19Oktober2018

Anak Ustaz Azizan sertai UMNO...

Jika anak bekas Menteri Besar PAS Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat, Nik Omar sertai Pakatan, anak kepada bekas Menteri Besar PAS Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, Ahmad Faiq, pula mengumumkan menyertai UMNO hari ini.
 
Ahmad Faiq 31, (empat dari kiri) yang merupakan seorang peguam dan menjadi ahli PAS sejak berusia 18 tahun berkata, dia membuat keputusan untuk menyertai UMNO setelah mendapat restu daripada ibunya, Tok Puan Faekah Sheikh Hamzah.
 
"Saya telah memohon pandangan daripada ibu sebelum membuat keputusan menyertai mana-mana parti, ibu saya kata, sertailah parti apa sekalipun jangan Parti Amanah Negara (Amanah), sebab Amanah lawan ayah saya dulu.
 
"Ibu saya kata itu hak saya untuk pilih parti mana pun, kalau DAP datang lebih awal pun saya boleh masuk DAP tetapi yang datang secara baik adalah Barisan Nasional (BN)," katanya ketika ditemui selepas majlis perhimpunan jentera pilihan raya BN Parlimen Jerai pada Selasa.
 
Yang turut hadir penyandang kerusi Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, calon DUN Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail dan calon DUN Sungai Limau, Datuk Norma Awang.
 
Azizan merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah yang memimpin parti itu pada PRU-12 sehingga membolehkan pakatan rakyat ketika itu merampas Kedah daripada BN.
 
Menurut Ahmad Faiq sehingga kini ibunya tidak dapat menerima Amanah yang telah melontarkan pelbagai kritikan terhadap ayahnya.
 
Dalam pada itu, anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, sebelum membuat keputusan menyertai UMNO dia pernah bergaul dengan parti lain antaranya PAS, Amanah dan PKR.
 
"Saya cakap terus terang, saya pernah berkawan dengan orang PAS, Amanah dan PKR.
 
"Bila campur semua orang saya nampak kalau nak tolong orang melalui BN sahaja yang boleh," katanya.
 
Sementara itu, katanya, dia juga tidak kisah mengenai tohmahan mana-mana pihak yang mengaitkan keputusan itu dengan 'dedak'.
 
"Saya sertai UMNO atas hak saya di negara demokrasi, katalah apa sahaja pun," katanya.-8/5/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 596  tetamu dalam talian