Khalid Atan dalam ucapannya memberitahu bahawa kali terakhir MTUC dengan PM adalah zaman allahyarham Tun Abdul Razak. Majlis itu adalah jambatan baru MTUC dengan pejabat PM. Perdana Menteri turut memberi sumbangan kepada MTUC sebanyak RM400,000 ribu.

AGENDADAILY : Bagaimana dengan pencapaian dalam biro baru sekarang.

NAZIR : Saya telah bertanding jawatan Ketua Pergeralan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa dan berjaya, peringkat pusat saya telah berjaya mempertahankan kerusi exco untuk penggal kedua pada pemilihan tahun 2013.

Saya telah dilantik untuk menerajui Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan yang saya rasa mencabar. Biro ini merangkumi soal-soal keselamatan, jenayah, ragut, culik,kos sara hidup, agama dan berbagai lagi.

Bagaimanapun saya telah diberi penekanan dan tumpuan pada soal-soal hal ehwal bandar dan perumahan semata-mata. Kita memberi tumpuan pada polisi-polisi yang baharu.

Pencapaian yang saya tempa pada biro ini ialah pada awal tahun lepas (2014) pada kunjungan hormat Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia terhadap Perdana Menteri di Putrajaya, saya telah menyerahkan satu memorandum supaya dilaksanakan suatu skim bantuan sewa rumah atau ansuran rumah kepada orang muda di bawah umur 40 tahun yang pertama kali membeli rumah.

Akhirnya pada Bajet 2015 tahun lepas, PM telah masukkan dalam bajet itu dengan peruntukan sebanyak RM30 juta, ini adalah langkah yang berjaya.

Satu program yang boleh memberi kesan baik pada masyarakat dengan memberi persepsi yang baik pada parti ialah program HELP Tuisyen. Kita memilih pelajar miskin dalam bandar untuk diberi tuisyen percuma bagi yang menduduki tingkatan lima untuk menghadapi peperiksaan SPM dengan usaha bersungguh-sungguh hingga mendapat lima kepujian pada mata pelajaran wajib yang kemudiannya kita membantunya untuk masuk ke IPTA.

Program ini telah bermula pada tahun 2014 dan hasilnya kita memperolehi 88 peratus perubahan pada pencapaian keputusan peperiksaan mereka. Anak-anak miskin ini kita dapat didik dan berjaya.

Pada tahun 2014 kita telah berjaya membantu 4400 pelajar miskin yang melibatkan 38 kawasan parlimen dengan dana hampir RM2 juta. Pada tahun ini kita membantu 88 kawasan parlimen dengan dana sebanyak RM5.8 juta dan tahun depan kita akan memperluaskan ke seluruh negara melibatkan 191 kawasan parlimen dengan kapisiti pelajar seramai lebih 20,000 orang.

Apa yang kita harapkan adalah pelajar miskin ini akan berjaya dan memperolehi pekerjaan yang bagus dengan pendapatan yang baik serta boleh membantu keluarganya yang susah itu. Kejayaan seorang dalam satu keluarga itu akan dapat mengubah kehidupan seluruh keluarga tersebut.

Negara kita makin maju kis kehidupan makin tinggi, ibu bapa tidak mampu untuk memberi tuisyen kerana satu mata pelajar penting kosnya RM60 paling murah, lima mata pelajaran akan menelan belanja RM360.

Kita bantu mereka dengan beri tuisyen dan makan yang cukup dengan guru-guru yang baik.

AGENDADAILY : Apa pandangan saudara dalam isu perumahan dalam bandar dan kemampuan pembeli muda.


NAZIR : Saya juga mencadangkan kepada kerajaan agar orang muda yang pertama kali nak beli rumah diberi pinjaman penuh tanpa ada pendahuluan. Mereka baru kerja dan baru kahwin, sukar bagi anak muda ini nak menyediakan wang pendahuluan 10 peratus tetapi mereka mampu untuk membayar bulanan.

