19Ogos2018

Penduduk Gopeng perlu belajar dari kesilapan lalu

Rakyat dalam kawasan Parlimen Gopeng perlu belajar dari  kesilapan lalu apabila kehilangan hak mendapatkan peruntukkan asas RM7 juta setahun bagi tujuan pembangunan  gara-gara  salah pilih wakil rakyat.

Ketua Wanita MCA Kebangsaan, Datuk Heng Seai Kie berkata, peruntukkan tersebut yang sepatutnya diterima oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bagi tujuan pembangunan itu gagal dimanfaatkan apabila Parlimen Gopeng dikuasai  pembangkang.

Katanya,  ketiadaan peruntukan asas itu menyebabkan penduduk di Parlimen Gopeng terpaksa mengharungi pelbagai masalah hidup disebabkan pembangunan tidak dapat dilaksanakan di kawasan mereka.

Namun begitu beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir  kerana tidak mengabaikan  penduduk Gopeng dengan terus memberikan bantuan dan kemudahan seperti bantuan kotak makanan Yayasan Bina Upaya dan bantuan persekolahan bagi meringankan beban kehidupan rakyat.

``Hargailah jasa dan khidmat bakti kerajaan BN yang memerintah pada hari ini dan jangan lagi membuat kesilapan lalu ….gunakan peluang  yang ada pada kali ini untuk memenangkan calon-calon BN di Parlimen Gopeng pada pilihan raya kali ini,’’ katanya.

Datuk Heng berkata demikian semasa berucap di majlis bantuan persekolahan sekolah-sekolah Kinta Utara Parlimen Gopeng di Arena Square, Batu Gajah.

Beliau yakin, rakyat Gopeng kini sudah sedar apabila wakil-wakil rakyat pembangkang tidak mampu membawa apa-apa kemudahan dan pembangunan di Gopeng selama dua penggal di kawasan Parlimen itu.

``Gopeng masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan selama dua penggal dikuasai pembangkang dan ini amat mengecewakan penduduknya,’’ katanya.

Heng juga mengingatkan penduduk Gopeng jangan mudah termakan fitnah dan hasutan pembangkang yang gemar memburuk-burukkan pemimpin dan kerajaan BN semata-mata kerana ingin meraih sokongan rakyat.-13/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 496  tetamu dalam talian