17November2018

Pemilihan PKR tidak perlu ditangguhkan... - Anwar

Desakan supaya pemilihan PKR ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, tidak menyakinkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, pemilihan PKR tidak perlu ditangguh kerana kempen untuk pemilihan PKR sudah berlangsung kira-kira sebulan, justeru anggota serta jentera parti kini boleh meletakkan fokus kepada PRK Port Dickson yang akan diadakan nanti.

“Cadangan (tangguh pemilihan) itu baik, semua kita patut fokus kepada dua perkara ini tetapi kamu hendak bertanding, bertandinglah. Kamu, antara parti dan kawasan pilihan raya yang mana lebih penting?

“Kalau dua-dua penting, kamu sudah kempen sebulan cukuplah, kini tumpu kepada (PRK) Port Dickson. Maknanya boleh (adakan pemilihan) tetapi ini (pemilihan) pada peringkat akhir, sudahlah,” katanya ketika berucap pada majlis Agenda Malaysia Baharu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh di sini, malam tadi.

Bernama melaporkan turut hadir Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga Timbalan Menteri Industri Utama dan kira-kira 1,000 anggota parti itu.

Shamsul Iskandar sebelum ini menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR menangguhkan sementara proses pemilihan parti yang dijadual 22 September ini, sehingga PRK Parlimen Port Dickson selesai.

Semalam, Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan pengosongan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR, bertanding di kerusi parlimen berkenaan.

Sementara itu, Anwar berkata anggota PKR harus memilih pemimpin yang dapat berkhidmat dengan sebaiknya untuk parti dan juga rakyat, justeru pemimpin yang sombong dan korup perlu ditolak sekeras-kerasnya pada pemilihan akan datang.

Beliau berkata salah guna kuasa serta wang terutama ketika pemilihan PKR tidak akan dimaafkan sama sekali, dan beliau tegas mengingatkan semua pemimpin serta anggota parti mengenai perkara tersebut.

“Jangan ada kuasa sedikit nak ugut orang, jangan ada wang nak beli undi, ingat ini Umno ke? Ini parti perjuangan demi rakyat, daripada dukungan rakyat, jadi bila kita ada kuasa kena ingat,” katanya.-14/9/2018 *gambarfail

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 395  tetamu dalam talian