16Januari2019

Perjalanan hidup warna warni Tan Sri Yusof Nor…tak hairan kenapa FELDA terus kena attack

yusof1Pada usia 70 tahun, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor telah melalui perjalanan hidup yang penuh warna. Dari seorang guru agama, kariernya meningkat setapak demi setapak kepada guru besar, dekan dan kemudiannya sebagai Timbalan Naib Canselor.

Dari dunia pendidikan, kariernya melencong pula ke arena politik hingga jadi seorang menteri sebelum bertukar hala ke dunia korporat apabila dilantik sebagai pengerusi FELDA pada 1 Julai 2001 dan memegang jawatan itu sehingga Disember 2010.

Ketika masih menerajui FELDA, beliau dilantik sebagai pengerusi TV Alhijrah pada Oktober 2010.Karier dan suasana di sekeliling Yusof mungkin telah melalui pelbagai perubahan, tetapi prinsip yang dipegangnya selama ini tetap sama, iaitu jangan cari musuh. Selain itu Yusof juga sentiasa mengingati pesanan penting bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad satu ketika dulu.


“Tun berpesan, sekiranya mahu menjadi pemimpin, kita haruslah menjauhkan diri daripada krisis. Kerana jika kita menjadi sebahagian daripada krisis, kita tidak akan berjaya menyelesaikan masalah,” kata Yusof kepada Agendadaily dalam satu pertemuan di pejabatnya di TV AlHijrah di Kuala Lumpur baru-baru ini.


“Prinsip saya ialah.  jangan cari musuh dan nasihat Tun itu memang melekat di hati saya sampai hari ini. Saya juga ingat pesannya, kalau menjadi pemimpin kita tidak boleh bersikap berpihak, barulah kita dapat menguruskan sesuau dengan baik,” katanya.


Bagaimanakah seorang guru agama boleh melencong jadi ahli politik?


“Semasa sekolah dulu, cikgu tanya, dah besar nak jadi apa? Saya kata nak jadi pengarang,” kata Yusof yang setelah mendapat ijazah dari Universiti Al-Azhar, memulakan karier sebagai guru agama di Sekolah Rendah Padang Midin Kuala Terengganu, Sekolah Sultan Zainal Abidin serta beberapa buah sekolah lain.


Beliau kemudian menyambung pengajian di Universiti Eins Shams sebelum mendapat ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Kaherah pada 1974. Sekembalinya ke Malaysia dia menyertai Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai Ketua Kolej dan pada 1995 dinaikkan pangkat sebagai Dekan dan Timbalan Naib Canselor pada 1980.


Tetapi bilakah karier politiknya bermula?


“Karier politik saya bermula pada 14 Julai 1984. Sebelum Tun Mahathir melakukan rombakan kabinet, banyak spekulasi berlaku mengenai siapa yang akan dilantik, tetapi tak seorangpun tahu senarai Tun yang ditulis dengan tangan.


“Saya difahamkan hanya Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Musa Hitam dan Yang DiPertuan Agong sahaja yang tahu senarai yang ditulis Tun. Saya difahamkan Tun bertindak demikian sebab dia tak mahu ada orang melobi kat dia.


“Tiga hari sebelum Tun mengumumkan rombakan kabinet, saya pergi kerja macam biasa, menjalankan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor UKM. Kebetulan ada mesyuarat, tetapi tepat 12 tengahari seorang pegawai minta ia dihentikan untuk mendengar pengumuman barisan kabinet baru Tun Mahathir menerusi radio.


“Saya masih ingat mula-mula Tun Mahathir mengumumkan dirinya sebagai Perdana Menteri diikuti jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandang oleh Tan Sri Musa Hitam. Selepas itu Tun umumkan Tan Sri Khalil Yaakob sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Kemudian dia mengumumkan jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri…Datuk Yusof Noor, saya terpinga-pinga. Rakan-rakan riuh bertanya kenapa saya tidak memberitahu mereka.


“Selepas itu saya tak boleh concentrate buat kerja dan masuk ke pejabat. Sampai di pejabat setiausaha saya beritahu ada telegram di atas meja. Saya baca telegram daripada Perdana Meneteri yang bercadang melantik saya sebagai senator sebelum dilantik Timbalan Menteri.


“Tidak lama selepas itu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) ketika itu, Tan Sri Sallehuddin menelefon dan beritahu Perdana Menteri nak lantik saya sebagai senator dan bertanya sama ada saya nak terima.


“Belum sempat saya jawab, dia kata, “you kena terima. Ini perlantikan Perdana Menteri,” Esoknya saya angkat sumpah sebagai senator,” ceritanya.
Menurut Yusof pada hari itu sebaik pulang ke rumah, isterinya sibuk beritahu dapat panggilan telefon tak putus-putus mengucapkan tahniah. Rupa-rupanya isterinya sendiri tak tahu kerana dia tidak menonton TV.


