16Disember2017

Militan IS rekrut anggota melalui media sosial

Tidak perlu pangkalan, ancaman militan IS masih rancak tersebar menerusi media sosial untuk menyebarkan ideologi dan merekrut rakyat negara ini, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata ancaman keganasan di negara ini masih serius walaupun IS kehilangan pusat pemerintahan di Raqqa, Syria, namun pengaruh Internet masih meluas, sebagai contoh penangkapan tiga anggota Daesh di Kelantan baru-baru ini.

“Walaupun konsep wilayah khalifah itu sudah tiada, tetapi IS kini mengeksploitasi media sosial untuk merekrut, menyebarkan ideologi dan menghasut anggota baharu supaya melancarkan serangan di negara masing-masing.
Advertisement

“Seperti tangkapan baru-baru ini di Kelantan, suspek tersebut tidak pernah bersemuka atau menghubungi tetapi sekadar melalui Internet, terpengaruh dengan ideologi IS kemudian belajar membuat bom melalui laman sesawang IS.

“Ideologi IS ini makin rancak tanpa perlu ke Syria dan tanpa perlu merekrut orang secara fizikal lagi. Kita bimbang jika gagal memperoleh risikan, sudah tentu kita tidak dapat mengesan dan menggagalkan rancangan serangan IS,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia ke-4 (WCIT 2017) hari ini.

Persidangan 2 hari mulai hari ini bertemakan “Keamanan Global” dianjurkan oleh Universiti Sultan Azlan Shah, dengan dihadiri peserta dari lebih 15 negara.

Dalam satu sidang media pada 17 Oktober lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis telah menahan 3 lelaki termasuk pelajar sekolah tingkatan 6 di sebuah restoran di Pasir Puteh, Kelantan, disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan.

Ketiga-tiga mereka ditahan pada 8.17 malam 10 Oktober lepas oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dan disyaki terlibat dalam merancang melakukan serangan di Better Beer Festival 2017, pusat hiburan dan rumah ibadat di sekitar Lembah Klang menggunakan ”Improvised Explosive Device” (IED) yang dihasilkan sendiri.

Mohamad Fuzi berkata semua yang ditahan dipercayai menguji IED berkenaan di sebuah kawasan lapang pada 28 September lepas dan siasatan mendapati bahan letupan berkenaan mempunyai kesan sehingga 30 meter.

Sehubungan itu, Ayob Khan berkata WCIT 2017 yang diadakan selama 2 hari ini akan memberi pencerahan kepada masyarakat dari segi pendekatan perlu diambil untuk menangani isu keganasan yang semakin membimbangkan.

Selain itu, Ayob Khan berkata negara sekarang sedang berperang dengan ideologi bukannya berperang dengan fizikal dan sekiranya isu ideologi Salafi Jihadi yang dipegang IS gagal ditangani, dibimbangi lebih ramai akan terpengaruh.

“Memang polis boleh tangkap dan tuduh suspek di mahkamah tapi isu pokoknya adalah bagaimana kita hendak menangani penyebaran ideologi Salafi Jihadi IS dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Ayob Khan turut menceritakan beliau pernah menerima ancaman bunuh daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, 27, iaitu anggota militan IS yang maut dalam serangan dron di Syria pada Mei lepas.

Katanya ancaman terbaru diterima adalah sewaktu bulan puasa lepas sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

“Anggota IS di Indonesia yang menghasut anggota IS di Malaysia dan Indonesia untuk bunuh saya.

“Mengikut mereka, polis ini (Ayob Khan) yang banyak membuat tangkapan terhadap anggota-anggota IS di Malaysia,” katanya sambil menyifatkan ancaman IS adalah sebahagian daripada cabaran dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pegawai polis.-21/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1111  tetamu dalam talian