25September2018

Kerajaan tidak akan perjudikan masa depan negara kerana politik - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi jaminan kerajaan tidak akan perjudikan kepentingan nasional kerana politik.

“Saya berjanji kepada anda semua, kerajaan ini tidak akan sesekali tidak menggunakan kelebihan politik singkat berbanding kepentingan nasional.

“Keselamatan rakyat Malaysia pada masa-masa akan datang tetap akan kami dahulukan,” katanya.

Najib menyatakan demikian semasa merasmikan Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 (KLIYD2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra Ahad. Ia dianjurkan menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang berlangsung dari 5 hingga 9 Dis ini.

Serentak dengan itu Perdana Menteri menempelak mereka yang membuat pelbagai janji tetapi tiada sebarang rekod kejayaan untuk diperkatakan.

"Mereka menentang walaupun secara diam-diam, mereka bersetuju dengan sesuatu cadangan itu - kerana mereka bukannya bimbangkan kebajikan rakyat Malaysia. Tidak. Mereka hanya bimbangkan cita-cita politik yang mementingkan diri sendiri sahaja," kata beliau.

Najib seterusnya membidas belanjawan bayangan pembangkang dengan menyatakan bahawa ekonomi fantasi mereka hanya akan menjadikan Malaysia tidak selamat, tidak terjamin dan tidak stabil.

Perdana Menteri berkata kerajaan pimpinannya, sebaliknya, mempunyai rekod pencapaian yang sudah terbukti.

"(Ia) adalah rekod yang menyaksikan delegasi kerajaan Malaysia diberi sambutan penuh minat oleh para pemimpin di seluruh dunia - dari Amerika Syarikat dan United Kingdom ke China, India dan Arab Saudi, sekadar menyebut beberapa negara," kata beliau.

Beliau berkata ia juga merupakan rekod yang menyaksikan Malaysia menerima penghargaan daripada Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi serta banyak institusi global lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha mewujudkan peluang untuk belia adalah kunci kepada masa depan yang lebih terjamin bagi Malaysia.

Beliau berkata ini termasuklah dengan memastikan pendidikan dan kemahiran yang betul disediakan untuk mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah penting dalam melahirkan tenaga kerja muda yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing,

"Inilah sebabnya mengapa semua institusi TVET Malaysia di tujuh kementerian sedang digabungkan untuk menjadi TVET Malaysia di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia," kata Najib semasa merasmikan Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 (KLIYD2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra Ahad.

Perdana Menteri juga bercakap tentang perlunya mengambil pendekatan yang lebih holistik terhadap isu-isu yang mungkin memberi kesan kepada golongan muda.

"Sebagai contoh, sejak sekian lamanya kami berusaha gigih untuk menangani penagihan dadah. Tetapi kabinet saya mengakui bahawa pendekatan sedemikian mungkin bukanlah cara yang paling berkesan,"kata beliau.

Najib berkata 'Agenda Sosial' yang mahu diperkenalkan kerajaan akan melihat kepada usaha menyelesaikan masalah penagihan dadah menerusi penyertaan.

Beliau berkata ini akan memastikan golongan muda mempunyai pekerjaan supaya mereka mahu menjalani kehidupan berbanding mengejar eskapisme yang menghancurkan kehidupan.

"Daripada mengasingkan penagih, kita perlu menyatukan mereka. Kita perlu memberi peluang kepada mereka," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga membelanjakan hampir RM13 bilion untuk membantu golongan muda memiliki rumah mampu milik dan menyelesaikan isu perumahan terutamanya di kawasan bandar.

"Ini adalah antara beberapa dasar yang kita buat untuk menangani cabaran dalam mewujudkan masa depan yang lebih terjamin bagi golongan muda Malaysia," kata beliau sambil memberitahu bahawa kerajaan juga banyak berunding dalam merumuskan agenda Transformasi Negara 2050 (TN50).- 3/12/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 502  tetamu dalam talian