22September2018

RM261,000 untuk ikat jamin: "Tersentuh hati saya..."

Pergerakan Wanita UMNO menyerahkan hasil kutipan sumbangan berjumlah RM261,286 serta dua utas gelang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu menyediakan wang ikat jamin yang perlu dibayar Isnin dalam kes mahkamah yang dihadapi bekas perdana menteri dan bekas presiden UMNO itu.

Ia dikumpulkan oleh anggota Wanita UMNO di seluruh negara, kata ketua pergerakan itu, Datuk Dr Noraini Ahmad dalam satu kenyataan.

"Saya berasa amat bangga dan terharu dengan pengorbanan yang dilakukan anggota Wanita UMNO untuk membantu Datuk Seri Najib.

“Terdapat juga tawaran-tawaran lain dari ahli-ahli Wanita UMNO untuk melakukan perkara sama demi mendapatkan lebih kutipan dalam menyumbang kepada usaha ini.

“Ini bukan kali pertama Wanita UMNO berkorban harta peribadi untuk membantu pemimpin parti. Semangat Allahyarhamah Datuk Siti Rahmah Kassim yang menyerahkan gelang emasnya untuk membiayai perjalanan Almarhum Tunku Abdul Rahman ke London pada tahun 1957 untuk menuntut kemerdekaan negara terus membara dalam jiwa setiap ahli Wanita UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.

Video penyerahan wang tersebut menyaksikan Najib menerima sumbangan itu dengan rasa terharu.

"Tersentuh hati saya,"kata Najib dalam rakaman 20 saat yang beredar di media sosial.

Najib dijadual membayar sebahagian lagi wang ikat jaminnya berjumlah RM500,000 pada Isnin.

Pada Rabu lalu, Najib telah membayar ansuran pertama berjumlah RM500,000 selepas meminta untuk dibicarakan mahkamah terhadap tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan pe­nyalahgunaan kuasa.

Pendakwaan terhadap Najib berkaitan dengan kes SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Sementara itu, tambah Dr. Noraini, Wanita UMNO berjanji akan terus bersama keluarga besar UMNO yang berpegang teguh kepada semangat setiakawan dan perpaduan termasuk ketika se­nang dan susah.

“Wanita tekad mempertahankan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang telah ba­nyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara, ketika pemimpin itu masih memimpin mahupun setelah mereka melepaskan jawatan.

“Solidariti ahli-ahli UMNO ini akan terus menjadi kekuatan parti menempuh cabaran yang sedang didepani ketika ini,” katanya.-9/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 427  tetamu dalam talian