16Oktober2018

Fikirlah: Jangan sia-siakan amanah rakyat

Setelah sekian lama ternanti-nanti dengan pelbagai tekaan mengenai keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) , akhirnya kini kita tahu siapa yang akan menerajui kepimpinan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Tahniah diucapkan kepada Anggota-anggota Parlimen dan Anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baru dipilih, tidak kiralah sama ada mereka daripada Pakatan Harapan atau Barisan Nasional mahupun PAS.

Mereka yang kalah tidak sepatutnya terlalu kecewa kerana hakikatnya, begitulah resam sesuatu pertandingan, pasti ada yang menang dan ada pula yang kalah. Bak kata orang, bukanlah satu pertandingan sekiranya tidak ada yang kalah.

Oleh itu, usah berputus asa dan terimalah kekalahan itu dengan hati terbuka.

Hormatilah keputusan itu kerana ia bertitik-tolak daripada sanubari, 'suara rakyat' yang telah diterjemahkan menerusi pengundian pada Rabu lepas (9 Mei), sejajar dengan prinsip demokrasi negara dalam menentukan kepimpinan dan pemerintah seterusnya.

Wakil-wakil rakyat yang baru dipilih tidak sepatutnuya mengambil mudah akan amanah yang diberikan apatah lagi kebanyakan mereka terpaksa menghadapi persaingan sengit dalam pilihan raya yang mendapat jolokan 'bapa segala pilihan raya' itu.

Sudah tiba masanya mereka menggerakkan pelbagai usaha untuk memberi penekanan kepada kebajikan rakyat dan mengurangkan kos sara hidup seperti yang dijanjikan ketika kempen pilihan raya baru-baru ini.

Memandangkan mereka kini masing-masing bergelar 'Yang Berhormat', mereka perlu menggalas tangungjawab masing-masing dengan penuh integriti kerana itu adalah amanah daripada rakyat yang memilih mereka.

Tidak boleh dipandang ringan, peranan mereka sebagai 'jambatan perhubungan' dalam menyampaikan permasalahan rakyat sangat penting dan atas sebab itulah wakil rakyat seharusnya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakatnya dengan penuh semangat.

Dalam hal ini, saya percaya pastinya ramai rakyat Malaysia di luar sana sudah mula membuat penilaian sendiri mengenai anggota Parlimen atau ADUN masing-masing sama ada mereka menjalankan kewajipan dengan baik atau sebaliknya.

Orang ramai akan mengambil kira segala perkara tanpa mengira sama ada ia isu besar, sederhana mahupun kecil. Kesemuanya akan diperhatikan oleh masyarakat kerana kesejahteraan mereka bergantung kepada corak kepimpinan seseorang wakil rakyat.

Atas sebab itulah, Angota Parlimen dan ADUN perlu memberi perhatian terhadap pelbagai isu atau aduan yang dikemukakan walaupun ia hanyalah sekadar isu longkang tersumbat.

Begitu jugalah dengan konsep 'turun padang', yang sepatutnya wakil-wakil rakyat sentiasa praktikkan dengan bersungguh-sungguh. Semestinya, ia bukan sesuatu yang boleh ditangguh atau dianggap sebagai aktiviti wajib lima tahun sekali sehinggalah pilihan raya menjengah lagi!

Mereka sepatutnya berkhidmat di kawasan masing-masing dengan penuh bertenaga sepanjang masa sepertimana rancaknya ketika berkempen untuk meraih kepercayaan pengundi sebelum pilihan raya berlangsung.

Perlu diingat, rakyat menaruh harapan yang sangat tinggi agar wakil rakyat pilihannya itu adalah seorang yang mudah berurusan, gemar meluangkan masa untuk mendengar sendiri masalah mereka dan bukannya menyerahkan kesemuanya kepada pembantu atau orang bawahannya.

Lagipun, itulah yang dijanjikan mereka ketika hangat berkempen. Jadi, tidak usahlah sombong ataupun angkuh setelah bergelar 'Yang Berhormat'. Mungkin, mereka patut mengingatkan diri sendiri bahawa mereka bukanlah siapa-siapa tanpa sokongan rakyat.

Dan kini pilihan raya telah selesai, maka tibalah masanya untuk mereka berhenti berpolitik dan persengketaan kerana rakyat bosan dengan perkara-perkara seumpama itu. Rakyat hanya mahu wakil-wakil rakyat yang dipilih itu berusaha ke arah kesejahteraan semua pihak, tanpa mengira bangsa mahupun ideologi politik.

Apa yang penting bagi rakyat adalah supaya pemimpin yang mereka pilih akan memenuhi segala janji, serta mampu melaksanakan rancangan dan strategi berkesan dalam usaha mengurangkan kos sara kehidupan selain meningkatkan pendapatan bulanan serta tahunan rakyat.

Apabila isu-isu politik menjadi rosak dan tidak dapat dibendung, konflik akan mudah menggugat masyarakat. Jadi, wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat hendaklah berusaha meningkatkan kembali perpaduan masyarakat, sesuatu yang amat diperlukan dalam melaksana dan merealisasi agenda pentadbiran dan pembangunan negara.

Saya rasa adalah baiknya jika anggota parlimen dan kalangan ADUN menganjurkan pelbagai program untuk meningkatkan kembali perpaduan masyarakat. Perpaduan adalah sesuatu yang sangat kita perlukan setelah menyaksikan betapa buruknya persengketaan menjelang pilihan raya baru-baru ini.

Wahai wakil-wakil rakyat, rakyat telah memilih anda untuk menyampaikan keluh-kesah mereka kepada kerajaan. Tunaikanlah segala janji dan kewajipan sebaik mungkin dengan penuh berintegriti sebagai tanda 'terima kasih' kepada rakyat yang memilih anda.-18/5/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 596  tetamu dalam talian