17Ogos2018

Mansuhkan kuasa menteri untuk beri pengecualian cukai

Seorang pengamal cukai kanan telah meminta kerajaan memansuhkan seksyen 127 (3A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang membolehkan menteri bertanggungjawab untuk mengecualikan orang atau syarikat tertentu daripada membayar cukai.

Rakan Kongsi Lee Hishamuddin Allen & Gledhill (LHAG), S Saravana Kumar, berkata ini akan menjadikan sistem itu lebih telus.

Beliau berkata, seksyen 127 (4) Akta tersebut menyatakan apa-apa perintah yang dibuat di bawah subseksyen 3 hendaklah dibentangkan di Parlimen.

"Kedua-dua subseksyen ini bercanggah antara satu sama lain. Ini boleh disalah guna untuk memberikan pengecualian cukai kepada rakan dan kroni," katanya kepada pemberita selepas Seminar Cukai, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Kastam LHAG di Kuala Lumpur Khamis.

Saravana juga berkata, kerajaan harus menimbangkan pembaharuan sistem pelantikan Pesuruhjaya Khas (SC) Cukai Pendapatan. (Seseorang yang terjejas dengan penilaian yang dibuat berkenaan dengannya boleh merayu kepada pesuruhjaya tersebut).

Ini kerana SC berada di bawah Kementerian Kewangan (MoF) dan dalam senario sedemikian, pembayar cukai yang terjejas mencabar Lembaga Hasil Dalam Negeri, yang juga di bawah MoF.

"Ini boleh dilihat sebagai konflik kepentingan. Justeru, sistem ini perlu ditukar untuk mendapatkan prosiding yang lebih baik," jelasnya.

Ditanya mengenai kemungkinan kesan lata selepas pelaksanaan SST, Saravana berkata, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 memerlukan beberapa pindaan untuk menghalang perniagaan daripada menaikkan harga secara tidak munasabah.

"Pada masa ini, apabila sebuah syarikat didapati melakukan pencatutan, ia sama ada membawa hukuman penjara atau denda. Denda ditetapkan pada RM500,000 untuk kesalahan pertama dan RM1 juta bagi kesalahan kedua. Ini tidak mencukupi kerana keuntungan yang diperoleh daripada pencatutan mungkin lebih banyak," katanya.

Beliau mencadangkan kompaun diperkenalkan dan wang yang dikutip daripada pencatutan digunakan untuk mendidik pengguna.

Perniagaan yang terbabit dalam pencatutan juga perlu membuat permintaan maaf kepada orang ramai atas kesilapan mereka, tambahnya.-10/8/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 459  tetamu dalam talian