Masalah rumah dalam bandar ini banyak tetapi isunya macamana nak memiliki rumah, kebanyakkan rumah yang ada di bandar hari ini adalah rumah yang mampu tengok bukan rumah yang mampu milik.

Saya beri contoh rumah yang dibina oleh UDA di atas tanah di Kampung Baru, sebanyak 200 unit disediakan untuk anak Kampung Baru dengan harga RM300 ribu manakala selebihnya berjumlah lebih 300 unit dijual pada orang lain pada harga RM450 ribu hingga RM700 ribu.

Itu rumah mampu tengok bukan rumah mampu milik, Pemuda UMNO Titiwangsa dalam tempat sendiri tidak mampu beli, alasan UDA adalah harga tanah yang tinggi dibeli dari DBKL dan UDA terpaksa jual mahal kerana tidak mendapat pembiayaan dari kerajaan dan UDA terpaksa menjana keuntungan.

Inilah masalah UDA sebuah agensi kerajaan dan ahli parlimen Titiwangsa (sebelum ini Pengerusi UDA) yang memperjuangkan isu perumahan mampu milik tetapi buat rumah sebegitu mahal. Kita (pemuda UMNO) protes kerana kita mahu rumah mampu milik.

Kita mahu rumah berharga RM300 ribu untuk semua unit, beri peluang untuk orang muda, tak usah fikirkan soal keuntungan.akhirnya beliau (Datuk Johari Ghani) sebagai Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa kata tidak boleh kerana UDA kena jana keuntunngan bagi menampung ‘overhead’.

Begitu juga dengan rumah PR1MA, saya sedang cuba untuk membantu anak muda untuk membeli rumah PR1MA tetapi golongan muda tidak mampu milik kerana harganya RM300 ribu.

Katakanlah orang muda yang bergaji baik sikit, mungkin mereka mampu beli tetapi tidak mampu untuk membayar deposit 10 peratus. Mana nak cari RM30,000 sedangkan mereka baru bekerja dan baru kahwin, kalau mereka berhutang maka tanggungan akan berganda, nak bayar hutang, nak bayar ansuran rumah dan nak sara keluarga...ini semua konflik.

Bayangkan keadaan UDA sebagai agensi kerajaan dan ahli parlimen buat perkara seumpama ini, macamana agaknya dengan pemaju perumahan lain.

AGENDADAILY : Adakah saudara akan terus berada dalam Pemuda UMNO untuk beberapa ketika.

NAZIR : Saya bertanding Exco Pemuda UMNO pada usia 28 tahun, sekarang sudah lima tahun satu penggal sudah habis kini masuk tahun kedua bagi penggal kedua, saya sudah tujuh tahun dalam Pemuda UMNO Pusat dan pemilihan ditangguhkan ke tahun 2018, henaplah 10 tahun saya berada dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Kalau sekiranya ada ruang dengan umur yang masih boleh berada dengan Pemuda UMNO , sekiranya saya masih diberi peluang untuk duduk dalam barisan Pemudam saya akan kekallah.

Kalau andaikata ada ruang ditempat lain dan saya diberi peluang mungkin saya akan pertimbangkan. Sebab perjuangan bukan lagi tentang diri sendiri, apa yang diperlukan adalah orang yang konsisten b

Ekerja untuk parti, kalau ada ruang dan orang perlukan kita ditempat itu maka kita pergilah tetapi sekiranya ruang itu masih ;agi orang lama nak kekalkan kedudukannya maka kita biarkan mereka kekal asalkan kita boleh memberi sumbangan kerana apa jawatan pun kita boleh menyumbang untuk parti UMNO.

Kita tidak perlu kejar jawatan sebab saya rasa jawatan itu adalah syarat saja. Kita nak menyumbang di mana pun boleh dan dalam posisi apa pun boleh.

Apa yang saya buat dn laksanakan hari ini melalui program-program sudah melangkaui ‘standard’ seorang Exco Pemuda UMNO Malaysia kerana membuat program setahun melibatkan dana RM5 juta.

