10Disember2018

Apa sebenarnya yang Kit Siang mahu...?

Apa yang sebenarnya diinginkan oleh Ahli Jawatan Kuasa Tertinggi DAP, Lim Kit Siang terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak?

Ini kerana Kit Siang tetap mempersoalkan walaupun Najib menyatakan kesediaan untuk disiasat berkaitan beberapa kes pembunuhan yang dikaitkan dengannya.

“Kit Siang baru sahaja keluarkan kenyataan bahawa dia terkejut kerana saya bersetuju dengannya supaya meminta kerajaan memulakan siasatan khas terhadap kesemua kes pembunuhan yang PH pernah katakan saya terlibat dengan kes berkenaan.

“Saya tidak faham dengan Lim Kit Siang ini. Bila saya tak setuju dengan beliau, dia marah. Bila saya bersetuju dengannya, pun dia marah,” kata Najib.

Menurutnya Kit Siang marah kerana kononnya tiada siasatan terhadap semua kes semasa beliau menjadi perdana menteri dan hanya mahukan keadilan selepas hilang kuasa.

“Tidak betul, Kit Siang. Kes Teoh Beng Hock dibicarakan di Mahkamah Tinggi, di Mahkamah Rayuan dan juga di Suruhanjaya Siasatan Diraja.

“Kes Altantuya dan Hussain Najadi dibicara selama bertahun-tahun di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan di Mahkamah Persekutuan.

“Kes Kevin Morais di mana tujuh orang dituduh juga telah mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi sejak April 2017. Siapa kata tidak pernah disiasat?,” katanya.

Jadi katanya, tiada alasan kerajaan PH untuk tidak menyiasatnya selepas beliau menyatakan kerelaan untuk disiasat.

“Semua kertas siasatan, kuasa agensi-agensi siasatan untuk ketiga-tiga kes pembunuhan dan mahkamah ada pada tangan kerajaan PH.

“Tiada sebab untuk mereka tidak mengambil langkah itu tanpa lengah dan perlu segera mewujudkan siasatan khas sebagaimana diarahkan Kit Siang melainkan mereka masih ada rancangan untuk menggunakan isu ini pada masa depan untuk terus memfitnah saya,” katanya.

Dalam hantaran itu, Najib turut mengemukakan pertanyaan kepada Kit Siang.

“Adakah kamu masih mahu siasatan khas dibuka sebagaimana gesaan anda dua hari lalu kepada kerajaan PH untuk laksanakan? Adakah kamu akan memujuk Perdana Menteri untuk melakukan ini serta-merta?,” soalnya.-8/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 372  tetamu dalam talian