17November2018

ADUN Sungai Tua Amiruddin Shari MB Selangor baharu?

Teka-teki siapakah bakal pengganti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor hampir terjawab apabila Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sungai Tua, Amiruddin Shari berkemungkinan besar mengisi jawatan penting itu.

Kemungkinan itu berikutan Amiruddin, 38, dilihat keluar daripada Istana Alam Shah di sini selepas dipercayai menghadiri majlis raptai penuh upacara angkat sumpah jawatan menteri besar kira-kira jam 6.30 petang tadi.

Bagaimanapun, usaha Bernama mendapatkan komen daripada Amiruddin gagal setelah beliau enggan memberhentikan kenderaan yang dinaikinya sebaliknya hanya melambaikan tangan ke arah sekumpulan wartawan yang menanti di luar perkarangan istana.

Terdahulu, beliau yang hadir pada majlis mengetip kad perakam waktu buat kali terakhir sebagai menteri besar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK di Shah Alam, Mohamed Azmin kelihatan tergesa-gesa meninggalkan majlis tersebut.

Mohamed Azmin, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, terpaksa melepaskan jawatan menteri besar yang disandangnya berikutan pelantikan beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Amiruddin ketika dihubungi enggan mengesahkan mengenai desas-desus beliau akan dilantik sebagai menteri besar dan sebaliknya meminta semua pihak menunggu majlis angkat sumpah jawatan yang akan diadakan esok.

"Saya akan sahkan (calon menteri besar) esok," katanya.

Amiruddin adalah Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.

Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR, hari ini mengesahkan mempersembahkan satu nama daripada parti itu sebagai calon Menteri Besar Selangor baharu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat perkenan baginda.

Selain Amiruddin, seorang lagi calon yang disebut-sebut dilantik menteri besar adalah ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad.-19/6/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 415  tetamu dalam talian