19Ogos2018

Jangan sibuk pengaruhi proses pemilihan dalam UMNO...

UMNO meminta pihak luar terutama Pakatan Harapan jangan mencampuri atau cuba mempe­ngaruhi proses pemilihan parti tersebut pada bulan ini, bertujuan melaga-lagakan mereka yang bertanding.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO malah menganggap, kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung siapa yang layak menerajui UMNO disifatkan sebagai menjaga tepi kain orang sedangkan UMNO tidak pernah mencampuri atau mengulas mengenai parti komponen Pakatan Harapan.

Bagi UMNO, kenyataan-kenyataan lawan mengenai pencalonan pelbagai jawatan dipertandingkan sekadar memporak-perandakan UMNO yang menjadi wadah perjuangan kaum Melayu selain tidak ubah seperti mahu menggugat pemimpin parti yang sebenarnya bertanding dalam sema­ngat harmoni.

“Apakah Dr. Mahathir masih ‘meroyan’ dengan parti yang pernah dipimpin dan diperkudakannya selama 22 tahun?

“Begitu juga dengan kenya­taan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa UMNO memerlukan pendekatan baharu untuk memulihkan imejnya.

Kami ingin menasihatkan Kit Siang agar memberi tumpuan kepada isu dalaman DAP dan kes ra­suah yang dihadapi anaknya, iaitu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,” menurut unit UMNO itu dalam satu kenyataan Isnin.

Sebelum ini, Dr. Mahathir membayangkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin merupakan calon yang layak memegang jawatan Presiden UMNO dalam menentukan hala tuju perjuangan parti, namun Khairy menganggap kenya­taan oleh Perdana Menteri itu sebagai sindiran.

Unit komunikasi strategik UMNO itu sekali lagi menasihati Kit Siang supaya akur dengan kenyataan ahli-ahli DAP yang menggelar beliau sebagai seorang diktator kerana keengganannya menyerahkan kuasa kepada orang lain.

“Begitu juga dengan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz. Beliau yang mengaut kekayaan ketika di dalam UMNO, tidak ada hak lagi berkata apa-apa mengenainya (hal ehwal UMNO),” kata unit itu.

Unit UMNO itu turut mengi­ngatkan bahawa UMNO meraih 54 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekali gus membuktikan parti itu mampu berdiri sendiri tanpa gabungan politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan.

“Pakatan Harapan bukanlah sebuah parti politik yang kukuh sebenarnya. Oleh itu, beranikah mereka meleraikan ikatan ini dan berdepan satu lawan satu dengan UMNO?

“Jadi janganlah regim Pakatan Harapan cuba menjadi ‘king maker’ dengan mencatur apa yang patut dibuat dan siapa harus menjadi pemimpin dalam UMNO. Jangan umpama ‘ayam jantan yang berkokok berderai-derai, tetapi ekor bergelumang tahi’,” kata UMNO.

UMNO mengharapkan semua pihak memberi ruang kepada parti untuk menguruskan halnya sendiri dan yakin kepimpinan yang ada mampu menjanjikan masa depan yang lebih gemilang buat UMNO.-12/6/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 492  tetamu dalam talian