27November2014

Azeez buat kerja sukarela bukan kerana kejar glamour

azeez3cxx
az2xx
az1xx
az3
kpim2xx
kpim-phi9xx
Nama Datuk Abdul Azeez Rahim, Presiden Kelab Putera 1Malaysia, seperti sudah menjadi begitu sinonim dengan kerja-kerja sukarelawan sehinggakan jika sesuatu bencana berlaku, dan kelibatnya tidak kelihatan, orang akan bertanya mengapa dia tidak ada di tempat berkenaan.

Sejak Kelab Putera 1Malaysia ditubuhkan pada 2005, beliau sudah menganjurkan 30 misi bantuan kemanusiaan ke 29 negara di seluruh dunia.

Tetapi mengapa Azeez lakukan semua ini? Apakah yang dia perolehi dan adakah kerana ada tujuan tertentu? Soalan yang berlegar di kepala saya terjawab apabila berkesempatan menemuinya di pejabatnya di Jalan Kampung Atap, Kuala Lumpur, Rabu.

“Semangat kesukarelawan memang dekat dengan jiwa saya. Sejak kecil saya memang suka tolong orang. Malah, pada buku laporan sekolah pun selalu tertulis – murid ini sangat rajin menolong guru. Saya bukan mahu mendabik dada, tetapi saya memang suka tolong orang,” kata Azeez.

Menurut Azeez sikap suka menolong orang mungkin didorong daripada pengalamannya hidup miskin pada zaman kanak-kanak. Katanya kehidupan yang ibarat kais pagi makan pagi itu menjadikan dirinya supaya sentiasa beringat dan bersyukur.

“Saya dari keluarga susah, masa kecil duduk rumah setinggan di Kampung Medan yang selalu banjir. Saya berjalan kaki sejauh enam kilometer dari Kampung Medan untuk sampai ke sekolah.



“Untuk sampai ke sekolah pula saya terpaksa melalui trek keretapi dan ada kalanya dikejutkan dengan bunyi keretapi lalu yang menyebabkan saya melompat ke tepi ketakutan,” Azeez berkongsi cerita.

Aziz berkata, sejak kecil dia diajar bersyukur dan sentiasa berdoa untuk mendapatkan kehidupan lebih baik. Doanya termakbul apabila kerajaan menempatkan keluarganya ke rumah panjang berdekatan syarikat Motorolla di Batu 10.

“Sewa rumah panjang itu lebih kurang RM20 sebulan. Apabila negara sudah maju sedikit, kerajaan bina rumah murah di Taman Medan, berhampiran rumah setinggan kami dulu. Selepas itu kerajaan bagi peluang untuk kami jual balik rumah itu dengan harga RM25 ribu,”tambahnya lagi.

Azeez berkata titik penting yang membentuk iltizamnya ialah ketika dia menerima hadiah sebuah basikal chopper pada hari pertama persekolahan darjah enam kerana bercaya mencapai keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Penilaian Darjah 5, pada tahun sebelumnya.

“Ketika menerima hadiah basikal itu saya berdoa kepada tuhan supaya memberikan saya kejayaan dalam hidup supaya satu hari nanti saya pula dapat menghadiahkan basikal kepada generasi akan datang,” katanya.

Azeez mengakui dia menyedari cakap-cakap sumbang di belakangnya yang menuduh kononnya segala kerja kebajikan yang dibuatnya bertujuan untuk meraih publisiti murahan dan kerana mahu “glamour”.

“Apabila saya berjaya, saya kenang jasa keluarga, terutama emak. Saya juga kenang jasa kerajaan. Jadi apabila kehidupan saya sudah senang, saya rasa it is payback time.

“Saya mahu tunaikan janji pada Allah. Saya tak berhutang dengan sesiapa. Saya cuma berhutang dengan Allah dan saya bayar balik melalui kerja-kerja kesukarelawan,” katanya berkobar-kobar.

Jika kita di tempat Azeez, pasti merasa sedih apabila niat dan usaha murni disalaherti dan tidak cukup dengan itu, difitnah pula. Tetapi Azeez tidak berasa begitu. Malah katanya, dia sudah lali dengan fitnah dan pra-sangka.

“Hari ini jika berlaku sebarang bencana di Malaysia, kalau Kelab Putera 1Malaysia tak datang, dah jadi macam satu dosa. Rakyat mengharapkan kita datang hantar bantuan.

“Ada pula blog yang mengata kita sibuk tolong orang luar negara tetapi rakyat di dalam negara diabaikan. Tetapi saya tak pernah marah dan tak kisah ditegur sebegitu. Yang penting, saya tunaikan janji kepada Allah.

"Saya sentiasa berfikiran positif. Mungkin mungkin sebab itu Allah bagi kejayaan pada saya pada usia yang muda. Pada usia 23 tahun saya sudah berjaya dalam perniagaan.

“Saya tidak pernah menoleh ke belakang, malah sentiasa memandang ke depan. Saya sudah lali dengan tohmahan dan tuduhan. Semasa duduk di rumah setinggan dulu pun orang panggil saya anak India. Sekarang pun saya kena kritik macam-macam.

“Saya tak boleh lari dari kritikan. Maka orang cakap apapun, saya hanya ambil yang baik-baik untuk saya pertingkatkan diri. Mana yang buruk, saya masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan saja,” katanya selamba.

Azeez berkata, segala kerja sukarelawan yang dibuat oleh Kelab Putera 1Malaysia adalah mewakili 28 juta rakyat negara ini dan bukannya mewakili mana-mana individu.

“Dulu kalau kita pergi luar negara dan beritahu orang kita dari Malaysia, mereka tertanya-tanya di mana letaknya negara kita. Tetapi kini, segala usaha yang dilakukan oleh Kelab Putera telah berjaya memperkenalkan Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai negara kecil yang berhati mulia,” tambahnya,

Dalam politik, Aziz memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Baling dan Ahli Majlis Tertinggi. Tetapi dia sangat berharap segala misi bantuan Kelab Putera 1Malaysia tidak dipolitikkan.

“Memanglah saya tak boleh dipisahkan dengan UMNO tetapi dalam konteks misi bantuan kemanusiaan ini, kita tak pernah pandang simbol parti. Ada juga pemimpin PAS yang buat kerja NGO dan kita tak pernah pun hentam usaha mereka.

“Jika ada sesebuah NGO buat silap, NGO itu harus dipersalahkan, bukan parti yang disertai oleh pemimpin mereka.

Azeez berkata untuk tahun ini Kelab Putera 1Malaysia akan menggunakan platform IM4U untuk mendekati golongan muda. Antara rancangan mereka ialah membuat lawatan ke sekolah-sekolah di seluruh negara untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai budaya kesukarelawan.

Azeez, yang tewas di Baling pada Pilihanraya Umum yang lalu kepada calon PAS, berkata dia tidak meletakkan harapan untuk dicalonkan sekali lagi dan menyerahkan nasibnya kepada budi bicara Perdana Menteri.

“Jika ditakdirkan Perdana Menteri tidak memilih saya sebagai calon, saya tetap akan membantu memastikan calon yang dipilih menang dalam pilihanraya kali ini. Soal saya jadi Ahli Parlimen atau tidak, bukan perkara pokok, yang penting memastikan BN menang," kata Azeez mengakhiri perbualan. –17/1/13- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 763  tetamu dalam talian