31Oktober2014

Siapa pemimpin masa depan PAS?

pas513
Pilihan Raya Umum Ke-13 dianggap perjuangan terakhir untuk beberapa pemimpin tertinggi Pas. Selain Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, turut dianggap berada dalam usia senja untuk terus bergelumang dalam arena politik ialah Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketika ini kedua-dua mereka terutamanya Nik Abdul Aziz dianggap tonggak utama parti itu. Pengaruh Menteri Besar Kelantan tersebut dilihat banyak mencorakkan perjalanan politik Pas.

Bagaimanapun perjalanan politik Pas dari semasa ke semasa tidak lagi memungkinkan ulama menjadi pilihan ahli-ahli parti itu untuk memegang teraju utama kepimpinan.

Berikutan itu pilihan raya umum akan datang dikatakan akan menjadi medan kepada Pas untuk mengatur barisan kepimpinan masa depan parti itu tanpa menjadikan latar belakang seseorang itu ulama atau profesional sebagai sandaran.

Apa yang paling penting bagi Pas ialah mengatur satu barisan kepimpinan yang dilihat mampu bersama-sama menerajui negara jika pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.

Tumpuan utama sudah pastilah diberikan kepada penyandang jawatan tertinggi atau kanan dalam parti itu seperti kedudukan Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Pemilihan Mohamad Sabu atau Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden dengan diperkuatkan lagi oleh tiga naib presiden yang bukan daripada golongan ulama sudah menunjukkan hasrat ahli-ahli Pas untuk mengubah corak kepimpinan parti berkenaan.

Justeru mahu tidak mahu kita harus menerima hakikat bahawa mereka yang dipilih oleh ahli-ahli Pas adalah pemimpin masa depan parti itu termasuklah Mat Sabu.

Biarpun ramai yang melihat kemenangan Mat Sabu dalam pemilihan lalu kerana berlaku perpecahan undi berikutan penyertaan dua calon daripada golongan ulama iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Nasharudin Mat Isa, namun yang pasti Mat Sabu menjadi pilihan ahli-ahli Pas.

Walaupun tidak menjadi Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri namun Mat Sabu dianggap salah seorang pemimpin berpengaruh dalam Pas.

Ceramah-ceramahnya sentiasa dihadiri oleh ribuan orang dan beliau dianggap penarik kepada orang ramai untuk menghadiri ceramah Pas.

Selain itu hubungan rapat beliau dengan pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dikatakan satu kelebihan dalam usaha Pas memperkukuhkan hubungan dalam pakatan pembangkang.

Oleh itu ramai pemerhati politik melihat tiada cacat celanya jika Mat Sabu terus berada dalam kepimpinan tertinggi Pas termasuk menggantikan Abdul Hadi.

Memang benar Mat Sabu bukan seorang ulama tetapi beliaulah salah seorang yang bertanggungjawab memperkasakan kepimpinan ulama dalam Pas ketika berada dalam Dewan Pemuda Pas pusat dahulu.

Justeru kehadiran Mat Sabu tidak boleh dilihat boleh menggugat atau menjejaskan kepimpinan ulama kerana pemimpin-pemimpin Pas sendiri dalam banyak kenyataan tetap mempertahankan bahawa ulama masih berkuasa memandangkan adanya Majlis Syura Ulama yang mempunyai kuasa pemutus terhadap perjalanan politik parti itu.

Mungkin ada yang melihat Mat Sabu tidak sesuai menjadi pemimpin utama Pas kerana beliau bukan ulama tetapi kita harus ingat beliau berada pada kedudukan sekarang bukan melalui pelantikan tetapi pemilihan.

Ia bermakna ahli-ahli Pas mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap beliau untuk menjadi pemimpin masa depan parti itu.

Dari segi rekod perjalanan politik, ada yang berpendapat Mat Sabu lebih hebat berbanding sesetengah ulama dalam Pas kerana selain bermula daripada bawah, Mat Sabu sudah dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana perjuangan politiknya.

