18Julai2018

"Kita tahu Harapan berbohong kepada rakyat," - Najib

Pakatan Harapan (PH) didakwa berbohong kepada rakyat selepas manifesto dijanjikan berkaitan menurunkan harga minyak petrol masih belum dapat dilaksanakan, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata, janji tersebut mustahil ditunaikan dan jika BN menjanjikan perkara serupa maka ia akan menjadi pengkhianatan kepada rakyat dan beliau tidak rela berbuat demikian.

"Kami tahu Harapan tidak boleh laksanakan perkara itu. Itu manifesto mereka dan satu janji yang pasti kepada rakyat. Rakyat mengundi untuk itu.

"Saya telah jumpa ramai orang yang kata, tengok kami nak beli petrol RM1.50 keesokan hari. Mereka mengundi kerana janji-janji itu dan mereka tak tunaikan dan bagi kerajaan persekutuan mereka tak dapat buat, saya fikir terdapat banyak soalan serius untuk dijawab," katanya dalam temu bual eksklusif bersama portal Malaysiakini, baru-baru ini.

PH melalui manifesto mereka sebelum ini berjanji akan menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.

Najib menambah, kerajaan tidak mampu melaksanakan penurunan harga petrol memandangkan jumlah subsidi yang bakal ditanggung akan meningkat.

"Saya tahu kita tidak dapat berbuat demikian kerana walaupun RM2.20, subsidi berjumlah RM600 juta sebulan. Bayangkan jika kita cuba mengurangkannya kepada RM1.50. Kita tidak mampu. RM1.50 adalah 70 sen lebih murah daripada harga petrol semasa Arab Saudi dan mereka menghasilkan lebih 20 kali lebih banyak minyak daripada kita. Kita tahu Harapan berbohong kepada rakyat.

"Saya tahu saya tidak boleh berjanji menghapuskan tol kerana untuk menghapuskan tol akan menelan belanja RM18 bilion. Saya tahu saya tidak boleh menjanjikan PTPTN bahawa sesiapa yang berpendapatan di bawah RM4,000 tidak perlu membayar kerana nilainya akan menjadi berbilion bilion ringgit," katanya.-10/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 484  tetamu dalam talian