25Oktober2014

Wan Junaidi bercakap pasal politik Sarawak

wan-junaidi-tuanku-jaafar
KEMASKINI : Kebelakangan ini kalangan pemimpin Pakatan Pembangkang dilihat rajin betul berulang alik ke Sabah dan Sarawak. Apabila pulang ke Semenanjung mereka jaja cerita kononnya ceramah di kedua-dua negeri itu mendapat sambutan, padahal realitinya hanya beberapa kerat sahaja yang hadir.

Misalnya kunjungan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Buntal baru-baru ini cuma dihadiri oleh 200 orang.

Daripada jumlah itu lebih separuh adalah pegawai kerajaan, polis, kakitangan penerangan, JASA dan ahli-ahli parti komponen BN yang datang nak mendengar cerita dongeng mereka untuk disampaikan kepada pemimpin.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang juga Ahli Parlimen Santubong, berkata, beliau menerima laporan bahawa hanya 50 orang tempatan yang hadir dan selebihnya dari luar kawasan ketika Anwar mengadakan ceramah berkenaan.

“Empat minggu lepas, seorang Ahli Parlimen dari Kuala Lumpur yang bijak bercakap datang ke kawasan saya. Tetapi di kawasan saya, penduduk bukan menilai orang kerana kebijaksanaannya bercakap, tetapi dari hasil kerjanya.

“Akhirnya dia akur dengan sentimen orang kampung dan mengakui saya buat kerja dan rajin, tetapi memberitahu mereka bahawa kadang-kadang seseorang itu kena tukar sekali sekala. Itu sahaja yang dia boleh cakap sebab dia tahu kalau dia caci saya, orang kampung akan halau dia balik,” kata Junaidi.

Junadi, yang juga ahli PBB (parti Pesaka Bumiputra Bersatu), berkata beliau faham mengapa pembangkang beriya-iya mahu menawan Sabah dan Sarawak kerana mereka melihat negeri-negeri itu sebagai fixed deposit BN.

Ini kerana terdapat 31 kerusi parlimen di Sarawak dan 24 di Sabah.

“Mereka fikir kalau dapat tawan Sabah dan Sarawak, separuh perjuangan mereka telah berjaya. Jadi mereka cuba pecahbelahkan keadaan di Sabah dan Sarawak.

“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak Sabah, tetapi bagi parti saya, PBB solid luar dan dalam. Saya yakin semua kerusi PBB boleh dipertahankan di Sarawak kerana kita tak ada masalah dalaman, tiada pergeseran antara pemimpin dan tiada rungutan mengenai pemilihan calon.

“Berdasarkan sejarah PBB, seseorang wakil rakyat, dia tidak pernah menjejaskan prestasi parti dalam pilihanraya nanti. Calon yang lama sentiasa kembali membantu dalam pilihanraya Tidak pernah pun dia menganiaya parti. Budaya ini telah kukuh dan sudah bersemadi dalam parti itu sendiri,” katanya.

Pada Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu, PBB mencatatkan kemenangan 100 peratus bagi semua 14 kerusi parlimen. Kerusi Parlimen yang dimenangi oleh PBB ialah Santubong, Petrajaya, Kota Samarahan, Mambong, Batang Saadong, Batang Lupar, Betong, Tanjung Manis, Igan, Mukah, Kapit, Sibuti, Limbang dan Lawas.

Junaidi berkata, isu yang selalu digunakan oleh Pembangkang di Sarawak daripada dulu ialah mengenai tanah adat. Bagaimanapun beliau yakin tidak akan berhadapan dengan masalah menangani isu itu, Ini kerana ketika thesis yang dibuatnya untuk mendapatkan Phd ialah mengenai undang-undang tanah adat.

Katanya pembangkang yang tidak faham undang-undang tanah adat Sarawak telah menuduh kerajaan mengambil tanah itu.

“Apa yang kerajaan buat ialah bekerjasama dengan tuanpunya tanah untuk memajukan tanah dan mendapatkan pulangan sepertimana dibuat oleh FELDA. Pulangan itu dikembalikan kepada tuanpunya tanah adat yang tidak mengeluar modal walau sesen,” katanya.

Junaidi berkata Pembangkang telah membuat tafsiran yang salah mengenai tanah adat. Katanya, tanah adat ialah tanah yang diteroka sebelum tahun 1958 dan bukan tanah yang diteroka selepas itu. Tanah adat, katanya adalah “milik orang kampung” dan bukan milik tanah individu. Tetapi Pembangkang telah memutarbelitkan fakta untuk mengelirukan orang kampung.

Menurutnya Kerajaan Negeri dan Pusat telahpun membuat kajian persempadanan pemilikan dan keluarga yang tidak mempunyai perbalahan mengenainya telahpun diberikan geran. – 21/11/12- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL


Pakai senonoh bila ke Parlimen – Wan Junaidi


Minggu lalu Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikan Amin Mulia buat pengumuman melarang orang luar membuat sidang akhbar di ruangan khas sidang media yang terletak di lobi Parlimen.

Pada Isnin pula, Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyuarakan rasa tak senangnya dengan tingkah laku golongan yang tidak menghormati kod berpakaian di parlimen serta perlaksanaan keselamatan. Wan Junaidi berkata, dia sering melihat ada golongan lelaki yang tidak memakai kemeja dengan bertali leher yang dilengkapi dengan sut, sebaliknya memakai blazer atau jaket kasual untuk menutup t-shirt tanpa kolar yang dipakai di dalamnya.

