10Disember2018

Jangan sampai rakyat balas dendam pada anak Mahathir...

Presiden Pemantau Malaysia Baru Datuk Lokman Noor Adam mengingatkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa rakyat akan membalas dendam terhadap anak-anaknya jika melihat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dianiaya.

Lokman ditemui di tunjuk perasaan solidariti untuk Najib yang ditangkap petang tadi selepas disoalsiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berkaitan sumbangan RM2.6 bilion yang diterimanya pada 2013.

Menurut SPRM, Najib akan dituduh di Mahkamah Sesyen di Jalan Duta, Kuala Lumpur Khamis.

“Jangan sampai bila dia ‘mampus’, rakyat bangkit dan buat perkara yang sama kepada anak-anak dia,” kata Lokman kepada pemberita di luar pintu masuk utama SPRM malam tadi.

Pada Julai, Najib dituduh dengan 3 tuduhan pecah amanah dan 1 tuduhan salah guna kuasa berkaitan RM42 juta yang disalurkan ke akaun banknya.

Bulan lepas, dia dituduh dengan 3 tuduhan pengubahan wang berkaitan transaksi yang sama bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan pada 12-28 Februari dan 4-29 Mac tahun depan.

Sementara itu, Lokman tertanya mengapa Najib ditahan dan didakwa sedangkan siasatan belum selesai.

“Peguam negara kata tak boleh tahan Najib sebab tidak ada kertas siasatan. Macam mana pula boleh masuk lokap 1 malam?

“Malaysia sahaja macam ini! Buat kerja ikut orang cakap. Siapa? Dr Mahathir cakap,” katanya.

Petang tadi, jurucakap SPRM memberitahu bekas perdana menteri itu akan dibawa ke Bukit Aman dan akan disoal polis dan badan anti-rasuah itu.-20/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 326  tetamu dalam talian