25September2018

Tukar BN jadi parti berbilang kaum libatkan MCA, MIC dan PAS

Fungsi Barisan Nasional (BN) perlu ditukar menjadi sebuah parti politik berbilang kaum yang membentuk gagasan kerjasama politik melibatkan UMNO, MCA, MIC dan PAS.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Nor Adam berkata kewujudan parti itu nanti diharap dapat menarik sokongan serta memenuhi kehendak golongan masyarakat Cina, India serta Melayu berpendirian sederhana yang mahukan sebuah parti yang mempunyai asas berbilang kaum.

“Parti itu nanti akan dipimpin oleh seorang pemimpin Melayu tetapi membuka keahliannya kepada bukan Melayu.

“Saya lihat jika kita boleh wujudkan parti itu di dalam gagasan baharu yang akan dibentuk, kita boleh tarik sokongan masyarakat India, Cina dan mungkin juga orang muda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima penyerahan borang pendaftaran keahlian UMNO daripada bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim di sini, hari ini.

Lokman menambah, langkah itu juga berupaya memperbetulkan persepsi negatif yang ditanam oleh DAP kononnya UMNO hanya menjaga kepentingan orang Melayu.

“Ada pandangan supaya UMNO perlu lebih sederhana dan tidak kelihatan terlalu islamik namun bagi saya, dengan kerjasama bersama PAS ketika ini, UMNO dilihat telah berjaya menarik kembali sokongan orang Melayu kerana kita sudah dalam proses untuk kembali kepada mempertahankan agama Islam dan kepentingan orang Melayu.

“Tidak dapat dinafikan, UMNO dan BN juga perlu mendapatkan sokongan masyarakat Cina dan India, oleh itu saya lihat perlu ada pendekatan khusus dilakukan.

“Kalau mahu jadikan UMNO sebuah parti yang moderat dan liberal, saya yakin kita tidak akan dapat mampu menandingi PKR yang sememangnya sangat liberal,” katanya.-12/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 427  tetamu dalam talian