AGENDADAILY : Peluang yang bagaimanakah yang saudara nampak dalam UMNO.

NAZIR : Saya yakin kepimpinan UMNO terutama dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO adalah mereka yang rasinal dan sayangkan parti. Saya yakin pemimpin-pemimpin UMNO ini bukan buta tuli sebagaimana pada zaman Tun Dr Mahathir.

Kerana pada zaman itu, bila orang cakap soal kronisme tu memang betul, zaman itu yang menyebabkan hari ini orang Melayu, orang muda benci UMNO, saya tak salah, bila saya masuk UMNO, orang dah bercakap UMNO ni parti perasuah sebab bukan zaman Datuk Seri Najib tetapi pada zaman Tun Dr Mahathir.

Saya cakap secara terbuka, zaman itulah orang nampak orang UMNO kaya, pemimpin UMNO hidup mewah, pemimpin UMNO boleh pergi luar negara dan zaman itulah teknokrat-teknokrat ini dicipta, ketika itu ada projek ‘direct nego’ tetapi zaman saya ni apa pun tak de...tak ada lagi projek ‘direct nego’, AP kereta dan macam-macam...itu zaman Tun Dr Mahathir.

Zaman kami ini tidak salah, kita masuk parti, bekerja kuat untuk menghidupkan parti. Sekiranya kita (golongan muda) ini tidak diangkat oleh kepimpinan, kita rasa kita masih sayangkan dan kita akan kekal dalam parti ini.

Kalau kepimpinan nampak perlunya ada ‘line up’ baru untuk menjuarai parti UMNO dan memilih orang-orang yang bekerja kuat dalam parti, maka berilah peluang dan ruang supaya pemimpin muda ini dapat naik ke atas dan kita perlu jujur pada doro kita bahaw pada PRU akan datang seramai 5.5 juta pengundi muda bakal mengundi.

Kalau masih meletakkan calon yang lama, saya rasa mungkin kita akan ada sedikit masalah, saya rasa kita kena ‘balance’m mengikut ‘track record’ calon-calon daripada pemuda bertanding pilihanraya mempunyai peratusan kemenangan amat tinggi. Calon dari kilang pemuda tidak perlu diragui kebanyakkannya menang kerana mereka tidak banyak dosa.

AGENDADAILY : Apa pandangan tentang ada kalangan pemimpin Pemuda UMNO mengejar projek.


NAZIR : saya kena jujur dalam hal ini, zaman bawa projek, bawa fail pergi minta projek sudah tidak ada, sebab projek-projek semuanya telah ditender terbuka berbanding pada zaman sebelum ini terdapat banyak projek ‘direct nego’ dan berbagai cara nak bagi projek. Zaman sekarang dah tak boleh.

Apa yang saya nak beritahu ialah terdapat 191 Ketua Pemuda Bahagian, seramai 163 Ketua Pemuda yang baharu dan majoriti meeka makan gaji. Macamana mereka nak bergerak dan ada program dalam parti. Tidak kira program kecil atau besar, ianya memerlukan dana, kalau satu program yang melibatkan kehadiran rakyat dua atau tiga ribu orang dan setahun ada lebih 10 program, mana nak cari duit. Tak semua ketua pemuda bahagian mampu, begitu juga exco pemuda pusat.

Ianya berbanding pada zaman Anwar Ibrahim, ketua-ketua dan exco boleh dapat saham dan macam-macam tapi zaman kami tak dapat apa-apa.

Sebenarnya rakyat kini tidak lagi melihat pada kemewahan dan kekayaan seseorang pemimpin tetapi rakyat mahu lihat pemimpin itu rajin, buat kerja dan menyumbang pada rakyat, berbakti maka kehidupan peribadi pemimpin itu orang tidak akan ambil kisah.

