19Jun2018

Anina nak ceramah pasal pekong PPBM seluruh negara ‘untuk tebus dosa’…

Bekas Ketua Serikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin secara terbuka dakwa antara sebab dia keluar parti berkenaan kerana ditipu oleh Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya pada peringkat awal ketika Mahathir mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak ramai orang di peringkat akar umbi mempercayainya.

“Saya sayangkan Tun dan ketika itu saya rasa perlu membelanya kerana Tun kata kalau nak selamatkan UMNO kena turunkan Najib,” katanya.

Anina mengakui ketika itu dia percaya dengan tuduhan yang mengatakan Najib telah mencuri RM2.6 billion

“Dia (Mahathir) kata kena turunkan Najib supaya UMNO kembali kuat. Pada masa itu kerana sayangkan UMNO, saya nak parti itu kuat. Jadi semasa mesyuarat perwakilan UMNO pada 2015 saya secara terbua marahkan Najib. Video saya ditularkan dan menyebabkan berlakuknya gerakan di akar umbi menyokong Mahathir. Di situlah bermula bagaimana tertubuhnya PPBM,” katanya lagi.

Anina beritahu demikian dalam satu ceramah di Kota Bharu, Kelantan Isnin malam.

Anina mendakwa penubuhan PBBM mengakibatkan Melayu berpecah belah dan dia mengakui sebagai salah satu puncanya.

Katanya perasaan bersalah itu mendorongnya untuk datang berceramah hingga ke Kelantan untuk menceritakan keadaan sebenarnya.

“Saya datang ke Kelantan dengan sukarela kerana nak satukan balik orang Melayu. Inilah permohonan maaf yang terindah dari saya. Saya berikrar dan berjanji akan berusaha dengan sehabis daya untuk memastikan orang Melayu menolak PPBM,” katanya.

Anina menolak anggapan bahawa dia mengkhianti PPBM sebaliknya menuduh parti itu mengkhianati orang Melayu.

Anina turut mendakwa tindakannya saman Perdana Menteri pada 25 Ogos 2015 didorong oleh Datuk Seri Shafie Afdal dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tetapi akhirnya dia menyedari telah dipermainkan oleh mereka.

Katanya 12 hari selepas dia menyaman Najib di mahkkamah, ketika dipanggil membela diri dalam mesyuarat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Muhyiddin membuat kenyatan bahawa dia tahu presiden parti memang ada hak untuk menyimpan duit sebagai dana khas presiden untuk parti.

“Itu yang Muhyiddin cakap 12 hari selepas saya pergi mahkamah. Saya tahu sebab video itu bocor. Dia juga kata tak terlibat dalam komplot nak jatuhkan Najib. Tetapi dialah yang menolak saya ke mahkamah,” katanya.

Anina berkata dia pernah melontarkan soalan kepada Datuk A Kadir Jasin mengenai pemilikan saham dalam sebuah syarikat bernama Realmild Sdn Bhd pada tahun 2000. Anina mendakwa Kadir memiliki 30 peratus saham dan Mahathir 70 peratus dalam syarikat itu yang memiliki NST, TV3 dan MRCB.

“Kadir telah membeli 30 peratus saham syarikat itu. Saya tanya Kadir mana dia dapat duit beli saham itu. Dia tak jawab. Selepas itu dia jual saham 30 peratus itu. Saya tanya dia mana pergi duit keuntungan jual saham itu kerana Realmild hak UMNO.

“Dia kata dia telah pulangkan kepada UMNO. Saya tanya kalau pulangkan kepada UMNO, kepada siapa dia serahkan duit itu? Saya tanya siapa bagi hak Kadir pegang duit UMNO atas nama peribadi dia? Dia bukan Presiden atau ahli Majlis Tertinggi. Dia kata dia boleh sebab dia kawan kepada Mahathir. Itu jawapan dia.

“Jadi 70 peratus saham Realmild untuk siapa? Dia kata tak boleh cakap. 70 peratus adalah milik Mahathir. Jadi, kalau Mahathir boleh, kenapa Najib tak boleh? Sampai hari ini Kadir dan Mahathir masing-masing tak boleh jawab. Muhyiddin dan Muhriz pun tak boleh jawab. Jadi dalam hal ini saya nampak mereka telah menipu saya dalam usaha nak jatuhkan Najib.

“Macam mana Kadir dan Mahathir pada ketika itu boleh pegang begitu banyak duit dalam akaun peribadi tetapi Najib tak boleh?"

Anina berkata, beberapa perkara telah membuka matanya betapa kerap dia ditipu, antaranya setelah samannya terhadap Najib gagal, Mahathir membuat Deklarasi Rakyat kononnya untuk menyelamatkan UMNO, diikuti dengan bekerjasama dengan Pakatan.

“Saya tanya kata kalau nak betulkan UMNO kenapa keluar dari parti dan tubuhkan parti baru? Selepas itu mereka tanya kenapa mahu bekerjasama dengan pakatan harapan. Mereka kata kena kerjasama dengan DAP kerana undi Cina penting. Kemudian duduk dalam PH kata nak selamatkan Malaysia dan jatuhkan UMNO. Sebenarnya Mahathir bukan nak menyelamatkan UMNO atau Malaysia. Cuma nak jatuhkan Najib sahaja.”

Anina juga dakwa Mukhriz dilantik menjadi pengerusi pembentukan bahagian dan cawangan PPBM seluruh Malaysia kerana dia mahu memastikan kawan-kawannya menguasai semua bahagian.

“Dia sibuk nak pastikan semua bahagian PPBM di seluruh Malaysia adalah kawan-kawan dia. Dia nak pastikan tak ada orang lawan dengan dia. Dia tak nak kalah. Dia ikut perangai Mahathir, bapa borek anak rintik,” tambahnya.

Anina berkata dia berharap PPBM dapat menyelesaikan isu perlembagaan kerana dia tidak mahu parti itu dibubarkan. Ini disebabkan dia mahu mahu melihat PPBM gugur di atas gelanggang yakni pilihanraya umum.

Anina berkata, dia mengambil keputusan membuat ceramah di seluruh negara untuk menebus dosanya memecah-belahkan orang Melayu melalui PPBM. – 13/3/2018- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 553  tetamu dalam talian