13Disember2018

Keluarga Adelina terima pampasan RM63,900

Pampasan dan tunggakan gaji berjumlah RM63,900 telah dibayar kepada keluarga Adelina Lisao, pembantu rumah warga Indonesia yang mati didakwa akibat didera.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata bayaran itu meliputi tunggakan gaji dari Jan 2015 hingga Feb 2018, berjumlah RM35,900 dan selebihnya pampasan untuk keluarganya termasuk kos penghantaran jenazah dan pengebumian.

"Bayaran itu telah dibuat pada 13 Feb lepas kepada Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang,"kata Zahrain kepada pemberita di Jakarta.

Media Indonesia sebelum ini melaporkan keluarga wanita itu mahukan pampasan serta tunggakan gaji selama tiga tahun yang tidak dibayar majikannya.

"Kes kematian Adelina adalah satu kejadian yang amat menyayat hati, saya berasa kesal kerana ia berlaku di Malaysia,"kata Zahrain.

Pada 10 Feb lepas, Adelina, 28, ditemui dalam keadaan tidak bermaya dengan kesan lebam di kepala, tangan dan kaki akibat didera di sebuah rumah di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Adelina meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Bukit Mertajam.

Jenazahnya telah dihantar dan selamat dikebumikan di provinsi Nusa Tenggara Timur pada 19 Feb.

Bercakap kepada media yang dihadiri ramai wartawan Indonesia, Zahrain berkata Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mereka yang didapati bersalah dalam kes berkenaan.

Sementara itu, di Bukit Mertajam, seorang wanita warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh Adelina.

M.A. Ambika, 60, didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Adelina di rumahnya di Medan Kota Permai 2, Taman Kota Permai 2, di Bukit Mertajam pada 4 petang, 10 Feb lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada warga emas berkenaan, yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Anas Mahadzir.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hamzah Azhan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 April depan untuk sebutan kes bagi serahan laporan kimia, bedah siasat dan forensik.

Di mahkamah sama, anak perempuan warga emas itu didakwa atas pertuduhan mengambil bekerja pembantu rumah berkenaan yang diketahuinya tidak mempunyai pas yang sah.

R.Jayavartiny, 32, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Jurujual itu didakwa mengikut Seksyen 55 (B) (1) Akta Imigresen yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya.-22/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 391  tetamu dalam talian