AGENDADAILY : Sebagai orang yang susah dua penggal dalam Exco Pemuda Pusat, benarkah ada biro-biro yang tidak aktif.

NAZIR : Perlu diketahui bahawa ada dikalangan exco pemuda diangkat kedudukan mereka, ada yang jadi setiausaha politik, pegawai khas dan ada yang jadi wakil rakyat.

Mereka ini akan memberi fokus pada tugasan masing-masing, pun begitu kebanyakkan mereka tidak mengabikan tanggungjawab sebagai pengerusi biro, mereka laksanakan tanggungjawab, mereka laksanakan program cuma dalam skala kecil atau besar serta tidak bersifat nasional dan tidak terpapar dalam media.

Sebagai contoh Fathul Bari seorang pemikir JASA dan sebagai pengerusi biro perkaderan politik, program dalam skala tertentu yang mana orang tidak nampak. Seorang lagi sebagai contoh saudara Arman yang tidak ada jawatan dalam bahagian dan mana-mana tempat, beliau boleh fokus program dalam bironya, sewaktu banjir, beliau turun dengan Kesatria muda PRK dan demo-demo, orang nampak kehadirannya.

AGENDADAILY : Apa pandangan saudara tentang Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin.

NAZIR : Saya rasa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekarang adalah aset UMNO, beliau adalah orang mempunyai pendirian dan seorang yang boleh dibawa ke peringkat antarabangsa. Inilah ketua pemuda paling sempoi, saya tak nampak beliau ada sekatan hubungan dengan pemuda akar umbi.

Beliau tak ada protokol, boleh jumpa pada bila-bila masa, boleh bermedia sosial melalui whatapps, tweet, instagram dan macam-macam lagi, beliau boleh dibalun, terbuka dan aktif dimedia sosial boleh berkomunikasi dengan beliau, tak ada sekatan.

AGENDADAILY : Ada pendapat yang mengatakan Khairy hanya mempopular dirinya sahaja tetapi tidak mempopular BN pada orang muda.

NAZIR : Saya rasa orang suka dia pun dah bagus. Begitu juag saya rasa ramai orang suka saya. Tetapi bila sampai masanya bila kita bawa sesuatu jenama, orang akan bagi kita peluang.

Ramai orang suka dan sayang Datuk Seri Najib kerana beliau adalah antara aset terbaik UMNO sekarang dan saya tidak nampak sesiapa lagi pengganti beliau yang lebih bagus daripada beliau.

Najib adalah seorang yang sangat ‘brilliant’, ‘sharp’ dan darah pemimpin yang hebat kerana dikalangan adik beradiknya semua berjaya serta ternama kerana bakanya yang terbaik.

Najib mempunyai pemikiran kesederhanaan dalam banyak perkara, beliau mahu turun padang, mahu mendekati orang muda, sempoi, simple...bila beliau turun ke mana-mana walapun kena bedal teruk dengan pembangkang tapi orang masih berebut nak bersalaman, berjumpa, bergambar dan ber’selfie’dengan beliau. Akhirnya bila beliau bawa jenama BN, orang akan bagi beliau peluang.

Begitu juag dengan KJ, saya rasa perkara yang sama, tidak salah ahli politik itu mempopularkan dirinya sendiri sebab itu caranya,

Orang pun bercakap begitu semasa buat Job Fair dulu, Nazir ni mempopularkan diri dia, gambar dia merata-rata di Kuala Lumpur. Tetapi kalau saya tak popular diri saya, siapa nak popular diri saya, akhirnya orang terima kerana apa yang saya buat itu adalah perkara baik. Orang dah lupa soal popular diri, itulah ‘politic is about numbers and perception’. Kita perlu membuat kerja yang betul, kita pamerkan diri kita dan kita bawa diri kita cara yang betul, Insha Allah orang suka kita dan apa baju kita pakai ialah BN, ini produk BN dan ini adalah aset BN.-30/12/2015 OLEH LUKMAN ABDULLAH

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 333  tetamu dalam talian