18Disember2014

Lama tak dengar cerita Datuk Seri Idris Jusoh...

idrisjusoh3xx
idrisjusoh2xx
idrisjusoh1xx
Datuk Seri Idris Jusoh tenang menyambut kehadiran kami -sekumpulan wakil media baru- di tingkat lapan Menara Mara Jalan Tengku Abdul Rahman tengahari Selasa.

Pengerusi Mara itu mengadakan jamuan kecil bagi menghebahkan Tabung Warisan Mara, sesuatu yang ditekuninya bagi manfaat orang-orang Melayu.

Beliau mudah mesra dan cepat berbaur dengan orang disekeliling, program penerangan mengenai Tabung Warisan Mara itupun dibuat secara bersahaja, dengan beliau sendiri menerangkan satu persatu matlamat penubuhannya.

Acaranya tidak lama, cuma sejam setengah, bersekali makan tengahhari, tetapi layaknya seorang CEO berpengalaman, beliau berjaya menerangkan dengan jelas dan teliti mengenai tabung tersebut dan juga satu lagi program yang sedang diusahakan beliau dan beberapa yang lain iaitu Wakaf Korporat.

Sudah dua tiga kali Agendadaily minta hendak interbiu beliau mengenai politik semasa, tetapi seringkali ditolak dengan baik dan memang sejak dua tiga tahun ini, banyak temubual beliau lebih kepada kedudukannya sebagai Pengerusi MARA.

Mengenangkan warna-warni politiknya memang menarik.  Anak jati Besut Terengganu ini diingati sekurang-kurangnya pada tiga peristiwa besar.

Pertama, kejayaan beliau sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu menawan semula negeri itu dari pemerintahan PAS pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada PRU 2004.

Di atas kejayaan itulah, beliau dilantik sebagai Menteri Besar dan sekaligus memegang teraju kepimpinan UMNO negeri tersebut.

Kedua, berjaya mempertahankan kemenangan Terengganu dengan majoriti dua pertiga untuk BN pada pilihanraya umum ke 12 tatkala 'tsunami politik' menyebabkan beberapa negeri tumbang atau terhakis sokongan.

Dan ketiga, paling kontroversi adalah beliau tidak dilantik semula menjadi Menteri Besar Terengganu berikutan tidak mendapat perkenan Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sejak itu beliau jarang disebut dalam berita politik, sehinggakan ramai yang tidak sedar, beliau merupakan Pengarah Pilihanraya UMNO Pusat sejak 2008 dan beberapa jawatan lain diperingkat strategik dan dasar untuk UMNO dan BN.

Dalam perbualan ringkas dengannya, sempat juga cungkil pandangan beliau mengenai kedudukan Pakatan Rakyat (PR) selepas PRU ke 13 nanti.

Idris memang dikenali sebagai orang yang bercakap terus-terang. Tak ada koner-koner, menurutnya, PR tidak akan menang lebih dari kerusi yang telah mereka menang sebelum ini.

"Mereka sudah sampai ke limit, tidak boleh berkembang lagi, faktor ummnya sudah habis, jadi secara semulajadinya akan turun, manakala BN biarpun ada masalah di sana-sini tetapi keadaannya membaik.

"Sokongan kepada (Datuk Seri) Najib akan bertambah, bahkan jika calon-calon yang dipilih BN kali ini disukai rakyat, BN boleh menang lebih dua pertiga,"ujarnya yakin.

Tesis beliau, faktor calon merupakan faktor utama untuk menambah sokongan kepada BN dalam pilihanraya umum akan datang.

"Di Terengganu kita berjaya mengekalkan sokongan dua pertiga kepada BN ketika PRU 2008 kerana faktor calon yang disukai pengundi," katanya.

Bagi saya, yang sudah jadi wartawan politik sejak 13 tahun lalu, kata-kata Idris Jusoh ini ada pemberatnya. Bukan cakap retorik hendak bagi sedap orang dengar saja.

