10Disember2018

Ketua Pemuda PH bidas Dr Mahathir isu PTPTN..

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Nik Nazmi Nik Ahmad membidas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa peminjam yang tidak melunaskan tunggakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh dianggap tidak amanah atau tidak tahu malu.

Ahli Parlimen PKR Setiawangsa itu berkata, beliau mempunyai perbezaan pandangan berhubung perkara itu.

Menurutnya, kerajaan tidak boleh menghukum peminjam yang tidak membayar PTPTN secara pukul rata, meskipun ada yang tidak tahu malu dan tidak amanah.

Ia berikutan katanya, lebih ramai peminjam yang bukan tergolong dalam kelompok itu.

"Saya hormat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan faham bebanan ekonomi negara tapi dalam hal ini saya ingin nyatakan pandangan berbeza.

"Kerajaan kena faham bukan semua seperti dinayatakan, ada antara peminjam belum ada pekerjaan, yang bekerja pula, gaji permulaan amat rendah," katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan harus akui terdapat golongan miskin bandar dan miskin tegar dan kebiasaannya kelompok itu sukar buat bayaran kerana mempunyai banyak bebanan dan perlu menyara keluarga.

Katanya, sudah menjadi budaya dalam masyarakat, mereka yang belajar di universiti menjadi harapan besar untuk membantu keluarga.

"Kita baru perintah beberapa bulan, misi kita untuk perbaiki ekonomi negara. Sehingga kita menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, gaji permulaan yang baik dan memahami masalah sebenar peminjam, tidak wajar kita melabel kelompok peminjam sebagai tidak amanah.

"Perlu diketahui sistem pendidikan juga bermasalah dengan penumpuan terhadap pembinaan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS)  ketika institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak berkembang dan berdepan potongan peruntukan besar  kebelakangan ini,"katanya.

Tambahnya, disebabkan biasiswa semakin berkurangan, lepasan sekolah yang semakin ramai tiada pilihan melainkan memilih ke IPT swasta untuk melanjutkan pengajian.

"Sebab itu dalam Buku Harapan kita fokus cipta kerja dengan gaji  tinggi, peningkatan gaji minimun dalam tempoh lima tahun dan penangguhan pembayaran PTPTN sehingga gaji RM4,000. Model sama digunakan di luar negara seperti Australia dan Britain," katanya.-21/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 343  tetamu dalam talian