18Januari2019

Cerita orang lama…Datuk Wahab Majid, pengasas Bernama, bekas SUA Tun Ismail, Tun Hussein Onn

wahab1Ini kisah orang lama, Datuk Wahab Majid, 82, antara pengasas Agensi Berita Nasional (BERNAMA) dan antara individu paling awal dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri (SUA) ketika jawatan tersebut mula diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 1969.

Ceritanya bermula apabila kerajaan terpaksa menjawab macam-macam spekulasi selepas peristiwa ngeri 13 Mei 1969.

Beliau ketika itu di Bernama, yang diasaskan bersama beberapa orang lagi pada tahun 1968.

Peristiwa 13 Mei mengubah segalanya, termasuk kepada Datuk Wahab, beliau tiba-tiba ditawarkan jawatan SUA kepada Menteri Dalam Negeri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang ketika itu kembali memegang jawatan Kabinet bagi membantu pemulihan kerajaan selepas peristiwa ngeri tersebut.

Lebih menarik, bukan beliau saja yang dilantik jadi SUA, tapi abangnya Abdullah Majid juga memegang jawatan sama yang berkhidmat untuk Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tun Razak.

Agendadaily berkesempatan bersembang dengan Wahab di PWTC ketika berlangsung Persidangan Agung UMNO 2011. Dalam pertemuan ringkas itu Wahab berkongsi cerita mengenai pembabitannya dalam arena politik.


“Pada Mei 1968, saya menyertai sebuah kumpulan yang mengasaskan Bernama. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan merasakan perlunya perhubungan media diselaraskan, maka mereka mewujudkan jawatan Setiausaha Akhbar (SUA) dengan mencontohi model kerajaan Australia.

“Saya dilantik sebagai SUA Tun Dr Ismail sementara abang saya, Abdullah sebagai SUA Tun Razak Hussein.

“Saya mula bekerja dengan Tun Ismail sebelum dia menjadi Timbalan Perdana Menteri. Saya sertai dia pada bulan Mei ketika dia menjadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

“Apabila Tun Razak mengambil alih daripada Tunku Abdul Rahman pada September 1970, saya secara automaik menjadi SUA kepada Tun Ismail yang dilantik Timbalan Perdana Menteri.”
 
Menurut Wahab, Tun Razak dan Tun Ismai mempunyai hubungan yang akrab. Apabila Tun Ismail meninggal dunia, Wahab telah diminta membantu Tun Hussein Onn yang selepas itu melantiknya sebagai SUAnya

Wahab paling tidak lupa pada 1974, dua bulan sebelum PRU dia diminta oleh Tun Razak menggalas tugas berat mengemudi pasukan media berdepan dengan serangan pembangkang.

Ditanya apakah persamaan atau perbezaan yang dilihatnya pada Tun Razak dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Raza, Wahab berkata, tidak banyak bezanya.

“Persamaan mereka ialah kedua-duanya membantu Melayu – satu aspek kesinambungan di antara ayah dan anak. Tetapi, lanskap politik sudah berubah. Najib saya lihat, lebih agresif, berbanding Tun Razak.

“Malah, Najib mempunyai komitmen lebih besar untuk merealisasikan matlamat membantu Melayu dan juga memastikan pembangunan negara. Cuma di segi personaliti, Tun Razak seorang yang sangat serius. Susah nak tengok dia senyum. Najib lebih mudah didekati dan mempunyai personaliti yang menarik. Gaya kerja mereka lebih kurang sama,” tambah Wahab.

Wahab mengerut dahi seketika apabila ditanya zaman siapa yang lebih mencabar antara Tun Razak dan Najib.

“Kedudukan sekarang ini keadaan lebih mencabar dari dahulu, Akibat daripada keputusan PRU 2008, keadaan orang Melayu dan Malaysia sudah berlainan.

“Dulu sifat toleransi antara Melayu dengan bukan Melayu, kuat. Tetapi sekarang keadaan nampaknya sudah berubah sedikit. Orang Cina lebih demanding dan nampak kurang ikhlas terhadap perjuangan Najib.

Ditanya bagaimana dia melihat peluang UMNO dan BN sekiranya PRU diadakan tahun hadapan, Wahab berkata peluang makin cerah jika dibandingkan dengan enam bulan atau setahun yang lepas.

Menurut Wahab dia optimistik kerana dia melihat cara pemikiran orang Melayu sudah berlainan.

“Barangkali orang Melayu sudah insaf akan kedudukan sekarang. Cuma, kita tak faham kedudukan golongan muda sebab mereka lebih condong kepada pembangkang dan lebih kritikal terhadap keadaan yang berlaku. Tetapi sebahagian besar orang Melayu, saya fikir akan menyokong UMNO dan BN.”

Wahab berkata dia sudah menemui Najib beberapa bulan yang lepas dan dalam pertemuan itu dia telah mengemukakan cadangan berhubung winnable candidate yang diuar-uarkan.

“Saya mencadangkan kepada dia adalah lebih baik jika sekarang ini, siapa sahaja yang berminat menjadi calon, benarkan mereka turun padang. Pada waktu menentukan calon nanti, kita akan pilih ikut keadaan yang berlaku.

“Siapa juga yang berminat, pergi turun padang. Tak payah nak tunggu pilihanraya. Saya fikir, penerimaan orang lebih terbuka pada waktu itu. Sebab kalau nak letakkan calon cuma pada waktu penamaan calon, orang akan susah nak terima.”

Mengulas budaya “cop” atau “booking” kawasan, Wahab berkata, keadaan itu memang berlaku di mana-mana sejak dulu.

“Cuma bezanya, taat setia dan kepatuhan kepada pemimpin lebih kuat waktu dulu dibandingkan sekarang.” – 6/12/11.- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 585  tetamu dalam talian