18Ogos2018

PH perlu sekat projek kereta nasional ketiga Mahathir

Jika Pakatan Harapan (PH) gagal sekat impian projek mega Kereta Nasional 3 dicetuskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bermakna mereka sah membenarkan pentadbiran autokratik beliau.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi sambil merujuk kisah kegagalan projek kereta kebangsaan pertama, Proton yang masih gagal waima kemudian diambil alih kroni Mahathir sendiri.

“Sekiranya Menteri PH tidak membantah cadangan pembuatan kereta Nasional 3 maka sahlah mereka memang takut kepada Tun M, mereka takut kehilangan jawatan sendiri bahkan mereka tidak takut kepada rakyat marhaen.”

Mengulas lebih lanjut Mohd. Puad menambah bahawa, Poton telah diswastakan pada tahun 2012, hampir di-bailout apabila Mahathir minta perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak suntik RM2 bilion kepada Proton.

“Ketika itu Proton berhutang RM700 juta kepada pelbagai vendor komponen yang majoritinya Bumiputera. Jualan Proton merosot teruk kepada cuma 5,000 unit sebulan pada 2017 berbanding 200,000 unit sebulan sebelumnya.

“Bahkan kerugian Proton pada tahun 2016 ialah RM150 juta. Justeru apa perlunya Proton 2.0? Kenapa tidak dipulihkan sahaja Proton 1.0?” soal Mohd. Puad sebagai membuat perbandingan projek kereta nasional berkenaan.

Idea projek aneh itu disuarakan Mahathir ketika lawatan sulung beliau ke Jepun akhir Mei lalu selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 dengan menyatakan konon ia boleh dijadikan perusahaan kerjasama automotif ASEAN.

Kalau Kerajaan PH ujar Mohd. Puad, terpaksa mungkiri janji manifesto mereka sendiri konon atas alasan kewangan, kenapa projek Kereta Nasional 3 mahu dilaksanakan dan bertanya, tidakkah itu nanti bakal beban rakyat miskin?

“Sedangkan banyak keutamaan lain perlu diselesaikan. Antaranya harga kereta lebih murah seperti yang dijanjikan dalam Buku Jingga (Bajet PH). Lebih baik kemudahan sistem pengangkutan awam dimodenkan dahulu,” jelasnya.

Ini termasuk dengan kerajaan PH meneruskan projek MRT3, ECRL dan HSR. Bidas Mohd. Puad lagi, jangan hairan jika jambatan bengkok akan dibina semula dan perlumbaan F1 akan kembali beraksi di litar antarabangsa Sepang.

“Maka lama lagilah Mahathir jadi PM. Kempunan lagikah Anwar?” soal beliau dalam nada sindiran merujuk cita-cita tinggi calon bakal perdana menteri yang kelapan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 499  tetamu dalam talian