26April2018

Timor-Leste bersedia jadi anggota penuh Asean

Dalam usahanya untuk mendapat pengiktirafan global yang lebih baik, Timor-Leste, yang setakat ini hanya mempunyai status pemerhati, merasakan ia kini telah benar-benar bersedia untuk menyertai Asean sebagai anggota penuh.

Setelah memperoleh kemerdekaan dari Indonesia pada 1999, negara kepulauan tersebut percaya dengan menyertai perkumpulan Asia Tenggara itu, yang mempunyai pelan ekonomi yang hebat, akan meningkatkan statusnya dalam komuniti negara-negara dunia.

Negara itu yang mengintai peluang untuk menjadi sebahagian daripada Asean sejak 2010, telah bersiap sedia dengan prasarana yang perlu dan pembangunan ekonomi untuk menjadi sebahagian daripada blok 10 anggota itu dan menyertai
dengan aktif dalam sidang kemuncak utama Asean dan mesyuarat-mesyuarat, setiap tahun, sebagai pemerhati.

Pada 2002, East Timor diiktiraf sebagai pemerhati Asean dan menyertai Forum Serantau Asean pada 2005, yang mengukuhkan lagi komitmennya kepada perkumpulan itu.

Lagipun, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$1.40 bilion pada 2014 ditambah dengan kemajuan ekonomi dan perancangan yang meningkatkan dengan ketara kedudukannya di rantau ini, negara itu merasakan keanggotaan penuh adalah tepat pada masa, lebih-lebih lagi dengan konsep dasar memakmurkan jiran perkumpulan itu.

Untuk menjadi sebahagian daripada Asean, negara dengan penduduk yang rata-ratanya masih muda itu perlu mendapatkan kelulusan daripada semua negara anggota perkumpulan tersebut.

Terdapat beberapa negara anggota yang membantah dengan alasan Timor Leste belum cukup membangun untuk menyertai perkumpulan itu.

Tetapi kini, ia merasakan sebaliknya.

Timor-Leste, yang pernah menjadi sebahagian dari Indonesia dan diisytiharkan wilayah ke-27 Indonesia pada 1976, yang mana selepas konflik berpanjangan selama berdekad antara kumpulan pemisah dan tentera Indonesia, kerajaan Indonesia
akhirnya melepaskan kawalannya ke atas wilayah itu pada 1999.

Berdekad selepas memperoleh kemerdekaan dari Indonesia, negara itu berusaha untuk mendapat pengiktirafan dalam peta dunia, dan ia percaya dengan menyertai Asean akan meningkatkan statusnya.

Untuk tujuan ini, Timor-Leste telah menyakinkan negara anggota Asean yang ia telah bersedia untuk menyertai perkumpulan itu di samping membuktikan ia telah menunaikan tanggungjawabnya.

Bekas presiden dan perdana menteri Timor Leste Kay Rala Xanana Gusmao memberi tahu Bernama setiap negara termasuk dalam kumpulan Asean sangat menyokong penyepaduan negara itu di peringkat serantau.

"Saya datang ke sini tiga tahun lalu dan mereka semua menyokong. Kini, kami sedang menyiapkan diri kami untuk menjadi sebahagian daripada perkumpulan itu.

"Kami kini dibenarkan untuk menyertai mesyuarat, bukan sebagai ahli atau sebagai pemerhati tetapi dalam menjadi anggota blok Asean," katanya.

Gusmao, bagaimanapun turut membangkitkan kekangan negara itu dari segi kekurangan modal insan yang perlu ditangani serta diselesaikan.

Timor-Leste juga sudah mewujudkan pejabat kedutaannya di kesemua 10 negara anggota Asean yang menjadi antara syarat untuk diterima sebagai ahli baru gagasan berkenaan.

Asean dianggotai Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand serta Vietnam.

Pada November 2013, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asean, U Aung Htoo berkata Timor-Leste belum dapat menyertai Asean pada 2014 kerana tidak mempunyai pejabat kedutaan di kesemua 10 negara anggota Asean.

Sejajar usaha itu, Timor-Leste bertindak mempertingkatkan aspek infrastruktur dan pembangunannya untuk menjadi tuan rumah acara sidang kemuncak dan mesyuarat Asean selain mewujudkan pejabat diplomatiknya di kesemua ibu
negara anggota Asean.

Ekonomi Timor-Leste juga perlu bekerjasama dengan kalangan ekonomi serantau, khususnya Komuniti Ekonomi Asean dan atas alasan ini, kehadiran negara kecil ini tidak boleh dipinggirkan.

Ketika segelintir negara menyuarakan keraguan mengenai kemampuan Timor-Leste menganggotai Asean, ia sebaliknya menunaikan tanggungjawab memenuhi syarat ditetapkan, sekaligus membuktikan kesediaan Timor-Leste menjadi anggota
terbaru pertubuhan ekonomi dan geopolitik terbesar di rantau ini.

Bersandarkan prestasi Timor-Leste yang baik, tempoh sekarang disifatkan bersesuaian untuk negara-negara anggota Asean saling bekerjasama dengan negara kecil itu dan berusaha membantunya.

Ia menyamai pengalaman lampau Asean yang pernah mengorak langkah menjejaki pembangunan ekonominya. Pada masa itu, usaha berkenaan menerusi satu platform di bawah Kawasan Perdagangan Bebas Asean yang kemudiannya disertai lebih banyak negara-negara pesat membangun seperti Singapura, Malaysia, Brunei, Thailand dan Filipina.

Pada masa itu, negara-negara CLMV iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam yang mencatat pertumbuhan lebih perlahan, diberi tempoh yang adil dan sewajarnya untuk membangun.

Menyelami usaha itu serta di bawah semangat dan inspirasi sama, mengapa tidak pihak Sekretariat Asean menerima kehadiran Timor-Leste sebagai anggota baru agar ia dapat menikmati inisiatif pembangunan ekonomi, kemajuan geografi
dan sosioekonomi bagi membolehkannya mencatat kemajuan lebih pantas?

Selaras keperluan Timor-Leste bagi mendapatkan pemindahan teknologi serta kepakaran teknologi, tindakan menjadi sebahagian daripada keluarga besar Asean akan turut mempercepatkan kemajuan ekonominya.

Justeru, sudah tiba masanya bagi Sekretariat Asean untuk menimbang secara serius kehadiran Timor-Leste sebagai anggota penuh keluarga blok serantau berkenaan.

Untuk rekod, pada 2005, Timor-Leste menyatakan hasratnya untuk menjadi anggota Asean menjelang 2010.

Timor Timur secara rasmi memohon keanggotaan Asean pada 4 Mac, 2011. Selepas berakhirnya pilihan raya pada 2012, kerajaan baru Timor-Leste mengulangi kesediaannya untuk menyertai gagasan serantau berkenaan.-11/7/2016

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1060  tetamu dalam talian