27Mac2017

Sejenak bersama Menteri Besar Kedah…isu Dr Mahathir akan ditangani ‘cara Kedah’

Waktu itu betul-betul tengah rancak beberapa orang wartawan dari Kuala Lumpur bersembang dengannya baru-baru ini bila seorang pegawainya mencelah beritahu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah beliau sudah lewat untuk ke lapangan terbang Alor Star.
 
Beliau meminta maaf terpaksa bergegas takut terlepas penerbangan untuk hadir satu mesyuarat penting di Putrajaya.
 
Tengok jam waktu itu baru sekitar 27 minit saja sempat berbual dengannya di bilik mesyuarat pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman.
 
Apa yang berlaku itu bukan luar biasa.Sebenarnya Menteri Besar itu memang selalu ‘on the go’.Seorang pegawainya memberitahu pada kebanyakan hari beliau biasanya ada tiga empat program untuk dihadiri sekitar Kedah.
 
Katanya ada kalanya mereka sendiri tidak terkejar.
 
Berat badan Ahmad Bashah,Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Bata yang sebelum ini dua tahun setengah jadi Timbalan Menteri di Putrajaya atas kapisiti Senator sudah susut sakan sejak jadi Menteri Besar.
 
Sebelum perbualan di pejabatnya,beliau hadir di majlis sempena 100 hari pentabirannya di dewan besar Wisma Darul Aman.Lebih 2,000 orang pimpinan politik,pimpinan masyarakat,NGO,pegawai kerajaan hadir.
 
Di situ lebih sejam lamanya beliau berucap.Selain memberitahu visinya,Ahmad Bashah juga menguraikan butir-buir perancangan beliau untuk negeri Kedah yang menyentuh segenap aspek dari yang besar sampai yang kecil.
 
Malah terdengar ada hadirin yang berbisik sesama mereka dalam orang gelarnya ‘ Mat Lena’ rupanya beliau ada perancangan yang cukup rapi dan teratur untuk memajukan Kedah.

 
Pada majlis itu juga beliau mendapat ‘pengitirafan’ penting dari Kedah Civil Service atau ringkasnya KCS bila Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din yang berucap sebelumnya kata para pegawai kerajaan cukup serasi dengan cara pentabirannya.
 
Dokongan KCS dikatakan amat penting bagi ‘ melicinkan’ tugas mana-mana Menteri Besar di negeri itu.
 
Ikut cerita yang berlegar Datuk Seri Mukhriz Mahathir ‘ada masalah’ dalam hubungan kerja dengan KCS  diperingkat pertengahan pentabirannya.
 
Isu itu dikatakan telah hangat sebelum lagi timbul cerita pasal ‘ hilang kepercayaan’ pimpinan UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadapnya hingga mendorong mereka sepakat jumpa Perdana Menteri meminta buat perubahan.
 
Selain itu beliau dikatakan semacam tidak ‘settle down‘ jadi Menteri Besar Kedah. 
 
Walaupun kawasan DUN yang diwakilinya Air Hitam dan pejabatnya di Alor Star namun jiwa dan raganya dikatakan tidak berpijak di bumi Kedah.
 
Ini gara-gara beliau dikatakan kerana kerap terbang balik ke rumahnya di Kuala Lumpur khususnya pada hujung minggu.
 
Isu keluarganya yang dikatakan tidak mahu menetap di Alor Star juga menjadi gosip hangat dikalangan orang politik di Kedah.
 
Campur-campur isu pentabiran,politik dan peribadi membuatkan banyak yang melihat beliau sudah ‘no go’ sebagai Menteri Besar.
 
Namun ketika dijolok soalan ini sewaktu perbualan itu,Ahmad Bashah enggan beri sebarang kepastian.
 
Beliau sebaliknya mencetuskan persoalan bagai dikata lu fikirlah sendiri.
 
”Kalau ramai yang sudah cakap begitu….”katanya.

 
Ahmad Bashah mengakui beliau berdepan dengan masalah persepsi kerana diangkat sebagai Menteri Besar dicelah kontroversi.
 
Apa lagi ada yang gatal tangan sebar gambar seolah beliau tertidur dalam majlis di Istana di media sosial.
 
Beliau didakwa macam-macam termasuk ketuai konspirasi jatuhkan Mukhriz.
 
Malah baru-baru ini satu puak yang dakwa diri sebagai kumpulan pemikir sebar cerita dari tinjauan mereka konon 80 peratus rakyat Kedah masih tidak sokong beliau jadi Menteri Besar.
 
Ahmad Bashah telah menafikan dakwaan itu.
 
Realitinya memang sejak akhir-akhir ini semakin kurang yang mengata tentangnya.
 
“Sikit-sikit adalah,”katanya.
 
Beliau melihatnya lebih kepada soal persepsi khususnya dikalangan orang muda.
 
Ini kerana bila Barisan Nasional dapat tawan balik Kedah masa pilihanraya umum ke 13 dari tangan Pakatan yang dipelopori oleh PAS  semua orang tengok Mukhriz terus jadi Menteri Besar.
 
“Ini persepsi anak muda...bila menang dulu terus Mukhriz jadi Menteri Besar…ini penerimaan,”katanya.

 
Sebelum pilihanraya umum ke 13 Mukhriz di Kuala Lumpur sebagai Timbalan Menteri atas kapisitinya sebagai Ahli Parlimen Jerlun.
 
Ahmad Bashah yang jadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah semasa PAS mentabir Kedah sepenggal selepas pilihanraya umum ke 12 meminta semua pihak buka mata mengenai kerja-kerja yang dibuat hingga berjaya menawan balik Kedah.
 