Bagaimana agaknya Yusof Noor menyesuaikan diri daripada seorang pendidik kepada Timbalan Menteri?


“Susah jugalah saya nak adjust masa tu. Tambahan sebelum itu tak ada jawatan Timbalan Menteri di JPM yang jaga Hal Ehwal Islam. Tetapi lama kelamaan, Alhamdulillah, saya boleh menjalankan tugas dengan baik,” katanya.


Kejutan dalam hidup Yusof Noor tidak ternoktah di situ sahaja, malah berlaku pada Pemilihan Agung UMNO (PAU) 1987, 1990 dan 1993 apabila dia dicalonkan untuk jawatan Ahli Majlis Tertinggi dan mendapat undian terbanyak tiga penggal berturut-turut. Yusof mengekalkan jawatan itu pada penggal 1996 dan 2000. Pada 2003 beliau mengambil keputusan tidak mahu bertanding untuk memberi laluan kepada muka baru.


“Dalam PAU pertama, saya masuk sekadar nak tunai hajat orang yang calonkan saya dan tak terfikir nak menang memandangkan saya orang baru. Apaila saya jumpa Tun Mahathir dan memberitahunya saya terkejut dengan keputusan itu, dia berkata, saya dapat undi tertinggi mungkin sebab saya tak ada team, jadi semua orang sokong saya,” katanya.


Yusof berkata begitu kerana ketika pemilhan itu UMNO dilanda krisis kerana berlaku pergeseran antara Tun Mahathir dan Musa Hitam sehingga wujudnya Team A dan Team B dalam parti itu.

alt


Dalam rombakan kabinet seterusnya, Yusof dilantik menjadi Menteri penuh di Jabatan Perdana Menteri sehingga 1990 sebelum dia bertukar ke  Kementerian Perusahaan Awam sehingga 1999.


Dalam perbualan dengan Agendadaily itu juga, Yusof menjawab teka-teki mengenai khabar angin yang bertiup sekitar 1995 bahawa dia ditawar jawatan Menteri Besar Terengganu.


“Pada satu hari pada tahun 1995, Saya diberitahu oleh Tun bahawa dia mahu menghantar saya semula ke Terengganu untuk mengambilalih jawatan Menteri Besar daripada Datuk Seri Wan Mokhtar Ahmad yang sepatutnya meletakkan jawatan.


“Tetapi entah mengapa, dia tidak mahu melepaskan jawatan dan saya bertanding peringkat Dewan Undangan Negeri pada Pilihanraya Umum (PRRU) 1995, menang dan dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu,” cerita Yusof.


Pada PRU 1999, masalah dalaman UMNO telah menyebabkan BN kehilangan Terengganu. “Kita kalah habis. Ia berlaku kerana ramai orang tak puashati menyebabkan populariti ahli politik di negeri itu menurun. Tetapi ramai ahli politik walaupun sedar populariti mereka sudah menurun,  tak mahu akui dan tetap tak mahu berhenti.


“Ahli politik tak kira peringkat nasional, negeri atau bahagian patut belajar dari pengalaman lepas. Untuk bantu Perdana Menteri, siapa yang sudah lama tu, berhentilah. Walk the talk. Bagilah peluang kepada orang baru.


“Kosongkan krisis dalam parti untuk membantu Datuk Seri Mohd Najib. Jika pemimpin lain terus menerus menjadikan diri sendiri krisis, macam mana nak tolong PM. Kita berjaya ambil balik Terengganu dalam PRU 2004 kerana rakyat menyokong orang yang tidak ada team,” katanya.

Kenapa BN tak boleh ambil semula Kelantan?


“Faktor yang ada pada Terengganu ketika itu tidak ada di Kelantan. Di Terengganu kita berjaya leburkan team dan pilih orang yang tak ada team. Untuk menang Kelantan dalam PRU akan datang, kita kenalah guna formula yang sama seperti digunakan di Terengganu. Serahkan jawatan dengan ikhlas. Kita serahkan kain putih kepada PM dan biarlah dia mewarnakan kain itu.”


Yusof geleng kepala dan enggan mengulas apabila dikatakan senario di Terengganu sekarang tidak macam dulu dan krisis masih berterusan.


“Sekarang waktu yang kritikal. PM perlu sokongan sebanyak mungkin, terutama ketika kita menghadapi krisis perlembagaan. PRU ke-13 akan datang paling kritikal tetapi boleh bertukar menjadi yang paling kuat untuk Barisan Nasional sekiranya ada perpaduan. Kita kena simpati kepada Najib kerana bukan senang dia nak urus kewangan dan ekonomi negara,” kata Yusof dengan nada penuh kejujuran.


