18Ogos2018

Ringgit menjunam minggu depan...

Ringgit meneruskan aliran menurunnya berbanding dolar AS minggu depan berikutan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat yang lebih kukuh serta jangkaan kenaikan kadar faedah secara beransur-ansur oleh Rizab Persekutuan, kata penganalisis.

Ketua Penyelidik Pasaran dan Strategi Mata Wang Global FXTM Jameel Ahmad berkata, satu lagi lonjakan permintaan ke atas dolar AS memberi impak ke atas pasaran kewangan, dengan sebilangan besar mata wang di seluruh dunia, termasuk ringgit, terjejas susulan pengukuhan dolar.

Bernama melaporkan beliau berkata ringgit menyusut disebabkan pengukuhan dolar AS dan jatuh di bawah paras psikologi 4.05.

“Kita harus memerhatikan angka produk Keluaran Dalam Negara Kasar suku kedua Amerika Syarikat yang dijadual dikeluarkan pada 27 Julai. Tanda-tanda pertumbuhan ekonomi yang kukuh akan meningkatkan lagi sentimen pelabur ke atas dolar AS,” katanya.

Dolar AS mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh setahun berbanding sekumpulan mata wang lain pada Khamis disokong oleh pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh selain potensi kenaikan kadar faedah selanjutnya dalam tempoh berbaki tahun ini.

Dolar AS bagaimanapun susut pada Jumaat selepas Presiden Donald Trump menyatakan kebimbangan terhadap pengukuhan mata wang berkenaan.

Jameel berkata dengan ringgit susut di bawah 4.05 berbanding dolar AS, ia berkemungkinan terus merosot sehingga paras 4.10 pada minggu-minggu akan datang.

“Pengukuhan dolar AS ini menyebabkan kemerosotan dalam pasaran ekonomi pesat membangun.

“Satu-satunya faktor yang benar-benar memberi manfaat kepada ringgit pada masa ini ialah jika dolar AS melalui aktiviti pengambilan untung yang ketara.

“Selagi dolar AS kekal mendapat permintaan daripada pelabur, ini akan menunjuk penyusutan berterusan mata wang pasaran pesat berkembang secara menyeluruh,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, nota tempatan ditutup rendah berbanding dolar AS pada 4.0600/0630 berbanding 4.0500/0530.

Ringgit lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.2861/2904 daripada 5.3189/3236, namun merosot berbanding euro kepada 4.7315/7366 daripada 4.7122/7161.

Ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 2.9687/9718 berbanding Jumaat lepas kepada 2.9620/9651 dan susut berbanding yen pada 3.6108/6138 daripada 3.6006/6043.-21/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 462  tetamu dalam talian