18Januari2019

Sejenak bersama Datuk Sapawi...yang pegang rekod jadi Pembantu Menteri kepada tujuh Ketua Menteri Sabah

sapawi-1xxApa yang menarik mengenai kawasan parlimen Sipitang ialah kedudukan geografinya yang unik,  Terletak di selatan negeri Sabah, ia bersempadan dengan Sarawak (Lawas) dan Indonesia (Kalimantan). Sipitang juga adalah laluan utama ke Brunei Darussalam melalui jalan darat dan laut serta laluan ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Jaraknya dari Kota Kinabalu ialah kira-kira 144km dari Beaufort, 44 km. Di Sipitang terdapat lapan majoriti suku-kaum iaitu Kadayan, Bisayak, Brunei, Murut,Lundayuh, Lunbawang, Dusun Kadazan dan Cina.

Sipitang, juga terkenal sebagai penganjur Pesta Gasing dan Tamu Besar atau lebih dikenali dengan nama Pesta GATA, yang diadakan dua tahun sekali.

Tetapi apa yang lebih menarik lagi ialah rekod yang dipegang oleh Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad yang sudah berkhidmat sebagai Pembantu Menteri kepada tujuh orang Ketua Menteri Sabah!

Lazimnya jawatan Pembantu Menteri akan bertukar apabila Ketua Menteri bertukar. Tetapi dalam kes Sapawi, Ketua Menteri saling bertukar, tetapi dia tetap kekal. Mungkin kerana sikapnya disenangi oleh Ketua-Ketua Menteri berkenaan, mereka tidak mempunyai sebab untuk menggantikannya dengan orang lain.

Jadi, tidak keterlaluan jika Sapawi boleh diibaratkan ensiklopedia bergerak mengenai Ketua-Ketua Menteri Sabah.

“No problem. Saya tidak pernah menghadapi masalah bekerja dengan mereka. Ia pengalaman yang menyeronokkan lagi membanggakan kerana bukan mudah nak buat orang percaya pada kita,” kata Sapawi kepada Agendadaily dalam pertemuan baru-baru ini.

Dari guru kepada politik? Bagaimana transformasi itu berlaku?

sapawi5xx

“Selepas tamat belajar, saya menjadi guru sejarah. Tidak pernah terlintas masuk poltik, apatah lagi bekerja sebagai Pembantu Menteri kepada tujuh orang Ketua Menteri. Semuanya berlaku tanpa dirancang,” kata Sapawi.

Sapawi berkata selepas menamatkan pengajian perguruan dari Maktab Perguruan Gaya di Kota Kinabalu pada 1973-74, dia terus menjadi guru sejarah di Sekolah Menengah Saint Patrick di Membakut, Beaufort selama tiga tahun.

Pada 1978 Sapawi menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dalam jurusan Sains Sosial dan keluar apabila keluar pada 1981 dia mengajar di Sekolah Berasrama Limau-Limauan di Kinarut, Papar.

Pada 1984 Sapawi ditukarkan ke Sekolah Menengah Sains Kota Kinabalu sebelum naik pangkat menjadi Penolong Pengarah Pendidikan Sabah (bahagian latihan dan kemasyarakatan) pada 1988.

“Sebenarnya menjadi guru dan ahli politik tidak ada jauh bezanya. Kita berkhidmat untuk masyarakat. Sebagai pendidik, kita lebih banyak memberi pandangan kepada orang, tetapi dalam politik, kita kena dengar pandangan rakyat. Sebagai pendidik kita beri maklumat dan ilmu untuk didengar, tetapi sebagai ahli politik kita kena lebih banyak mendengar pandangan dan dapatkan maklumat daripada rakyat,” katanya.

Sapawi berkata, kariernya dalam politik bermula pada 1991 apabila dia dilantik sebagai Pengarah BTN Sabah dan menyertai UMNO sebaik parti itu berjaya masuk ke negeri di bawah bayu itu.

sapawi-2xx

“Apabila BTN Sabah ditubuh saya menjadi Pengarah pertama, dan pada masa itu kerajaan negeri tidak ditadbir oleh BN yang ketika itu jadi pembangkang. Jadi susah betul nak buat pembangunan apabila berurusan dengan kerajaan negeri,” katanya..

Sapawi berkata, ketika bersama BTN banyak rintangan yang dilaluinya kerana pada peringkat awal, BTN Sabah tidak mempunyai pejabat tetap.