Selain Mat Sabu, turut dilihat mampu menjadi pemimpin masa depan Pas ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar. Di Kedah, beliau disebut-sebut bakal menggantikan Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar, sekiranya Pas terus memerintah negeri itu.

Kredibiliti Mahfuz di peringkat pusat dan sentiasa sahaja dilihat ke depan dalam pelbagai isu telah memberikan keyakinan kepada ahli-ahli Pas untuk meletakkan Mahfuz sebagai pemimpin masa depan Pas.

Di Selangor pula, kelantangan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sering mendapat perhatian. Beliau juga dikatakan lebih menonjol berbanding pemimpin-pemimpin Pas lain di negeri itu.

Sikap Khalid yang sentiasa berani menyatakan pendiriannya dalam sesuatu isu turut membolehkan beliau dilihat pemimpin yang harus diberikan perhatian oleh ahli-ahli Pas.

Bagaimanapun tumpuan juga harus diberikan kepada Salahudin Ayub yang kini diberi tugas khas oleh Pas untuk menawan Johor.

Walaupun menjalankan tugas dengan cemerlang di kawasan Parlimen tersebut di Kelantan namun ia masih belum mencukupi memandangkan sudah ada ura-ura Pas Kelantan ingin meletakkan calon dalam kalangan anak tempatan untuk bertanding di semua kerusi di negeri itu.

Bagaimanapun Kelantan dijangka meneruskan tradisi kepimpinan ulamanya selepas Nik Abdul Aziz berundur. Ia berikutan kenyataan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah yang menegaskan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakcob yang juga seorang ulama paling sesuai menggantikan Nik Abdul Aziz.

Namun begitu Mohd. Amar juga dilihat pemimpin masa depan Pas Kelantan kerana dalam kalangan ulama, beliau dikatakan mempunyai potensi untuk menggantikan kedudukan Nik Abdul Aziz atau Ahmad Yakcob.

Di Terengganu pula, Pas negeri itu tidak ada masalah kerana Pesuruhjayanya, Mohd.Wahid Endut dianggap calon paling layak.

Secara keseluruhannya, jika dikaji kepimpinan Pas sama ada di peringkat pusat mahupun negeri-negeri sudah jelas membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin daripada golongan profesional kini menjadi sandaran utama untuk menjadi pemimpin masa depan Pas.

Walaupun di dalam Pas ada pemimpin-pemimpin muda bertaraf ulama termasuk Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan dan Timbalannya, Nik Abduh Nik Aziz namun mereka dikatakan masih belum mempunyai aura untuk diketengahkan sebagai pemimpin-pemimpin utama.

Sebab itulah dalam kalangan penyokong Pas sendiri yang dihubungi oleh penulis percaya pemilihan calon dalam pilihan raya umum nanti adalah gambaran corak masa depan kepimpinan Pas.

Selain itu, sudah tentulah dalam usaha Pas memburu undi kaum bukan Melayu, parti itu tidak akan menyenaraikan terlalu ramai calon bertaraf ulama kerana kerjasama dengan PKR dan DAP memerlukan mereka membuat sedikit penyesuaian.

Lagi pun tiada apa yang perlu dirisaukan oleh penyokong Pas kerana Abdul Hadi sendiri sudah mengiktiraf semua calon yang terpilih dalam pemilihan lalu adalah barisan pilihan raya.

Dan Abdul Hadi juga menyatakan Pas sudah menyampaikan persefahaman dengan DAP berhubung perjuangan Islamnya.

Oleh itu, sama ada ulama atau tidak sudah tidak penting lagi kerana apa yang lebih utama ialah memiliki satu barisan kepimpinan yang mampu bekerjasama dengan PKR dan DAP mencapai impian menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Bukankah itu matlamat Pas selama ini?-5/11/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 932  tetamu dalam talian