21November2017

Kenapa cari penyakit main isu UEC?… Biar orang tembak saya atas ketidakfahaman mereka – Annuar Musa

 
Bunyinya agak pelik.Sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia apa yang Tan Sri Annuar Musa nak sibuk sangat pasal isu Unified Examimation Certificate (UEC),sijil yang melibatkan 60 buah sekolah persendirian Cina di negara ini.

Malah ada yang kata kenapa beliau perlu cari penyakit dilihat seolah khianati perjuangan Melayu.
 
Jenuh juga beliau berdepan kritikan dalam media sosial berikutan ucapannya di sidang Dewan Rakyat pada 16 Mac yang turut menyentuh isu UEC.
 
Ahli Parlimen Ketereh,Kelantan hanya bercakap satu minit 15 saat hal itu.Namun mendapat impak yang luar biasa apabila ia telah disalahtafsir oleh beberapa pihak yang terus menghentamnya kerana didakwa "mengiktiraf" UEC.
 
Ada yang mengutuknya "bermati-matian" mahu mengiktiraf UEC hingga  sanggup melutut pada  Dong Zong  yakni Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia yang ditemuinya pada 7 Februari lalu.
 
Beliau juga dituduh memandai-mandai dan menemui pimpinan Dong Zong tanpa restu Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Pada Selasa, wartawan Agendadaily.com dan portal berita BNBBC berkesempatan bersembang dengannya waktu rehat sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen.

Annuar yang pernah pegang pelbagai jawatan dalam karier politiknya yang panjang termasuk menteri nampak tidak gabra langsung berdepan dengan kontroversi ini.



Beliau dengan tenang menjawab semua persoalan berhubung isu berkenaan.
 
Lojik akal kata beliau sebagai pemegang jawatan tinggi dalam UMMNO pasti ada ‘ cerita sebenar’ disebalik semua ini.

Itulah yang dijelaskannya.

Katanya terdapat kekeliruan dalam hal ini kerana ramai yang komen inisoatif peribadinya mengenai isu UEC guna emosi dan bukan fakta.
 
"Soal iktiraf atau tak iktiraf ada dua aspek berbeza. Pertama, UEC telahpun diiktiraf sebagai sijil kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Maktab Perguruan. Pengiktirafan itu ada dalam sekular bertulis kerajaan. 
 
"Keduanya, UEC tidak diiktiraf secara spesifik sebagai sijil kelayakan untuk masuk ke Institut Pengajian Awam Swasta (IPTA) dan sebagai sijil untuk memohon jawatan dalam Perkhidmatan Awam.
 
"Tetapi ramai yang tidak mendalami, dan mereka rangkum sekali antara iktiraf dan tak iktiraf," katanya.
 
Menurut Anwar, soal pengiktirafan yang dibangkitkan merujuk spesifik kepada kemasukan ke IPTA dan Perkhidmatan Awam.
 
Katanya ada dua sebab mengapa UEC tidak diiktiraf bagi kemasukan ke IPTA dan Perkhidmatan Awam.
 
"Pertama ialah taraf Bahasa Melayu, di mana korikulum mereka dikatakan tidak setara dengan korikulum Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
 
"Keduanya content (kandungan) mata pelajaran Sejarah yang mereka ajar dikatakan tidak memadai dengan content Sejarah yang dikehendaki oleh Kementerian.
 
"Content Sejarah mereka ialah 30% sejarah dunia, 30% sejarah negara China dan 30-40% sejarah Asia yang mana sejarah Malaysia menjadi sebahagian dari sejarah Asia.

 
"Jadi dengan latar-belakang itulah sebabnya saya memilih untuk berjumpa secara direct dengan Dong Zong untuk mendapat kepastian apakah ia benar.
 
"Apabila saya menemui Dong Zong, sebahagiannya mereka akui benar, di mana Bahasa Melayu mereka tidak merupakan Bahasa Melayu standard SPM.
 
"Tetapi Sejarah ada perbezaan pendapat sedikit. Katanya bukan 30-30-30/40 kerana satu penyelidikan telah dilakukan oleh Kementerian terhadap Sejarah yang mereka ajar dan Sejarah di Sekolah Jenis Kebangsaan bersamaan antara 50% - 55%. Memang tidak 100%. Mereka akui belum memenuhi sepenuhnya sama seperti Kurikulum Kebangsaan.
 