“Walaupun hanya ada pejabat sementara, saya telah melatih 20 bahagian, pemuda dan wanita serta cawangan, belia, pemimpin masyarakat dan pegawai kerajaan.

“Pengalaman itu mematangkan saya terhadap pemikiran politik di peringkat bahagian, cawangan, pemuda dan wanita sehingga saya boleh kenal A sampai Z seluruh bahagian Sabah dari segi aspirasi, pendekatan dan juga perhubungan dengan  semua pemimpin politik di situ,” jelasnya.

Menurut Sapawi, selepas tiga tahun mengemudi BTN Sabah, dia terkejut apabila dicalonkan bertanding di DUN Sindumin dan menang dengan majoriti lebih 1,400 walaupun terdahulu DUN itu adalah kubu kuat USNO. Malah dia berjaya mengekalkan kerusi DUN itu selama tiga penggal.

Sapawi berkata, apabila BN menang di Sabah pada 1994, perlantikan negeri dibuat secara bergilir-gilir dan dia dilantik menjadi Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, iaitu Tun Sakaran Dandai.

Tidak sampai setahun, Sankaran dilantik sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) menggantikan Datuk Seri Panglima Salleh Keruak (sekarang Speaker DUN Sabah) manakala Yong Teck Lee pula mengambilalih jawatan Ketua Menteri menggantikan Sakaran

Pada 1996 Sapawi kekal Pembantu Menteri, kali ini kepada Tan Sri Bernard Tompok. Selepas PRU 1998, jawatan Ketua Menteri bertukar tangan kepada Datuk Seri Panglima Usu Sukam selama dua tahun dan dia juga mengekalkan khidmat Sapawi.

Pada 2000 Tan Sri Chong Kah Kiat dilantik Ketua Menteri  Sabah yang baharu, dan dia  juga mengekalkann Sapawi.

Pada 2002 pula Sapawi dilantik sebagai Pembantu Menteri kepada Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Musa Aman (kini Ketua Menteri Sabah).

sapawi6xx

Pada PRU 2008 Sapawi menang di Parlimen Sipitang dengan majoriti hampir 7,000 undi mengalahkan  calon PKR, Haji Karim Kassim. Kemenangan itu dimaniskan lagi dengan perlantikannya sebagai Pengerusi Sabah Land Development Board (SLDB) pada tahun yang sama dan jawatan itu disandang sehingga sekarang.

Diminta pendapat mengenai senario politik di Sabah, Sapawi berkata dia yakin UMNO/BN tidak akan menghadapi masalah mengekalkan negeri itu.

“Pembangkang tak boleh masuk ke kawasan saya. Tak ada isu. No problem,” katanya.

Sapawi juga tersenyum lebar apabila ditanya sama ada dia mengenali Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandangkan dia juga pernah menyertai ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia).

Apabila saya masuk ABIM Anwar sudah jadi menteri. Kami bertemu pun tak pernah,” katanya, sekaligus menangkis gosip yang pernah keluar dalam blog pembangkang tahun lalu kononnya dia salah seorang Ahli Parlimen yang akan melompat.

Hasil perkahwinan Sapawi dengan isterinya, Patimah Ali, mereka dikurniakan lima anak, iaitu dua lelaki dan tiga perempuan. Anak sulongnya bekerja sendiri, sementara anak kedua dan ketiga masing-masing graduan UIA. Anak keempat pula sedang mengambil jurusan perubatan di Universiti Kaherah manakala anak bongsu masih menuntut di Tingkatan 4.

Isterinya yang dikenali ketika menuntut di UKM, berasal dari Terengganu adalah  graduan akauntansi adalah pengetua Sekolah Menengah Tansau yang terletak di Putatan.

sapawi7xx

Pada waktu lapang, Sapawi aktif bermain bola bersama pasukan yang diberi nama “Sipitang Dream Team” yang turut dianggotai oleh bekas pemain-pemain negeri Sabah.

“Ketika sekolah saya jadi penjaga gol. Sekarang saya jadi striker. Usia bukan penghalang kerana saya masih fit,” katanya berseloroh.

“Saya memang minat bola dan kalau baca akhbar, saya akan baca bahagian sukan dahulu, terutama ruangan bola,” tambahnya. – 31/7/2012- OLEH NOORHASILAH ISMAIL.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 551  tetamu dalam talian