13Disember2018

Wan Azizah letak jawatan TPM selepas suami jadi PM...

Sudah terang lagi bersuluh... sebab tak logik jika fikir Malaysia akan jadi negara pertama di dunia dan dalam sejarah demokrasi moden ada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri suami isteri.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan beliau sedia melepaskan jawatan dalam Kabinet apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu sudah sedia maklum dalam kalangan ahli PKR iaitu apabila Anwar diterima sebagai Perdana Menteri, beliau berundur dan melepaskan jawatan dalam kerajaan.

“Beliau (Anwar) dijanjikan jawatan itu dan kalau beliau jadi Perdana Menteri saya tidak akan ada lagi dalam Kabinet,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata demikian kepada media pada Majlis Jasamu Dikenang yang diadakan khas untuk beliau sempena 20 tahun penubuhan PKR di Dewan Yuk Yin, Keningau Sabah.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata, walaupun ada pihak mendakwa tindakan suaminya kembali ke arena politik sebagai tidak sabar dan tergesa-gesa, itu adalah hak Anwar selepas dinafikan sebelum ini.

Katanya, Anwar terpaksa melalui pelbagai keperitan bukan saja dilucutkan jawatan, malah terpaksa meringkuk di penjara selama 11 tahun.

“Kita selaku ahli parti ini perlu sentiasa memberi sokongan atas pengorbanannya. Segala pengorbanannya amat besar untuk parti dan rakyat.

“Selain itu harus diingat, kita tidak menang dengan mudah dan selepas menjadi kerajaan, kita perlu melakukan yang terbaik demi rakyat.

“Tidak mustahil kita akan hilang tampuk kepemimpinan negara sekiranya leka dan mengulangi kesilapan seperti kerajaan terdahulu,” katanya.-18/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 473  tetamu dalam talian