Dia juga pernah melihat golongan wanita yang memakai skirt terlalu pendek dan t-shirt tidak berlengan atau lengan separuh bahu mundar mandir dalam kawasan parlimen.

“Kalau nak pakai skirt kenalah yang bawah paras lutut. Tidak boleh di atas lutut. Dalam peraturan juga tidak ada mengatakan perempuan dibolehkan memakai seluar, tetapi kerana perubahan zaman, kita benarkan asalkan seluar itu tidak ketat.

“Tetapi blaus mestilah berlengan panjang. Pakaian yang menunjukkan bentuk badan tidak dibolehkan kerana ia menarik perhatian orang lain,” kata Junaidi ketika ditemui di pejabatnya di parlimen, Isnin.

Junaidi berkata, sistem parlimen Malaysia berfungsi mengikut tradisi konvensyen dan amalan parlimen di England. Katanya undang-undang yang digubal pada tahun 1952 sebelum Tanah Melayu Merdeka, yang dipanggil Legislative Council Priviledge and Right Ordinance 1952 tidak pernah dimansuhkan walaupun setelah Merdeka. Sehubungan itu, undang-undang itu harus terus digunapakai.

“Undang-undang ini menentukan bahawa apa juga amalan, hak dan kebebasan serta keutamaan di House of Commons (England) yang dinikmati oleh ahli-ahli parlimen di sana juga diniikmati oleh ahli-ahli parlimen Malaysia. Ini termasuk pakaian-pakaian yang tidak boleh dipakai di sana, juga tidak boleh dipakai di sini juga,” katanya.

Junaidi berkata, garis panduan yang digunapakai oleh parlimen Malaysia mesti mengikut garis panduan yang dipakai di parlimen England itu, melainkan ada undang-undang atau peraturan tertentu mengubah amalan itu.

Junaidi berkata, seperti di England, Speaker di Malaysia mempunyai kuasa penuh menentukan apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan di parlimen.

“Apabila seseorang masuk sahaja dalam kawasan parlimen, dia berada di bawah jagaan Speaker. Bahkan kerajaan pun tidak berhak memberi arahan apa yang boleh dan tidak boleh dibuat di dalam kawasan parlimen. Sesiapa sahaja yang masuk kawasan parlimen tertakluk kepada peraturan parlimen,” katanya.

Junaidi berkata daripada pengalamannya melawat parlimen di beberapa negara, dia mendapati Malaysia adalah negara yang paling longgar di segi penguatkuasaan kod etika berpakaian dan keselamatan.

“Kalau di India, hand-phone pun tidak boleh dibawa masuk. Bila kita nak masuk ke parlimen sana, hand-phone dimasukkan dalam satu bakul yang disediakan di lobi,” katanya.

Junaidi berkata, di House of Commons (England), kawalan keselamatan lebih ketat dan setiap satu pas dikeluarkan hanyalah untuk satu haluan. Katanya jika seseorang diberi pas untuk mendengar persidangan parlimen, dia tidak boleh pergi ke tempat lain, termasuk kantin atau perpustakaan.

Katanya jika seseorang itu mahu melawat ke tiga tempat di dalam parlimen, dia dikehendaki memohon tiga jenis pas laluan.

Di Greece dan Masedonia pula katanya, seseorang yang mahu menghantar surat penting untuk pentadbir parlimen hanya dibenar masuk setakat di luar bilik pengawal, itupun setelah menjalani pemeriksaan badan dan barang yang dibawanya. Dia juga dilarang membawa barangan masuk, sebaliknya menunggu pegawai parlimen datang mengambil barangan tersebut.

Junaidi berkata semasa melawat parlimen Western Australia ketika tiada persidangan, dia yang datang atas jemputan Timbalan Speaker menyuarakan keinginan melihat di dalam dewan. Tetapi Timbalan Speaker itu memberitahunya dia tidak boleh berbuat demikian tanpa mendapat kebenaran Speaker.

“Di Malaysia, kita lihat laluan-laluan yang dipakai oleh pihak tertentu sudah bercampur aduk. Pada masa yang sama kita lihat orang berpakaian tak senonoh bersama orang yang berpakaian elok. Betul-betul macam satu laluan di lorong-lorong bandaraya. Kehormatan martabat parlimen kita kena pertahankan,” katanya.

Junaidi berkata dia telah meminta supaya Ketua Pentadbir Parlimen mengadakan satu mesyuarat dengan ahli-ahli parlimen daripada Barisan Nasional dan parti-parti lain untuk membincangkan hal etika berpakaian dan keselamatan di parlimen.

“Kita akan minta kebenaran daripada Speaker dan saya bersedia mempengerusikan mesyuarat itu. Kita akan melaporkan saranan daripada mesyuarat itu kepada Speaker. Mungkin apabila parlimen bersidang lagi, saranan itu dapat dilaksanakan.

"Antara saranan yang saya ingin cadangkan ialah menguatkuasakan peraturan yang melarang pelawat yang tidak mematuhi etika berpakaian memasuki kawasan parlimen,” katanya. – 20/11/12. OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 548  tetamu dalam talian