23November2017

Kemboja yang dekat tapi jauh... - Hasan Malek

"Kemboja ini dekat tapi terasa jauh...," itu kata-kata pembukaan Duta Besar ke Kemboja Datuk Seri Hasan Malek kepada sekumpulan wartawan Malaysia di Phnom Penh baru-baru ini.

Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu nampak lebih tenang berbanding hari-hari sebagai menteri sebelum ini.

Mungkin ramai yang tak tahu, Hasan Malek merupakan antara Ahli Parlimen pertama yang dihimpit oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menjayakan pelan besarnya untuk menumbangkan kerajaan BN melalui peralihan sokongan MP pada pertengahan tahun 2008.

Hasan yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Pilah sejak 2004 ketika itu tegas menolak pujukan Anwar, dan dengar cerita, Anwar siap menjanjikan Hasan kedudukan yang lebih tinggi dalam kerajaan jika Hasan ikut rancangan itu.

Tapi beliau tidak terpedaya dan setia dengan kerajaan BN, dan selepas PRU13 beliau dilantik Menteri KPDNKK sebelum pada rombokan Kabinet Julai 2015 digugurkan dan dilantik duta tidak lama kemudian.

Orangnya lembut, mudah mesra, jujur dan berterus terang, mungkin kerana perwatakan yang begitu jawatan sebagai menteri menjaga pengguna di musim kenaikan kos sara hidup ini tidak sesuai dengannya.

Tapi sebagai duta memang serasi benar. Pengalamannya yang panjang dalam pentadbiran kerajaan memudahkan tugas beliau.

"Saya diarahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merapatkan lagi hubungan antara Kemboja dan Malaysia,"katanya yang berkemeja warna bunga lilac ditemubual selepas makan tengahhari di sebuah restoran dalam hotel di Phnom Penh.

Temubual selama 30 minit itu diselang seli dalam bahasa Inggeris, Malaysia dan loghat Negeri Sembilan yang pekat, Hasan menjawab semua soalan dengan santai dan ceria.

Pembantu khasnya Muhamad Razlan Ismail setia menemani bosnya dan mencari beberapa fakta yang diminta Hasan bagi melengkapkan jawapan kepada pertanyaan media Malaysia.

Menurut Hasan, Malaysia antara negara yang banyak membantu Kemboja sejak dulu lagi.

“Kemboja adalah contoh kejayaan Malaysia membantu negara di Asia Tenggara, ketika Kemboja berdepan kesusahan selepas era kekejaman Pol Pot dan Malaysia merupakan negara yang paling banyak membantu.

“Rakyat Malaysia dihantar untuk meneroka perniagaan di Kemboja dan membantu meningkatkan ekonomi mereka,” ujarnya.

Hari ini banyak cerita kejayaan rakyat Malaysia di negara itu.

"95 peratus rakyat Malaysia yang melabur di negara ini berjaya,"kata Hasan.

Ada lebih kurang 2,000 rakyat Malaysia yang berkerja di Kemboja dengan pelaburan negara melibatkan berbagai sektor termasuk pembinaan, perbankan, pertanian, komunikasi, pelancongan dan perkhidmatan.

Syarikat Malaysia seperti Felda, Public Bank, CIMB, Axiata, Maybank, Sunway Group, Mutiara Teknologi sudah melabur di Kemboja.

Bahkan dari tujuh bank asing di negara itu, separuh adalah milik Malaysia.

"Tugas saya sebagai duta menjadi lebih lancar kerana selama ini Malaysia memang mempunyai hubungan yang baik dengan Kemboja terutamanya melibatkan perniagaan,"ujar beliau.

Ramai ahli perniagaan Malaysia yang berjaya di Kemboja, antaranya Tan Sri Dr. Chen Lip Keong pemilik NagaWorld yang merupakan antara pelabur utama di negara tersebut. Dr Chen baru-baru ini masuk dalam senarai majalah Forbes dengan jumlah kekayaan USD2.8 bilion.

Misi Hasan kini adalah membawa pulang sebahagian pelaburan rakyat Malaysia di Kemboja untuk dilaburkan semula di Malaysia.

Sejak menjadi Duta Kemboja pada pada Mac 2016, Hasan membuat beberapa perubahan antaranya menyelaraskan bantuan kemanusian daripada berbagai NGO di Malaysia.

