02September2014

Razali tak risau...

razali_ibrahim
Kebelakangan ini bermacam-macam strategi digunakan pembangkang untuk memperdayakan rakyat, termasuk membuat ramalan atau analisis kononnya boleh rampas kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di sana sini. Negeri Johor, yang menjadi kubu kuat UMNO tidak terkecuali, malah pembangkang sesama sendiri membuat ramalan boleh menang sembilan hingga 12 kerusi parlimen.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim, ketika diminta komen mengenai kawasannya yang turut masuk dalam "senarai" sasaran pembangkang, tersenyum lebar sahaja. Menurutnya ramalan ini tidak menakutkannya kerana dia sentiasa turun padang buat kerja, berbanding pembangkang yang asyik reka fitnah.

"Dalam mana-mana gerak kerja mesti ada sasaran. Kita ambil contoh satu kejohanan bolasepak, di mana semua kata boleh menang sebab dah berlatih dan sebagainya, tetapi apabila masuk padang, corak permainan yang akan menentukan siapa menang, siapa kalah. Dalam pilihanraya pun sama juga. Sebelum bertanding, semua ada keyakinan untuk menang, tetapi masa bertanding, kita kena ada strategi tambahan," katanya.

Razali, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, berkata, setiap minggu apabila pulang ke kawasan, dia akan meneliti gerakan peti undi secara terperinci Malah, katanya ada pengerusi peti undi yang digantikan disebabkan faktor usia dan kesihatan bagi memastikan jentera lebih mantap. Sejak dua tahun lalu juga Razali telah meningkatkan usaha mendekati pengundi baharu.

"Apabila kerja-kerja dibuat awal, latihan kepada pelapis dapat dilaksanakan dengan baik. Walaupun keseluruhannya baik, tetapi saya belum puas hati. Banyak lagi usaha perlu diperingkatkan. Tetapi dibandingkan dengan persiapan Pilihanraya Umum (PRU) 2008 yang lalu, kali ini gerak kerja lebih terperinci dan bersepadu," katanya dalam pertemuan di parlimen baru-baru ini.

Razali berkata kawasannya tidak mempunyai isu, tetapi dia tidak menolak kemungkinan pembangkang mungkin akan menggunakan serangan peribadi ke atas calon walaupun perkara itu tidak wujud. Dia juga tidak menolak kemungkinan pembangkang akan cuba membangkitkan isu perkauman.

"Tetapi dalam pilihanraya adakqh kaum menjadi penentu atau ukuran? Itu tak baik. Kalau kita tengok kerusi-kerusi yang disasarkan Pembangkang semuanya majoriti kaum Cina. Ini kerana mereka tak harapkan orang undi orang Melayu. Maka mereka main sentimen yang sangat merbahaya dalam sistem demokrasi, iaitu perkauman.

"Walaupun UMNO dan BN dilempar tuduhan sebagai rasis sejak dulu, kita tidak pernah mengatakan tempat yang majoriti Cina menjadi kekuatan kita. Tetapi berikutan keputusan PRU 2008, kaum Cina telah dijadikan alat pembangkang untuk menyusun strategi. Kalau saya orang Cina, saya akan marah kerana ini seolah-olah saya tak ada pendirian.

"DAP akan bertanding di kerusi majoriti Cina, sementara PAS pula akan akan bertanding di kerusi majoriti Melayu, manakala PKR di kerusi yg bercampur. Maknanya strategi pembangkang berasaskan kaum. Lagi kuat kita gunakan strategi seperti itu, semakin kuat kita memisahkan kaum di negara ini. Kerajaan tidak dibentuk hanya kerana satu-satu kaum. Ianya merugikan. Kita bina negara kita dengan keseragaman, persefahaman dan kerjasama di antara kaum," tegasnya.