Walaupun tidak lagi memegang jawatan Pengerusi FELDA, hati Yusof tetap bersama badan itu. Apa tidaknya, dia dilantik menjadi Pengerusi FELDA pada 2001 ketika keadaan “gawat” hasil impak PRU 1999. Tetapi Yusof berjaya memulihkan imej badan itu dan mengembalikan kepercayaan peneroka sehingga BN menang balik semua kawasan parlimen FELDA.


Hari ini, Yusof masih tetap mempunyai suara apabila PM melantiknya sebagai penasihatnya mengenai FELDA.


Yusof merenung sejenak apabila ditanya mengapa kebelakangan ini FELDA sering diserang oleh pembangkang.


“Senario dalam politik sekarang ialah pembangkang melihat kekuatan BN terletak kepada FELDA. Mereka nampak FELDA signifikan kepada BN kerana FELDA merangkumi 54 kawasan parlimen termasuk Sabah dan ini sahaja sudah menghasilkan majoriti mudah.


“Pada PRU 1999 kita lihat Najib mendapat kelebihan undi yang sedikit. Waktu itu rakyat mahukan perubahan dan sebagainya. FELDA dalam keadaan yang payah dan dikuasai pembangkang.


“Saya masuk ketika FELDA sedang gawat. Kita baru habis PRU 1999. Masa itu Datuk Najib dapat majoriti yang sikit kerana banyak faktor seperti rakyat mahukan perubahan, ekonomi tak bagus dan macam-macam lagi. Keadaan di FELDA ketika itu agak teruk.


“Tetapi pada PRU 2004 kita dapat balik semua parlimen di kawasan FELDA. Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi rasa lega.
 
Tetapi selepas itu keadaan jadi buruk kembali. Bagaimanapun kesemua kawasan parlimen babitkan FELDA berjaya dikekalkan. Pada PRU 2008 walaupun BN kalah lima negeri, tetapi kubu FELDA tetap kekal.

alt


“Kita kena ingat, yang memenangkan calon di kawasan-kawasan parlimen berkenaan adalah warga FELDA. Lihat sahajalah jumlah undi yang diperolehi di kawasan-kawasan FELDA. Kita menang kerana sokongan peneroka kuat,” katanya dengan penuh semangat.
Yusof berkata, pada pandangan orang yang mahu menjatuhkan BN, mereka perlu tumpu serangan ke atas FELDA. Katanya niat pembangkang ialah untuk merosakkan imej PM kerana FELDA di bawah jagaannya.


“Kalau kita periksa rekod, berbanding agensi kerajaan yang lain, FELDA adalah yang paling berjaya.  FELDA sudah boleh berdikari sejak 1996 (setelah berjaya melangsaikan hutang kepada Bank Dunia). Sejak berdikari FELDA sudah selamatkan duit kerajaan lebih daripada RM400 juta setahun.


“Apabila FELDA sudah boleh berdikari, ia tak perlu lagi geran daripada kerajaan. Dari situ kita nampak yang FELDA berjaya. Sedangkan agensi yang disokong kerajaan walaupun sudah dapat berdikari, mereka belum dapat mencatat kejayaan seperti FELDA. Mereka masih terima geran.
 
“Kenapa mereka tak buat macam FELDA? Mereka yang patut kena attack. Tetapi FELDA pula yang selalu kena attack. Itu kira cemburu politiklah,” kata Yusof dalam nada seloroh.


Yusof berkata apabila FELDA semakin berjaya, memanglah pembangkang nak serang sahaja.


“Saya pernah jadi Ketua Penerangan UMNO sebab itu saya tahu. Mereka tengah cari “base” untuk attack BN dan mereka dapati base BN kuat kerana sokongan masyarakat FELDA,” katanya.


Yusof bagaimanapun relaks sahaja apabila ditanya bagaimana dia menghadapi serangan-serangan pembangkang sepanjang menjadi Pengerusi FELDA.
 
“Serangan-serangan itu sebenarnya telah membina kekuatan kepada FELDA dan pembangkang tak sedar mereka telah menggunakan strategi yang salah,” katanya sambil tersenyum lebar.


Menurut Yusof daripada 112,653 peneroka FELDA, 89 peratus peneroka kekal dengan FELDA dan cuma 11 peratus yang menguruskan sendiri ladang mereka. Golongan inilah yang membawa masalah dari dulu lagi dan pembangkang menggunakan mereka untuk mencucuk jarum hasutan.


“Walaupun golongan 11 peratus ini tidak bersama FELDA, kami tetap beri duit raya kepada mereka,” katanya.


Begitupun media pro pembangkang yang tidak tahu hujung pangkal cerita membuat dakyah kononnya peruntukan-peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri kepada peneroka FELDA adalah duit kerajaan.


