21November2017

DBKL rampas 550 unit PPR, perumahan awam -Tengku Adnan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merampas 550 daripada 45,000 unit rumah yang disewakan di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sejak Januari lepas berikutan perlanggaran beberapa syarat, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata tindakan yang dilakukan menerusi Operasi Pemutihan Perumahan DBKL itu bertujuan memastikan unit-unit PPR yang disewakan tidak disalah guna penyewa asal seperti tidak menetap dan menyewakan kepada pihak ketiga atau warga asing.

"Berikutan permintaan terhadap rumah sewa tinggi, ada penyewa asal mengambil kesempatan dengan mengenakan sewa yang tinggi kepada pihak ketiga. Saya minta janganlah ambil kesempatan di atas kesempitan orang lain."

"Bila masalah ini berlaku, kami tidak akan bertolak ansur dan surat perjanjian sewaan mereka terus dibatalkan serta merta. Cara ini kita boleh beri ruang kepada 80,000 rakyat yang masih menunggu untuk menyewa, yang rata-ratanya terdiri daripada golongan tidak berkemampuan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) DBKL bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur,Khamis.

Terdahulu, Tengku Adnan dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad menyaksikan majlis menandatangani serta melafaz ikrar yang diketuai oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz.

Tengku Adnan berkata majlis yang sama akan diadakan di Putrajaya dan Labuan supaya warga kerja dapat membudayakan sikap integriti dan bebas rasuah dalam melaksanakan tugas.

Sementara itu, Dzulkifli berkata setakat ini, 223 agensi di seluruh negara mengambil bahagian dalam IBR dan berharap lebih banyak agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membantu menjadikan negara ini bebas rasuah menjelang 2020.

"Selain agensi-agensi yang dekat dengan rakyat, SPRM turut memberikan penekanan kepada PBT supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang baik dan telus kepada rakyat serta mengelak daripada salah guna kuasa," katanya.

Dzulkifli berkata IBR membuktikan usaha membanteras dan memerangi rasuah bukan hanya tanggungjawab SPRM sahaja sebaliknya merupakan amanah yang perlu dikongsi oleh seluruh masyarakat terutama dalam kalangan warga yang berkhidmat dengan agensi kerajaan.- 13/7/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 554  tetamu dalam talian