Razali berkata, andaian atau ramalan pembangkang dibuat sebab kononnya yakin kaum Cina bersama mereka. "Saya percaya masyarakat Cina adalah yang paling pragmatik dan fikir untung rugi. Seperti pengundi kaum lain, mereka bukan kaum yang boleh kita perbodohkan," katanya.

Menurut Razali antara senjata utama yang boleh menjamin kemenangan di Muar atau di tempat lain ialah akur dengan pemilihan calon, menyusun gerak kerja tanpa berbelah bahagi, mendekati pengundi dengan menyampaikan dasar-dasar, kejayaan dan kemampuan kerajaan BN untuk berkhidmat, dan bijak mematahkan serangan pihak lawan.

Katanya, kelebihan BN jauh lebih baik kerana sejak dahulu lagi pemimpin dilatih turun padang, berbanding pembangkang yang kadang-kadang boleh bertukar kawasan tempat bertanding disebabkan mereka tidak meletakkan khidmat kepada pengundi sebagai keutamaan.

"Pernah ke kita dengar Datuk Seri Najib Tun Razak akan bertanding di mana selepas ini? Dia tetap akan bertanding di Pekan. Dia tahu Pekan luar dan dalam. Susah senang dia akan berada di Pekan. Begitu juga pemimpin-pemimpin BN yang lain. Mereka tak tukar kawasan. Mereka sama ada kekal bertanding di tempat lama ataupun tidak dipilih lagi," katanya.

Razali agak terkejut apabila ditanya sama ada dia tidak gentar apabila pembangkang mensasarkan kawasannya.

"Ini bukan soal gentar, tetapi tanggunjawab. Kalau menang bukan bermakna kita seronok. Kalau kalah maknanya khidmat kita tak lagi diperlukan. Kalau menang atau kalah, yang untung atau rugi bukan diri kita. Yang untung atau rugi dalam sistem demokrasi ialah bukan orang yang bertanding tetapi masa depan negara.

"Jadi, sesiapa yang bertanding mesti menawarkan apa yang dia boleh buat. Saya sudah dua penggal pun rasa kerja tak pernah habis, apatah lagi pembangkang yang boleh ada satu kerusi DUN dan 1 kerusi Parlimen. Saya tak boleh bayangkan macam mana saya nak jaga dua kerusi, iaitu DUN dan Parlimen dalam kawasan dan negeri yang berbeza."

Razali seterusnya menempelak Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang berangan-angan mahu bertanding kerusi DUN dan Parlimen di Johor.

"Kenapa dia nak balik Johor? Mungkin orang Kelantan tak hendak dia lagi. Kita tengok semua orang bukan Kelantan diminta balik bertanding di negeri masing-masing. Kalau dia (Salahuddin) nak jadi Menteri Besar Johor, dia kena jawab dulu, apa benda paling baik dia buat di Kubang Kerian, iaitu kawasan parlimen yang negerinya ditadbir oleh parti dia sendiri? Tolong beritahu saya, apa benda bagus yang dia buat di Kubang Kerian untuk melayakkan dirinya untuk jadi MB Johor? Bagaimana rupa Kubang Kerian sejak dia jadi Ahli Parlimen? Hanya kerana dia orang Johor, belum tentu dia layak. Saya tahu parti pembangkang, orang Melaka pun boleh jadi Ketua Menteri Pulau Pinang."

 Kawasan Parlimen Muar mengandungi dua DUN, iaitu DUN Maharani dan Sungai Balang. Jumlah pengundi berdaftar seramai 41,019 orang dengan 22,902 pemilih di DUN Maharani dan 18,117 pemilih di DUN Sungai Balang.  Mengikut pecahan kaum, ia merangkumi 62.1 peratus Melayu, 36.1 peratus Cina, 1.8 peratus India dan selebihnya etnik-etnik lain. Pada PRU 2008,  Razali mempertahankan kerusi parlimennya apabila memperolehi 12,325 undi mengalahkan calon PKR, Nah Budin dengan majoriti 4661 undi.-31/10/2012OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 741  tetamu dan tiada rakan dalam talian