18Februari2018

Istana Kelantan tarik anugerah... Mujahid lebih sudu dari kuah

Kenyataan Naib Presiden PAN, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung penarikan balik darjah kebesaran negeri Kelantan yang membawa gelaran ‘Datuk' terhadap dua pemimpin PAN di negeri berkenaan, diibaratkan seperti lebih sudu dari kuah, kata seorang penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusof.
 
Beliau merujuk kepada kenyataan Mujahid yang menyifatkan Naib Presiden PAN, Husam Musa dan Pengerusi PAN Kelantan Wan Abd Rahim Wan Abdullah menjadi 'mangsa' ekoran tegas menegakkan prinsip perjuangan.  
 
"Kata mereka, tindakan Sultan Muhammad V menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk ke atas Haji Husam dan Haji Wan Abdul Rahim ini tidak sepatutnya dibuat kerana ia kononnya merupakan satu campur-tangan pihak istana di dalam urusan politik negeri Kelantan, kerana ia kononnya mempunyai motif politik tertentu atau kerana ia kononnya dibuat di atas cadangan dan desakan lawan politik kepada PAN di Kelantan.  
 
"Lebih teruk ialah komen Naib Presiden PAN Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, yang bukan pun anak Kelantan tetapi adalah anak Pulau Pinang yang mencari makan di Perak, yang berlagak lebih sudu dari kuah dengan mendakwa kononnya penarikan balik darjah kebesaran ini dibuat kerana ketegasan Haji Husam dan Haji Wan Abdul Rahim dalam menegaskan prinsip mereka seolah-olah mereka menjadi mangsa kepada perjuangan mereka," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan Harakahdaily.
 
Mujahid semalam memuat naik satu posting di laman sosial Facebook beliau, yang berbunyi:  
 
"Mulianya seseorang bukan kerana pangkatnya tetapi kerana ketegasannya dan kerana itu dia hilang pangkatnya. Kami bangga dengan ketegasan dan kesopanan anda berdua dalam menegaskan prinsip..SALUTE!"
 
Posting itu bagaimanapun turut mendapat reaksi sinis daripada pelayar yang bersetuju dengan tindakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menarik balik darjah kebesaran terhadap dua pemimpin parti serpihan PAS itu.
 
Kamarul Zaman juga membangkitkan tindakan segelintir pemimpin PAN yang gemar menjaja nama bapa saudara Sultan Kelantan, Tengku Mohamed Tengku Yahya Petra di dalam majlis parti untuk kepentingan politik mereka.
 
Tengku Mohamed mengumumkan menyertai PAN pada November 2016 kerana mendakwa kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang tidak turun padang menyelesaikan masalah rakyat.  
 
"...bukanlah satu cubaan untuk mempolitikkan istana dan satu cubaan untuk memberikan persepsi tertentu terhadap Sultan Muhammad V hanya untuk kepentingan politik PAN (Amanah)?," soalnya.
 
Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata menambah, sejarah penarikan balik darjah kebesaran terhadap ahli politik bukan pertama kali berlaku di Kelantan.
 
"...sebelum ini pun tiga orang bekas Menteri Besar dan seorang bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, iaitu Tan Sri Mohd Asri Muda, Datuk Ishak Lotfi Omar, Tan Sri Mohamed Yaacob dan Tan Sri Hussein Ahmad, juga pernah ditarik balik darjah kebesaran mereka oleh Sultan Ismail Petra.
 
"Di sebalik menjulang tanpa usul periksa pihak yang ditarik balik darjah kebesaran ini dengan cuba memberikan persepsi tertentu ke atasnya, apatah lagi bila pihak yang ditarik balik darjah kebesaran ini sendiri menyebut mereka sendiri tidak mengetahui punca penarikan balik ini dibuat, Dr Mujahid dan pihak-pihak tertentu ini sepatutnya menggunakan ruang ini untuk menggesa pihak yang ditarik balik darjah kebesaran ini melakukan sedikit muhasabah diri," katanya lagi.-8/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 651  tetamu dalam talian