13Disember2017

Simpang-siur Pakatan Harapan

Pakatan Harapan yang mahu bergerak sebagai satu kesepakatan dengan mempunyai satu logo bermula dengan langkah kiri. Malang bertimpa-timpa semasa mereka cuba untuk menjadi seperti BN. Barangkali benar­lah, kerana itu bukan sifat sebenar mereka.

Pakatan yang baru dibentuk ini cukup benci dengan BN tetapi dari satu segi mahu meniru cara BN. Saban waktu mereka memperolok-olokkan BN tetapi resmi parti itu juga yang dijadikan rujukan.

BN tunjangnya UMNO kerana UMNO parti majoriti dan mempunyai kerusi Parlimen terbanyak. Ini jauh berbeza dengan Pakatan Harapan yang ketua rasminya tidak mem­punyai kewibawaan.

Pakatan ini terpaksa berpura-pura kononnya DAP bukan ketua mereka. Jadi di depan khalayak, mereka pun menyembunyikan DAP sedangkan realitinya parti itu yang mengemudi Pakatan Harapan. Mengapakah agaknya?

Nampaknya mereka sendiri pun takut dengan wajah DAP yang dilabel cauvinis Cina itu. Bayangkan jika parti-parti sekutu tidak meyakini DAP sebagai parti pelbagai bangsa, bagaimana pula rakyat biasa?

Terpaksalah Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dilantik, bukan Lim Kit Siang mahupun Lim Guan Eng walaupun diketahui Pengerusi PKR itu tidak mampu mengurus pakatan yang penuh kompleksiti itu.

Sama juga apabila pihak-pihak pro-Pakatan Harapan mencadangkan logo PKR sebagai pilihan jika logo bersama gagal didaftarkan. Mengapa logo PKR yang baru berusia 18 tahun tetapi tidak gunakan lambang roket DAP parti yang cukup matang dengan usia 51 tahun? Nampak sangat ada sesuatu yang sengaja diselindungi.

Kegagalan yang dicipta sendiri untuk mendaftarkan logo bersama, membayangkan tiada keikhlasan dalam kalangan parti dalam pakatan itu. Tujuan mereka untuk bersama hanya satu - kepentingan sendiri.

Jadilah nanti akan saling berebut kerusi. Itu yang dibuktikan dalam banyak pilihan raya sebelum ini. Mereka bertanding melawan sesama sendiri selain BN.

Jika menang pula mereka akan berebut kuasa dan kekuasaan. Di Perak mereka sendiri yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat manakala di Selangor sehingga terpaksa mewujudkan Langkah Kajang.

Belum pun logo mereka diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan, logo dipilih dikecam netizen sebagai hodoh dan tandus kreativiti. Logo cadangan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan terpaksa diserahkan kepada orang ramai untuk dicipta semula. Lihatlah hal yang sebegini pun gagal diurus dengan baik. Mereka sekali lagi gagal walaupun dalam ujian kebersamaan yang mudah Ini.

Bagi tujuan pendaftaran, Pakatan Harapan juga perlu menyenaraikan barisan kepemimpinan mereka. Entah disengaja atau tidak, senarai nama barisan pemimpin Pakatan Harapan atau boleh dianggap sebagai ‘Kabinet Bayangan’ bocor. Kelam kabutlah mereka.

Mereka sendiri menyifatkan pembocor maklumat sebagai berniat jahat sedangkan keahlian mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan begitu terhad. Siapakah yang berniat jahat dalam kalangan kelompok tertinggi mereka itu?

Senarai protem Pakatan Harapan menimbulkan ba­nyak tanda tanya. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mewakili parti kecil PPBM diangkat sebagai penasihat. Wan Azizah sebagai pe­ngerusi manakala Guan Eng, Mohamad Sabu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai naib.

Nampak senarai ini se­perti lengkap dan adil. Sak­sama dan sama rata. Yang men­jadi tanda tanya, di ma­­nakah Lim Kit Siang? Pe­mimpin diktator 51 tahun ini yang sentiasa di depan sama ada di pentas politik mahupun perundingan di­sembunyikan. Mereka se­perti tahu risikonya me­nge­tengahkan Kit Siang.

Orang yang membuat kelam-kabut tidak lain ialah Rafizi Ramli yang memuat naik logo cadangan dalam akaun Facebook miliknya. Entah mengapa Naib Presiden PKR yang baru melepaskan jawatan Setiausaha Agung itu diberikan peranan menguruskan logo Pakatan Harapan.

Sepatutnya urusan pentadbiran sebegini dibuat oleh Datuk Saifuddin Abdullah yang ditugaskan sebagai Setiausaha Agung Pakatan Harapan. Begitulah dalam Pa­katan Harapan ini terlalu banyak perkara yang bersimpang-siur dan tidak pasti.

Rafizi sendiri merupakan personaliti yang semakin dicurigai termasuk oleh pemimpin PKR. Ulahnya sudah keterlaluan. Pertelingkahan beliau dengan pimpinan PKR sampai terbawa-bawa ke media sosial.

Rafizi yang mahu dipotretkan sebagai wira pembongkar kebenaran kini sudah bertukar imej menjadi penyebar fitnah dan berita bohong. Dakwaan terbaharunya terhadap institusi mahkamah syariah merupakan rantaian cerita berunsur fitnah yang dibuatnya sebelum ini.

Bantahan dan laporan polis oleh Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) yang turut dihadiri hakim-hakim syarie diremehkan oleh Rafizi. Beliau malah mendakwa laporan polis dibuat terhadapnya atas dakwaan memfitnah mahkamah syariah itu suatu cubaan mengheret beliau dalam isu melibatkan agama dan Melayu.

Begitulah selalunya Rafizi berhelah untuk melepaskan diri setelah ada pihak yang menyanggahnya. Kali ini helah politik tidak akan mampu melepaskan beliau daripada kemarahan kumpulan pegawai syariah yang dihormati dalam kalangan masyarakat itu.

Malangnya tiada siapa dalam PKR mahupun Pakatan Harapan yang ada keberanian menegur Ahli Parlimen Pandan ini walaupun hal sebegini akan menjarakkan parti politik ini daripada orang Islam. Begitupun hal sebegini perlu difahami dalam konteks politik Pakatan Harapan. Mereka sudah terbiasa menghina dan menfitnah orang lain. Ini sudah menjadi budaya mereka.-8/5/2017 -UTUSAN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 758  tetamu dalam talian