23Oktober2017

Cari penyelesaian masalah sosial generasi muda Kuala Lumpur - Tengku Adnan

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan mempengerusikan mesyuarat khas bersama semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah kementerian itu bagi membincangkan masalah sosial yang sedang melanda generasi muda, terutamanya di Kuala Lumpur.
 
Tengku Adnan berkata mesyuarat pada Isnin depan itu diadakan bagi mengenal pasti secara mendalam punca masalah tersebut serta merangka penyelesaian agar isu yang berlaku sejak sekian lama itu dapat diatasi segera.
 
Beliau berkata berdasarkan pemantauan oleh Unit Banteras Aktiviti Haram (BAH) kementerian, pihaknya mendapati masalah sosial berlaku di semua 11 kawasan di Kuala Lumpur dengan Kampung Segambut Dalam di Segambut merupakan antara lokasi yang perlu diberi perhatian khusus.
 
"Boleh dikatakan semua 11 kawasan di Kuala Lumpur terkait dengan masalah sosial sehinggakan hendak cakap pun terasa malu.
 
Paling teruk sekali di Kampung Segambut Dalam di mana pemantauan BAH mendapati terdapat penduduk yang menjadikan rumah mereka sebagai kedai, menyewakannya kepada orang asing dan yang paling menyedihkan ialah terdapat mereka yang ditahan kerana menjual pil kuda serta beberapa aktiviti liar yang lain turut dikesan berlaku di kampung itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Grazrootz Skatefest di Anjung Floria, Presint 4, di sini hari ini.
 
Festival anjuran Persatuan Pembangunan Kemajuan Skateboard Malaysia yang menghimpunkan 516 peserta itu turut mencipta sejarah apabila disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai perjumpaan paling besar peluncur papan selaju pernah dianjurkan.
 
Tengku Adnan berkata perkara itu pernah dibangkitkan dalam perbincangannya bersama dengan wakil rakyat terbabit tetapi mendapat reaksi kurang memberangsangkan termasuk mengenai program 'Urban Renewal' atau pembangunan semula yang dirancang kementerian itu bagi mengatasi masalah sosial di kawasan berkenaan.
 
Beliau berkata pihaknya sedar masalah kediaman yang kurang selesa merupakan antara faktor berlakunya masalah sosial di kawasan itu serta beberapa penempatan lain seperti di Kampung Keramat, Cheras Baru, Jinjang dan Kepong kerana kebanyakan rumah dibina lebih 30 tahun lalu dengan keluasan 380 kaki persegi dan ada di antaranya didiami lebih daripada lapan orang bagi sebuah rumah.
 
Keadaan itu tentunya membuatkan penghuni, terutamanya anak-anak muda tidak selesa tinggal di rumah, sekali gus mendorong mereka berkeliaran hingga terjebak dalam masalah sosial yang membimbangkan, katanya.- 23/9/2017
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 861  tetamu dalam talian