Artikel
Proton Exora – Teksi Rakyat 1Malaysia (TEKS1M) memang cun!
- Terakhir dikemaskini: 24 Julai 2014
- By NOOR HASILAH ISMAIL
Tempat duduk selesa, ruang simpanan beg luas, sistem brek anti-kunci automatik (ABS), kerusi kulit warna keemasan, saluran penyaman udara khusus untuk penumpang, sistem navigasi GPS, kemudahan kad kredit/debit dan meter serta NGV pasang siap. Fuh – itu adalah ciri yang terdapat pada Teksi Rakyat 1Malaysia (TEKS1M).
“Mesra alam, elegan, cun, eksklusif dan berlainan daripada warna teksi yang pernah saya lihat,” begitulah reaksi awal Pengerusi Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar sewaktu melancarkan rekabentuk TEKS1M di Shah Alam, pada Khamis.
Syed Hamid berkata, pemilihan warna “Elegant Golden Brown melambangkan keunggulan teksi berkenaan kerana warna itu tidak didapati pada mana-mana kereta di Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Proton Holdings, Dato Seri Mohd Khamil Jamil yang turut hadir pada majlis pelancaran itu, berkata Proton akan mengeluarkan 1,000 unit Proton Exora menjelang Jun ini untuk kegunaan pemandu teksi di bawah program TEKS1M. Katanya TEKS1M akan dikeluarkan dalam dua versi, iaitu manual dan automatik.
Menurut Syed Hamid pula, pengusaha teksi juga diberikan pilihan sama ada memilih Exora yang menggunakan petrol atau gas asli (NGV).
Hampir 100 pemandu teksi yang turut hadir pada majlis pelancaran rekabentuk TEKS1M itu juga kagum dengan kehebatan kenderaan jenama Exora itu dan ramai daripada mereka tidak sabar memilikinya.
Pengusaha teksi yang berminat membeli TEKS1M boleh memohon geran daripada Yayasan Rakyat 1MDB, sebanyak RM5,000 setiap seorang untuk meringankan beban membeli kenderaan Exora itu.
Proton Exora itu bernilai RM64,000 seunit, dan dengan subsidi daripada geran berkenaan, pemandu teksi cuma perlu membeli dengan harga RM59,000 sahaja dengan tempoh pinjaman sehingga sembilan tahun.
Syed Hamid berkata, TEKS1M adalah salah satu daripada usaha SPAD untuk menaik taraf sistem perkhidmatan teksi di Malaysia khasnya dan meningkatkan imej pemandu teksi amnya.-18/4/2013 OLEH NOOR HASILAH ISMAIL