16Disember2017

Pendapatan pelaburan KWSP RM12.96b

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan peningkatan pendapatan pelaburan kepada RM12.95 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2017.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 5.13 peratus berbanding RM12.32 bilion yang dicatat untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam kenyataannya, KWSP berkata, ia juga mencatatkan jumlah rosot nilai bersih lebih rendah pada RM791.55 juta dalam suku tahun yang dikaji, selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 139), berbanding RM349.59 juta pada suku sama tahun lalu.

Ini berikutan peruntukan yang lebih tinggi diambil untuk ekuiti domestik dalam sektor telekomunikasi dan minyak dan gas.

Dalam suku ketiga 2017, ekuiti merangkumi 41.86 peratus dari keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP, menyumbang sebanyak RM7.91 bilion atau 61.09 peratus dari
keseluruhan pendapatan pelaburan.

Pendapatan ini adalah 12.75 peratus lebih tinggi daripada RM7.02 bilion yang dicatat dalam suku tahun yang sama pada 2016.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan), Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata, prestasi portfolio KWSP telah mengambil manfaat daripada kenaikan pasaran ekuiti luar negara dalam suku tersebut.

“Kami tidak menyaksikan pulangan yang sama dari pasaran domestik di mana prestasi FBM KLCI adalah mendatar berbanding pasaran lain yang mencatat perkembangan antara dua peratus hingga lima peratus,” katanya.

Setakat September 2017, sebanyak 50.45 peratus dari aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap yang merekodkan pendapatan sebanyak RM4.49 bilion,
bersamaan dengan 34.63 peratus dari jumlah pendapatan pelaburan suku tahun.

Daripada RM4.49 bilion pendapatan kelas aset, Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf menyumbang RM2.17 bilion dalam suku ketiga 2017, naik 10.96 peratus, atau RM213.98 juta, daripada RM1.95 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, selaras dengan perkembangan portfolio.

Pinjaman dan bon pula mencatat pendapatan pelaburan lebih rendah sebanyak RM2.32 bilion berbanding RM2.56 bilion dalam suku ketiga tahun lalu.

Pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang dan Hartanah dan Infrastruktur masing-masing mewakili 3.53 peratus dan 4.16 peratus dari keseluruhan jumlah aset pelaburan dan
menyumbang pendapatan pelaburan masing-masing sebanyak RM274.27 juta dan RM263.83 dalam suku ketiga 2017.

“Pelaburan kami dalam Instrumen Pasaran Wang kini melebihi sasaran tiga (3) peratus di bawah Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP berikutan halangan berterusan ke atas
kawalselia pelaburan baru luar negara.

“Dalam jangka panjang, KWSP perlu terus mengembangkan portfolio aset luar negara kerana ia penting untuk kepelbagaian kami dan memberi peluang untuk kami mencapai sasaran pulangan,” kata Mohamad Nasir.

Setakat 30 September 2017, pelaburan luar negara KWSP, yang merangkumi sebanyak 30 peratus dari jumlah aset pelaburan, menyumbang 48 peratus kepada keseluruhan pendapatan pelaburan di dalam suku tahun yang dikaji.

Kepelbagaian dalam kelas aset, negara dan matawang telah membantu KWSP untuk mencatat pendapatan yang lebih tinggi untuk suku tahun yang dikaji walaupun terdapat perbezaan yang ketara antara prestasi pasaran sedunia.

Daripada pendapatan pelaburan sebanyak RM12.95 bilion dalam suku ketiga 2017, sebanyak RM860.83 juta dijana untuk simpanan Syariah.

Manakala RM12.09 bilion dijana untuk simpanan konvensional yang memperoleh pendapatan dari kedua-dua bahagian aset patuh Syariah dan aset tidak patuh Syariah.

Nilai aset pelaburan KWSP kini mencecah RM771.20 bilion, meningkat 5.48 peratus atau RM40.09 bilion, daripada RM731.11 bilion dalam 31 Disember 2016.

Daripada jumlah aset pelaburan, sebanyak RM370.10 bilion, atau 48 peratus adalah dalam pelaburan patuh Syariah manakala selebihnya dalam aset tidak patuh Syariah.

“Kami masih mempunyai satu lagi suku tahun sebelum akhir tahun, dan kami yakin kepelbagaian aset membolehkan kami untuk mencapai sasaran dividen sebenar tidak kurang dari dua peratus melebihi kadar inflasi untuk tiga tahun berturut-turut bagi simpanan Syariah dan konvensional,” tambah beliau.-30/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1111  tetamu dalam talian