“Depa tak tahu siapa yang buat kerja masa kita kalah dulu…siapa yang tabir negeri kedah masa kalah lima tahun.Apakah Mukhriz yang tabir. ..siapa? Jadi itu satu yang patut dilihat…
 
“Bukanlah nak angkat diri…masa kalah dulu…Mukhriz duduk di Kuala Lumpur …dia Timbalan Menteri.
 
“Kalau di kedah sayalah ‘Menteri Besar’ (BN)  waktu itu..Pengerusi Perhubungan  UMNO,Pengerusi BN dan Pengarah Pilihanraya…tapi bukanlah saya seorang yang buat kerja.Ramai kawan-kawan lain bantu,”katanya.
 
Menurut Ahmad Bashah jangan tengok masa Mukhriz masuk jadi Menteri Besar selepas menang pilihanraya sebaliknya harus tengok waktu sebelum  itu untuk menilai keadaan sebenar.
 
Ditanya mengenai pengitirafan yang diberi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri padanya,Ahmad Bashah menjelaskan beliau rasa mudah kerja dengan para pegawai kerajaan negeri kerana sudah lama dalam politik Kedah.
 
Mungkin ada yang tidak sedar beliau sudah lima penggal jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua penggal jadi Exco Kerajaan Negeri.
 
“ Selalu kami mesyuarat dalam bilik inilah...saya kenal semua mereka,”katanya yang pada awal penglibatan dalam politik jadi Ketua Pemuda Alor Star pada tahun 1984.
 
Malah beliau anggap dirinya membesar di Wisma Darul Aman.

 
Dalam karier politiknya kemudian jadi  ADUN dan Exco beliau sudah lalui tujuh Menteri Besar dari zaman Allahyarham Tan Sri Syed Nahar Sahabuddin,Tan Sri Osman Aroff,Tan Sri Sanusi Junid,Datuk Syed Razak,Datuk Seri Mahadzir Khalid,Allahyarham Datuk Seri Azizan Razak (PAS)  dan Mukhriz.
 
Jadi boleh bayangkan sendiri bagaimana luasnya pengalaman dan hubungan beliau dengan setiap struktur pentabiran kerajaan negeri.
 
Ahmad Bashah yakin jika gandingan kerjasama pimpinan dan ahli UMNO dan BN terus mantap kerajaan BN Kedah mampu dipertahankan pada pilihanraya umum ke 14.
 
“Kita pernah menang…kita pernah kalah…jadi kita sudah ada pengalaman,”katanya.
 
Apapun katanya persiapan kena dibuat dari sekarang.
 
Selain perancangan untuk kemajuan Kedah,Ahmad Bashah kata beliau akan perbanyakan sesi walkabout sekitar negeri.
 
Jika boleh setiap minggu.
 
Baginya walkabout secara santai dan tidak formal lebih dapat mendekatkan dirinya dengan rakyat di akar umbi.
 
“Bila walkabout tak kira tempat pasar malam,singgah sana sini akan membolehkan kita dapat berhubung terus dan tahu masalah dibawah.Masa walkabout bawa pegawai seperti Pegawai Daerah dan lain-lain.
 
“Di kedah pendekatan itu kena lebih kerap….jangan buat majlis.Kita pergi jumpa mereka bukan harap mereka datang majlis kita.
 
“ADUN,Exco ,Ketua UMNO Bahagian,Ahli Parlimen kena buatlah di kawasan masing-masing,”katanya.
 
Mengenai tentangan terhadap pimpinan UMNO yang dipelopori oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ,beliau akui ia satu cabaran yang perlu ditangani dengan betul.
 
Katanya dalam kontek Kedah dimana Dr Mahathir berasal dari negeri itu dan lama menjadi Ahli Parlimen Kubang Pasu ia harus ditangani dengan ‘cara Kedah’.
 
Maksud beliau ialah berdepan dengan isu Dr Mahathir tanpa mencetuskan kemarahan orang Kedah.

 
“Itu kita kena sesuaikan...sebab di Kedah ini...nak attack pun tak boleh sembrono...kena ada pendekatan yang betul,”katanya.
 
Ahmad Bashah kata apa yang jelas di depan mata sekarang Dr Mahathir sudah berada ‘ disebelah sana’ bila berkerjasama dengan pembangkang khususnya Lim Kit Siang DAP dalam Deklarasi Rakyat.
 
Katanya,” Ahli UMNO yang tahu sejarah tak boleh lupa...dia kata Melayu mudah lupa..dia yang lupa.
 
“Rasa tak sepatut Tun buat begitu...bersahabat dengan DAP…Azmin atau Mat Sabu boleh lagi tapi tidak dengan Kit Siang.
 
“Kita tau DAP akan guna Tun untuk kepentingan mereka.Orang kedah pun tahu…tapi nak kena slowly  bagi pemahaman.”
 
Ini ditambah pula bila Dr Mahathir mahu BN kalah pada pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
 
Maka BN kena berdepan dengannya sebagai pembangkang.
 
Dari perbualan itu jelas Ahmad Bashah sudah tidak lagi mahu pandang belakang.
 
Sekalipun ada yang cuba jolok keraguan pada peringkat awal...beliau telah melangkau hari-hari sebagai Menteri Besar sejak 4 Februari lalu tanpa sebarang masalah yang boleh dijadikan ‘berita besar’.- 1/6/2016 - OLEH ROSLI ISMAIL
 
 
 
 
 
 

loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 941  tetamu dalam talian