"Jadi, perkara yang sebegini tak mungkin saya dapat feedback kalau saya tidak ada positive engagement. Saya juga percaya kita tidak boleh bercakap berdasar pada sentimen melainkan kita duduk, kita mendengar, berbincang dan kemudian boleh membuat keputusan.
 
"Saya tidak menekankan soal iktiraf atau tidak diiktiraf. Itu kuasa Kerajaan. Saya mempertahankan apa yang kerajaan putuskan buat masa ini. Ertinya, dalam bentuknya sekarang ini, UEC belum boleh diiktiraf. Itu pendirian Kerajaan dan saya menyokong," kata Annuar.
 
Menurutnya beliau  mengambil langkah sendiri untuk menemui Dong Zong setelah mendapati perubahan kepimpinan organisasi itu yang dilihat lebih terbuka dan sedia berunding.
 
"Maka saya kata dalam ucapan di parlimen, kita harus reciprocate (bertindak balas), berunding atas perkara-perkara terutama dalam soal Bahasa Melayu dan Sejarah dan terpulanglah kepada hasil rundingan itu nanti. Sama ada nak iktiraf atau tidak.
 
"Cuma, pendapat saya secara umum, UEC ini tidak boleh dilihat secara perkauman. UEC bukan soal orang Cina. UEC adalah soal pendidikan dan soal content yang perlu menepati dasar pelajaran kebangsaan, perlu mematuhi akta pelajaran, dan perlu menghormati perlembagaan negara. Itu tidak ada kompromi. Itu wajib.
 
"Kedudukan UEC dan sekolah-sekolah persendirian Cina mestilah selari dengan perlembagaan, tidak bercanggah dengan akta dan menghormati dasar pelajaran kebangsaan.
 
"Dalam hubungan ini saya tengok dalam perbincangan di blog dan media sosial ramai orang tak faham. Mereka kata UEC bercanggah dengan perlembagaan. Ada yang kata UEC bercanggah dengan akta pelajaran.
 
"Kalau ada yang kata ia bercanggah, saya nak mendalami dan memahami kalau ada orang yang nak duduk berbincang. Sebab fahaman saya, ia tidak bercanggah dengan perlembagaan. Malah ia wujud sebelum wujud perlembagaan, sebelum Merdeka. Dong Zong wujud sejak 1954, sebelum kita Merdeka.
 
"Sekolah-sekolah persendirian Cina wujud sebelum kita Merdeka. Apabila kita Merdeka, kita membuat perlembagaan, tetapi sekolah-sekolah ini dibenar untuk diteruskan.
 
"Bila ia dibenar diteruskan, bererti ia ada lesen. Ia bukan sekolah haram. Ertinya ia lulus di bawah akta yang ada dan dibenarkan di bawah perlembagaan.
 
"Mengikut perlembagaan, ia boleh wujud. Tetapi apabila ia tidak mengikut dasar kerajaan, ia tak berhak menerima bantuan kerajaan. Ia kena tanggung sendiri semuanya seperti bangunan sendiri, guru sendiri, buku sendiri. Itulah yang berlaku. Sebanyak 60 buah sekolah memilih untuk kekal sebagai sekolah persendirian Cina dengan persijilan mereka sendiri," ujarnya.
 
Annuar berkata, isunya sekarang bukan soal kewujudan sekolah (yang tidak bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang). Katanya cuma persijilannya sahaja tidak boleh diiktiraf di bawah persijilan SPM kerana ia tidak mengikut korikulum pendidikan kebangsaan.
 
Annuar berkata, beliau melihat banyak pihak membincangkan isu UEC mengikut emosi.
 
"Eloklah perkara ini dibincang secara tenang. Kita menghargai orang yang mencintai bahasa, yang memperjuangkan dasar pelajaran kebangsaan dan orang Melayu. Kita semua terlibat dalam hal itu. Mungkin caranya berbeza.
 
"Kalau nak dikatakan hanya kerana saya bangkitkan isu UEC, maka saya bukan lagi memperjuangkan agama, bangsa dan negara yang menjadi teras kepada dasar dan perlembagaan UMNO, itu dah lari terlalu jauh," katanya lagi.
 
Annuar tenang ketika diberitahu ada beberapa pihak yang mempersoalkan atas kapasiti apakah beliau pergi berunding dengan Dong Zong.
 
