16Disember2017

Lelaki dipenjara akibat muat naik kartun, perkataan aibkan PM

 
Seorang operator kilang dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya Jumaat selepas dia mengaku bersalah memuat naik lukisan kartun dan perkataan yang mengaibkan Perdana Menteri, bulan lepas.
 
Majistret Mohd Azali Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Hamizan Ghazali, 24, dan memerintahkan dia menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 12 Nov lepas.
 
Mohamad Hamizan didakwa menggunakan profil 'Ieyzan Ghazali' di laman sosial Facebook dan memuat naik gambar lukisan kartun bersifat jelik yang tertera perkataan mengaibkan Perdana Menteri.
 
Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Melati 2, Taman Paya Rumput Perdana, Melaka Tengah, Melaka, di antara 12.01 pagi pada 20 Okt dan 5.30 petang 22 Okt lepas.
 
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.
 
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia sudah direman selama lima hari.
 
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan itu yang kini menjadi trend pengguna media sosial.
 
"Tertuduh tidak sepatutnya melanggar undang-undang jika ingin menyuarakan pendapat kerana ia bertentangan dengan rukun negara.
 
"Tindakannya memuat naik gambar jelik adalah tindakan yang silap serta tidak menghormati pemimpin negara," katanya.
 
Mengikut fakta kes, pengadu merupakan anggota 'Friends of UMNO' telah membuat laporan polis berhubung tindakan tertuduh yang memuat naik gambar jelik itu di laman sosial Facebook.- 17/11/2017
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1107  tetamu dalam talian