“Itu duit FELDA. Kalau FELDA bangkrap mana boleh bayar? Selama ini walaupun FELDA sudah berdikari, polisi ditetapkan oleh kerajaan, jadi wajarlah kerajaan yang umumkan. Kerajaan umum peruntukan, tapi duit itu duit FELDA.


“Sejak 1996 apabila apabila FELDA tidak mendapat geran lagi daripada kerajaan, semua perbelanjaan termasuk bonus hari raya, bantuan pendidikan dan macam-macam skim semuanya diambil dari tabung yang dihasilkan oleh Koperasi FELDA.


“FELDA dapat melakukan semua ini kerana sokongan kerajaan. Itu kita perlu ingat. Malah apabila berlaku masalah air di kawasan FELDA, walaupun itu tugas JBA, kami turun padang. FELDA keluar duit lebih kurang RM180 juta untuk mengatasi masalah itu.


Sepanjang sembilan tahun jadi pengerusi FELDA, bagaimana Yusof Noor melihat keadaannya dulu dan sekarang?


“Saya masuk pada 2001 ketika keadaan masih gawat berikutan PRU 1999. Tugas utama yang diberikan kepada saya ialah untuk memulih imej FELDA dan kembalikan keyakinan peneroka. Apabila saya ke luar negara, tarikan utama pelabur ialah mereka tahu FELDA sebuah agensi yang disokong kerajaan, jadi sudah tentu kualiti minyak sawitnya baik, berbanding swasta.


“Pelabur tahu FELDA ialah sebuah agensi yang berkaitan dengan kerajaan. Mereka rasa yakin dan selamat.. Itu aset kita.”


Apa perasaan Yusof setelah menamatkan tempohnya sebagai Pengerusi FELDA?


“Saya rasa lega kerana meninggalkan FELDA dalam keadaan yang baik.”


Menceritakan detik-detik awal dia memegang jawatan Pengerusi FELDA, Yusof berkata pada mulanya mungkin ada orang yang “tidak berapa berselera” dengannya kerana dia orang politik.


“Walaupun ketika itu saya sudah tak jadi Menteri lagi, label sebagai orang politik masih melekat pada saya. Jadi saya kena adjust supaya orang yakin dengan saya. Yang penting kita buat kerja.”


Sekiranya berlaku PRU pada masa terdekat ini, adakah Yusof yakin kerajaan BN dapat mengekalkan sokongan warga FELDA?


“Saya tak fikir FELDA boleh terjejas, bahkan saya yakin warga FELDA sudah matang. Cuma kita kena pastikan tidak melaukan kesilapan dalam soal pendekatan. Jangan sekali-kali pandang rendah kepada peneroka. Jika segalanya dapat dikekalkan dengan elok, tak ada apa yang perlu dirisaukan."


Yusof turut diminta mengulas mengenai kemungkinan pembangkang dapat maklumat daripada orang dalam FELDA untuk menghentam, serta amalan saman menyaman.


“Soal orang nak saman FELDA, ia berpunca daripada masalah peribadi. Saya tak boleh cop mereka sebagai penentang FELDA. Tetapi ia adalah budaya yang boleh diurus. Saya juga dapat laporan ada orang FELDA tak sokong kerajaan. Biasanya saya guna pendekatan profesional dengan memanggil orang berkenaan untuk berbincang dan betulkan situasi.


“Bagi orang yang lari dari FELDA, saya tidak boleh mengecop mereka sebagai musuh. Kita mesti menggunakan pendekatan yang baik untuk cari jalan terbaik menyelesaikan masalah. Kita boleh berbincang.”


Apakah peristiwa yang paling tak dapat dilupakan Yusof Noor sepanjang perjalanan hidupnya?


“Semasa saya jadi Timbalan Naib Canselor di UKM dulu, Anwar Ibrahim aktif dalam ABIM dan biasalah selalu anjur demo. Dia datang minta kebenaran nak buat demo. Biasalah orang buat demo akan berikan senarai peserta yang nampak akademik tetapi yang datangnya orang lain. Itu memang trick dari dulu lagi. Pihak universiti benarkan dengan syarat tak bawa orang luar dan cerita politik. Pelajar universiti yang tentang lawan kumpulan dia. Tetapi dia tuduh saya tidak bersimpati dengan dia.


“Pada 1983 ketika Anwar dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dia ada telefon saya, beritahu kononnya dia nak rekomen kepada Perdana Menteri agar sambung jawatan saya sebagai Timbalan Naib Canselor. Saya kata, oh, terima kasih. Saya tak bagitahu pun kontrak saya padahal sudah disambung lama sebelum itu,” kata Yusof sambil tergelak. – 9/8/11- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 335  tetamu dalam talian