15Disember2017

Tiada asas tuduh hakim tak bebas

Sejak akhir-akhir ini timbul kembali dakwaan sistem kehakiman negara tidak bebas kerana beberapa keputusan mahkamah tertinggi negara yang tidak menyebelahi pihak tertentu. Ini termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan pada 28 Julai lalu bahawa budi bicara saya selaku Peguam Negara yang termaktub di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipersoalkan.

Ada bekas Menteri Undang-Undang menulis betapa keputusan itu bukti sistem kehakiman negara tidak lagi bebas, konon ia boleh datang daripada satu seksyen Jabatan Perdana Menteri (JPM). Bekas Presiden Majlis Peguam, Tommy Thomas, sendiri menulis budi bicara saya selaku Peguam Negara memang tidak boleh dipersoalkan di bawah Perlembagaan Persekutuan tidak diambil kira.

Begitu juga keputusan berkenaan dibuat secara objektif, berdasarkan keputusan mahkamah terdahulu, juga tidak diambil kira, semata-mata kerana semuanya tidak selari dengan kehendak mereka. Perlu diingat, keputusan bahawa persoalan dikemukakan sudah dimuktamadkan oleh keputusan terdahulu ini dibuat sebulat suara oleh hakim, Tun Md Raus Sharif; hakim, Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim, Tan Sri Azahar Mohamed.

Ditegaskan juga oleh Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus pada 10 Oktober lalu bahawa sistem kehakiman negara adalah bebas dan segala keputusan yang dibuat oleh hakim berdasarkan perundangan yang ada.

Saya berani menegaskan bahawa saya dan rakan tidak pernah menerima arahan daripada pihak luar atau memberi arahan kepada mana-mana hakim bawahan dalam membuat keputusan. Menyatakan sistem kehakiman negara dipandu kepada dasar 'Melayu dahulu' atau bahawa mereka dilantik jadi hakim dari Jabatan Peguam Negara tidak bermutu adalah tidak betul.

Pelantikan hakim dibuat mengikut merit, tanpa mengira bangsa atau agama. Bekas hakim seperti Datuk Mah Weng Kwai dan bekas Presiden Majlis Peguam antara testimoni kebebasan kehakiman kita. Perlu diakui bahawa dahulu kebebasan kehakiman kita dilihat terjejas teruk apabila Ketua Hakim Negara dan Hakim Mahkamah Persekutuan dipecat pada 1988, membawa kepada skandal pelantikan hakim pada 2002. Bagaimanapun, selepas Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman diluluskan pada 2009, urusan pelantikan hakim mahkamah atasan jadi lebih telus dengan pemilihan yang berkelayakan digariskan dengan teliti.

Antaranya, 'integriti, kompetensi dan pengalaman, objektif, tidak berat sebelah, adil dan peribadi moral yang baik serta ketegasan, kebolehan membuat penghakiman tepat pada masanya dan kemahiran yang baik dalam penulisan undang-undang.'

Disebut juga dalam akta ini komitmen mendukung kebebasan badan kehakiman, termasuk perlu kepentingan awam diwakili dengan sepatutnya berkenaan dengan perkara berhubungan dengan badan kehakiman.

Dapat kita lihat selepas akta ini diperkenalkan pada 2009, tidak ada lagi pemecatan secara wewenang hakim mahkamah atasan berlaku, begitu juga dengan skandal pelantikan hakim yang tidak lagi berlaku.

Keputusan dipersetujui sebulat suara

Hakim kini jauh lebih bebas. Mahkamah Rayuan pada 25 November tahun lalu membenarkan rayuan Ahli Dewan Undangn Negeri (ADUN) Sri Muda daripada PKR, Mat Shuhaimi Shafiei bahawa Seksyen 3 (3) Akta Hasutan tidak sah. Dalam kes ini, hakim, Lim Yee Lan; hakim, Varghese George Varughese dan hakim, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal sebulat suara bersetuju seksyen ini bercanggah dengan Perkara 10(2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga dengan keputusan berani Mahkamah Persekutuan pada 20 April lalu mengembalikan kuasa kehakiman yang diberi kepada Parlimen ekoran pindaan Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan pada 1988. Keputusan ini juga dipersetujui sebulat suara oleh hakim, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; hakim, Tan Sri Hasan Lah; hakim, Tan Sri Zainun Ali; hakim, Tan Sri Abu Samah Nordin dan hakim, Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Keputusan kes Semenyih Jaya Sdn Bhd ini, malah dapat pujian tokoh perundangan negara yang melihat sedih kuasa mutlak kehakiman dilucutkan daripada mahkamah ekoran pindaan ke atas Perkara 121(1) ini.

Sebelum pindaan ini dibuat, kuasa kehakiman memang diperuntukkan sebagai termaktub dengan mahkamah, tetapi selepas pindaan, mahkamah hanya mempunyai apa-apa bidang kuasa dan kuasa diberikan oleh atau di bawah undang-undang Persekutuan.

Implikasi pindaan ke atas Perkara 121(1) ini adalah Parlimen boleh hadkan atau mengecualikan bidang kuasa dan kuasa mahkamah melalui undang-undang Persekutuan, sekali gus menjadikan mahkamah tidak bebas. Dalam kata-kata hakim, Tan Sri Zainun Ali, pindaan 1988 itu menghakis kuasa kehakiman mahkamah serta mencabul doktrin pemisahan kuasa dan kebebasan kehakiman mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Tahun gemilang sistem kehakiman

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan, dalam kes Semenyih Jaya ini memutuskan, di sebalik pindaan Perkara 121(1), kuasa kehakiman masih termaktub dengan mahkamah, sekali gus mengembalikan kebebasan kehakiman. Oleh itu, di sebalik berterus-terusan mempertikaikan kebebasan sistem kehakiman negara, pengamal dan sarjana perundangan khususnya serta rakyat Malaysia umumnya patut lihat 2017 sebagai tahun gemilang sistem kehakiman.

Sangat tidak bertanggungjawab bagi mana-mana pihak untuk mendakwa sistem kehakiman negara tidak bebas kerana ada keputusan yang tidak menyebelahi pihak tertentu sedangkan keputusan itu terbukti dibuat dengan betul. Lebih tidak bertanggungjawab apabila mereka menuduh sedemikian dengan mengabaikan sama sekali keputusan berimpak besar yang dibuat oleh mahkamah tertinggi negara seperti dalam kes Semenyih Jaya dan kes Mat Shuhaimi.

Malah, kami sebagai pendakwa raya sendiri biasa mengalami kekalahan dalam kes yang kami bawa di mahkamah, tetapi kami sangat profesional dan tidak pernah mempertikaikan kebebasan sistem kehakiman negara ekoran kekalahan itu.-23/11/2017

Penulis adalah Peguam Negara. Tulisan ini kali pertama disiarkan Berita Harian.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 944  tetamu dalam talian