Sebelum ini, kebanyakkan bantuan dihantar sendiri daripada NGO kepada NGO tanpa menglibatan kedutaan, sehingga ada banyak isu antaranya tidak sampai ke kumpulan sasaran.

"Saya selaraskan balik dengan bantuan Pejabat Mufti Kemboja, semua bantuan NGO-NGO ini kita agihkan ke seluruh negara dan sama rata, jadi tiada isu hanya setempat sahaja,"ujarnya.

Manakala untuk pengambilan pembantu rumah warga Kemboja tanpa melalui egen ada beberapa hal perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Pemberitaan mengenai kes dera pembantu rumah di Malaysia menyebabkan mengetatkan pengambilan pembantu rumah warga mereka.

"Kerajaan sedang berurusan bagi menyelesaikan masalah terbabit. Antara diberi perhatian adalah penyediaan latihan, persetujuan gaji, pengesahan pihak berkuasa negara itu dan sebagainya.

"Masalah ini akan diselesaikan dalam masa terdekat yang dijangka awal tahun depan," katanya.

Berkaitan dengan hal jenayah rakyat Malaysia di Kemboja pulak, kata Hasan ada 13 orang warga Malaysia yang menghuni beberapa penjara di negara itu kerana menjadi kaldai dadah.

"Seorang yang saya jumpa itu dari Sabah, muda lagi, awal 20-an, kasihan sungguh, balut badan dia dengan dadah, kena tangkap, saya pergi melawat, apa nak buat...?" katanya kesal.

"Semua 13 individu ini dipenjarakan antara tempoh dua hingga tiga tahun. Selain itu ada juga yang dipenjara seumur hidup," katanya.

Hasan berkata, kerajaan tidak memeterai untuk membawa pulang banduan seperti yang dilaksanakan Kemboja dan Thailand, di mana mereka boleh bertukar banduan antara dua negara.

Rata-rata rakyat Malaysia rasa jauh dan asing apabila sebut Kemboja, sedangkan faktanya jika menaiki penerbangan Malaysia (MAS) atau Air Asia dari Kuala Lumpur jarak masa di udara hanyalah satu jam 50 minit, atau lebih kurang sama dengan masa dari KLIA ke Kuching.

Data Kedutaan Malaysia menunjukkan pada tahun ini, hanya lebih kurang 130,000 rakyat Malaysia melancong ke negara itu.

Ada banyak tempat pelancongan menarik di negara tersebut, antaranya yang cukup terkenal adalah Angkor Wat di Siem Reap, yang merupakan  kota bersejarah berusia ribuan tahun.

Atau 50 kilometer ke utara Phnom Pehn terletaknya Kampung Champ atau lebih dikenali dengan nama Kampung  terapung .

Tasik Tonle Sap merupakan tasik terbesar di Asia terletak di sungai Mekong. Pemandangan sangat indah kerana perkampungan di tepi tasik itu dikelilinggi pergunungan Dang Rek, Ba Ley dan Chhuk.

Manakala yang sempat kami lawati baru-baru ini di Phnom Penh adalah penjara S-21 atau Muzium Genocide Tuol Sleng yang merupakan bekas  sekolah tinggi dan  yang digunakan sebagai tempat penyiksaan ketika zaman  Rejim Khmer Rouge pada tahun 1975 hingga 1979.

Betullah kata Datuk Seri Hasan Malek, Kemboja tempat yang dekat tapi terasa jauh dan Malaysia kini giat mempromosi Kemboja sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan iaitu sebahagian daripada strategi B2B atau business to business.

Dengar khabarnya tak lama lagi selain MAS dan Air Asia terbang ke Kemboja, Malindo juga akan ke negara itu. Meriah.  Semoga dengan banyaknya pilihan penerbangan akan merancakkan lagi hubungan dua hala antara Kemboja dan Malaysia.-7/11/2017

Catatan dalam siri Bingkisan Dari Sungai Mekong ini yang kedua daripada lima bahagian hasil lawatan ke Phnom Penh Kemboja baru-baru ini. Wartawan Agendadaily Helme Hanafi serta jurugambar Hiekal Rosli mengikuti rombongan media Malaysia ke negara itu pada dari 2 hingga 5 November lalu.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 638  tetamu dalam talian