"Waktu saya hantar nota kepada Dong Zong, saya beritahu saya minta nak bertemu atas kapasiti peribadi.
 
"Tetapi walaupun atas kapasiti peribadi, kerana saya ada jawatan dalam parti, saya minta kebenaran dengan Presiden dahulu.
 
"Saya hantar nota ringkas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk minta izin. Dia benarkan. Cuma dia sebut tidak perlu buat apa-apa kenyataan kerana kerajaan belum memutuskan apa-apa. Jadi saya pergi dengan keizinannya tetapi saya bercakap atas kapasiti peribadi.
 
"Dalam parlimen pun saya sebut pendapat saya secara peribadi kerana dari segi parti dan kerajaan, benda ini belum bincang sampai ke tahap yang saya bincang.
 
"Sebenarnya semasa di parlimen ramai Ahli Parlimen cakap mereka sokong UEC. Tetapi orang lain bercakap, tak ada orang pick up. Bila saya bercakap 1 minit 15 saat, orang pick up.
 
"Saya beri pandangan peribadi. Saya tak kata suruh iktiraf UEC. Tetapi kalau parti atau kerajaan kata jangan iktiraf dan saya pula kata kena iktiraf, itu barulah bercanggah!
 
"Saya cuma mengesyorkan perundingan. Itu bukan satu syor yang luar biasa. Saya nak sampaikan mesej ke luar sana bahawa soal orang Cina bukan sahaja orang Cina yang perjuangkan sebab UMNO for all. Dan selama ini UMNOlah yang banyak membela orang Cina. Bukan DAP.
 
"Tetapi tak mengapa. Biar orang tembak saya di atas ketidakfahaman mereka. It's okay. Tak mengapa kawan-kawan nak tegur, nak kritik," katanya.
 
Menurut Annuar beliau  akan berjumpa dengan Majlis Perundangan Melayu pada Rabu. Anwar juga menawarkan diri untuk berjumpa dengan PERKASA, GAPENA serta PENA (yang lantang mengkritiknya mengenai isu UEC) dan duduk berunding secara tertib. 
 
Mengenai komen pihak tertentu yang mengatakan dia melutut pergi jumpa Dhong Zong, Anuar tersenyum lebar.
 
"Mereka kata saya melutut jumpa Dong Zong. Padahal di depan jawatankuasa Dong Zong yang ada 20-30 orang, saya cakap direct - Dong Zong mestilah menghormati dasar pelajaran kebangsaan. Dalam negara ini tak ada tempat untuk berfikiran cauvinis. Orang tembak jauh. Saya tembak depan-depan. Itu bezanya."
 
Ditanya apakah tindakan beberapa pihak menghentamnya melalui media sosial berhubung isu Dong Zong, bertujuan politik, Annuar tidak menafikan.
 
"Saya buat kajian juga. Media sosial ini kita boleh jejak ke mana kiblat mereka dan bertaukeh di mana. Ada yang memang benar-benar bebas. Sesetengah itu atas kapasiti persatuan.
 
"Persatuan pula ada dua jenis. Satu yang memang totally independent. Ada juga persatuan yang cuba digunakan oleh orang tertentu. Rumusan saya, ada dua kumpulan.
 
"Satu kumpulan ada politik dalaman dan dia terbawa dengan isu-isu sebelumnya dan dia merasakan inilah peluang untuk mereka memberi tekanan kepada saya.
 
"Yang satu lagi memang blogs dan "pemain ketiga" yang komen berdasarkan komen orang lain. Jadi komen atas komen, dan tak sempat nak pergi tengok yang sebenar berapa orang yang betul-betul baca hansard parlimen dan berapa yang mengambil inisiatif telefon saya meminta penjelasan. Tak ramai yang menghubungi untuk tanya maklumat sebenar."
 
Menurut Annuar, isu UEC telah timbul sebelum beliau menyuarakannya di parlimen apabila sebuah akhbar bukan berbahasa Melayu tersilap lapor mengatakan dia dipecat sebagai Pengerusi MARA kerana menyokong UEC.
 
"Mana pulak saya dipecat? Saya cuma direhatkan kerana isu tajaan bola Kelantan," katanya.- 22/3/2017 – OLEH NOOR HASILAH ISMAIL
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 516  tetamu dalam talian