Saya ingat semasa cover pilihanraya kecil Galas Gua Musang, saya bertemu dengannya dan tanya boleh menang ke tidak pada malam akhir sebelum pengundian esok harinya.

Galas merupakan kerusi PAS, sejak PRU ke 12, BN kalah semua pilihanraya kecil di Semenanjung kecuali Bagan Pinang.

Di Galas, ada juga pemimpin BN yang tidak yakin kemampuan untuk tawan kerusi PAS di negeri Kelantan, terutamanya selepas apa yang terjadi pada PRU ke 12 dan memontum kemenangan PR dalam pilihanraya kecil

Tetapi beliau penuh yakin beritahu saya ketika itu, BN akan menang dan tawan Galas, yang katanya berdasarkan beberapa faktor termasuk kesan kempen gelombang merah.

Umum tahu semasa hendak tawan Terengganu tahun 2004, beliau yang cipta dan gerakkan kempen 'gelombang biru' di seluruh negeri tersebut.

Ingat lagi, beliau minta saya pakai baju merah juga untuk keesokkan harinya, "kita pakat pakai ramai-ramai," ujarnya.

Secara spontan saya kata tak ada baju merah, dengan selamba, beliau tarik tangan saya, bersama dua yang lain, pergi ke arah peniaga baju, yang kebetulan meniaga di situ, dan belikan sehelai baju merah.

"Esok pakai," katanya berlalu pergi.

Itulah Idris Jusoh, yakin dengan ideanya dan sentiasa pratikal dalam perlaksanaannya.

Berbalik kepada idea beliau menubuhkan Tabung Warisan Mara ini, katanya, tabung tersebut menyasarkan kutipan dana sejumlah RM1 bilion yang bertujuan untuk membiayai pendidikan pelajar Bumiputera.

Ia akan mengumpul dan mentadbir dana yang akan diwaqafkan.

"Kita sasar sejumlah RM1 bilion dana tetapi untuk digunakan bagi tujuan pendidikan hanya RM500 juta dan bakinya akan dilaburkan supaya keuntungannya boleh digunakan bagi tujuan pendidikan,"ujarnya.

Dana tersebut akan ditadbir Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dengan diperingkat awal hasil sumbangan dari bekas pelajar MRSM, bekas penuntut UiTM, bekas guru-guru Mara, warga Mara, persatuan pesara Mara, usahawan Bumiputera dan orang ramai.

''Saya percaya semua pihak yang pernah terlibat dengan Mara tidak akan lokek untuk menyumbang, sekurang-kurangnya RM1 seorang bagi tujuan ini.

''Sekurang-kurangnya dengan sumbangan itu besar ertinya apabila ia digunakan semula bagi membolehkan lebih ramai pelajar pintar bumiputera mendapat manfaat daripada tabung tersebut," kata beliau.

Dikawal selia oleh satu jawatankuasa khas yang berkredibiliti, tabung tersebut dijangka membudaya semangat menabung secara kolektif dan menyediakan dana yang berterusan dan berkekalan dalam membantu generasi akan datang.

Seperti idea-idea beliau sebelum ini, Idris Jusoh, tidak takut untuk 'think big', bagi beliau jangkaan RM1 bilion yang disasarkan pihaknya tersebut boleh dicapai jika kempen dibuat secara berkesan dan tersusun.

"Yang membezakan tabung ini dengan tabung lain adalah konsep wakaf yang diperkenalkan, wakaf bukan sedekah, faedahnya berkekalan," terang beliau.

Dengan keyakinan itulah barangkali, pertemuan dengan wakil media baru dibuat pada Selasa. Beliau mengiktiraf kuasa media baru untuk mempromosi kempen Tabung Warisan Mara tersebut.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Tabung Warisan Mara boleh melayari laman web http://tabungwarisanmara.ypm.org.my atau Facebook http://facebook.com/tbgwarisanmara.-16/10/2012- OLEH HELME HANAFI

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 643  tetamu dalam talian