22Oktober2017

Restoran LC Kampung Baru 'hentam' Line Clear Penang...

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Dek kerana orang lain punya angkara, tidak pasal-pasal pihak lain pula yang terkena tempiasnya. Itu yang berlaku kepada kedai nasi kandar Restoran LC Kampung Baru apabila turut terkesan dengan arahan penutupan kedai Line Clear di Pulau Pinang.

Ramai yang beranggapan Restoran LC mempunyai kaitan dengan kedai Line Clear Penang yang diarahkan tutup selama dua minggu selepas pemeriksaan mendapati terdapat najis tikus di bahagian dapur pada Isnin lalu.

Pemilik Restoran LC ,Lokman Madinah berkata,tidak dinafikan kedainya berasal daripada Line Clear Penang, namun pengurusan di sana telah diuruskan oleh bekas pekerjanya seperti mana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Georgetown pada tahun 2015.

"Kami ini menegaskan di sini, bahawa kami tiada kena mengena dengan pengurusan Line Clear Penang kerana pengurusan di sana diuruskan oleh bekas kakitangan manakala di Restoran LC diuruskan oleh ahli keluarga kami sendiri.

"Kami juga ingin menekankan bahawa Restoran LC  tiada masalah dalam bab kebersihan kerapa pada 9 Januari lalu, pihak Unit Kebersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membuat penilaian ke atas kedai kami, dan kedai ini menerima penilaian yang amat memuaskan," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media pada Khamis.

Menurut Lokman, pihaknya turut berasa kecewa kerana pihak pengurusan yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir urus Line Clear Penang telah mengabaikan amanah yang telah diputuskan sehingga nama baik kedai yang telah ditubuhkan sejak tahun 1949 itu terjejas.

"Kami amat kecewa dan malu kerana sepanjang giliran kami menguruskan Line Clear Penang, tidak pernah hal seburuk ini berlaku. Mereka telah mengabaikan amanah yang diberikan untuk menjaga nama baik, kualiti makanan dan kebersihan," katanya lagi.

Pada 13 Mac lalu, Line Clear Penang telah diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang selepas beberapa orang pegawainya membuat pemeriksaan bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di tiga buah kedai makan di Penang Road.

Bangkai tikus telah ditemui di salah sebuah premis manakala kedua-dua restoran didapati mempunyai najis tikus, lipas dan tandas yang kotor.

Ini adalah kali pertama sepanjang operasi Line Clear selama 70 tahun dikeluarkan perintah sedemikian.

Tambah Lokman, isu kebersihan yang melanda Line Clear Penang itu memberi impak kepada pihaknya kerana mereka akan mengambilalih giliran menguruskan kedai tersebut pada tahun 2018/2019.

"Mengikut kepada giliran seperti yang diputuskan oleh mahkamah, kami akan mengambilalih Line Clear penang untuk jangka masa dua tahun bermula tahun 2018. Kami akan menggunakan nama Restoran LC di sana supaya orang ramai tahu bahawa Line Clear dan LC merupakan dua pengurusan yang berbeza.

"Kami ingin membersihkan nama kami yang telah dicemari oleh sesetengah pihak . Sejak daripada 1949 ditubuhkan, kedai kami tidak pernah ditutup atas isu kebersihan," katanya.

Untuk makluman, Line Clear Penang telah diuruskan oleh pihak yang lain selepas mahkamah membuat keputusan dengan sistem penggiliran seperti ditetapkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Isu tersebut mula tercetus apabila Bahagian Pelesenan MBPP menerima aduan terdapat salah seorang daripada empat pemilik restoran yang menjadi ikonik Pulau Pinang itu enggan mematuhi sistem giliran yang ditetapkan.

Restoran LC di Kuala Lumpur mula beroperasi pada 30 Januari tahun lalu dengan membawa 90 peratus resepi daripada Line Clear Penang .

Ditanya mengenai kenyataan bahawa Line Clear Penang disabotaj, Lokman menjawab pihak tersebut seharusnya mengaku salah dan memperbetulkan keadaan, bukan menuding jari kepada orang lain.

"Jika rumah kita kotor, adakah kita akan tuduh orang lain? Pasti ia datang dari diri kita sendiri. Ini bukan kerana disabotaj, tapi lebih kepada adab," katanya.

Selepas selesai sidang media, pihak media turut dibawa ke seluruh bahagian Restoran LC bagi membuktikan kedai tersebut mementingkan aspek kebersihan yang tinggi.

"Kami mengamalkan konsep terbuka. Para pelanggan boleh melihat dapur kami, tiada masalah," katanya.

Beliau turut berkata tiada masalah bagi pihaknya untuk menerima kunjungan orang ramai yang ingin bertanyakan mengenai Restoran LC jika terdapat sebarang kemusykilan.-16/3/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 988  tetamu dalam talian