02Oktober2014

Siapa MB Perak selepas PRU13?

Bagi kebanyakan wartawan di Ipoh cerita mengenai Perak bakal mendapat Menteri Besar (MB) baru sudah lama sampai ke telinga. Namun mereka agak berhati-hati dengan berita seperti ini. Melaporkan sesuatu yang tidak berasas jauh sekali bersifat spekulatif  tidak ada dalam kurikulum kewartawanan profesional. 

Begitu pun, disebabkan ada yang melihat banyak pokok bergoyang walaupun tanpa angin, ayuh kita lihat apakah terdapat asas kononnya MB Perak kini perlu ditukarkan selepas PRU 13.

Bukan tujuan saya mengajak pembaca menilai Perak atau MBnya berasaskan berapa banyak pokok yang ditebang, tetapi bagi mereka yang baru dengan politik Perak serta bergantung kepada maklumat “second hand,” Perak ketika ini sedang berada di landasan betul.

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir adalah MB ke-11 dan anak jati Pangkor pertama dalam sejarah politik Perak dipertanggungjawabkan ke jawatan berkenaan. Kalau tak bukan kerana kejatuhan Pakatan Rakyat pada 2009, Perak hari ini mungkin masih dikuasai PR dan tidak mustahil terus berada dalam keadaan kucar-kacir. Inilah ketentuan ALLAH. Kita perlu percaya pada qadak dan qadar.

Zambry sedar walaupun ramai yang yakin dengan prestasi kerjanya sepanjang hampir empat tahun, tapi terdapat juga segelintir yang sangsi. Lebih dari itu ada pihak terutama mereka yang duduk di sebelah pembangkang macam berdoa agar Perak mendapat MB baru.

Justeru, kedudukan Zambry diberi pelbagai tafsiran dengan harapan ia boleh menukar rentak BN dan Umno negeri bagi menghadapi PRU ke13. Hal ini menyebabkan media arus perdana melihat isu ini boleh menjejaskan persepsi rakyat terhadap BN.

Sepanjang empat tahun sejak Zambry menjadi MB tidak ada protes secara rasmi atau tidak rasmi disuarakan dalam Umno Perak. Dengan kata lain, kalau ada yang mendakwa wujud rasa tidak puas hati, ia hanya satu pandangan. Cerita Geng 14 tak lebih dari dongeng sebelum tidur, khusus menjelang pilihan raya.

Zambry seorang Exco semasa Tan Sri Tajol Rosli Ghazali menjadi MB sebelum dipilih sebulat suara selaku MB berikutan tumbangnya kerajaan PR. Sultan Perak merestui BN membentuk kerajaan baru kerana PR sudah tidak relevan dalam konteks demokrasi.

Seperti disebut awal, politik boleh saja menukar temponya. Dari sebuah cerita kurang menarik seperti pembinaan keretapi laju di Perak membawa kepada cerita perpecahan dalam PR, ia tidak berakhir begitu saja.

Justeru ia tidak mengejutkan apabila ketika berada di ibu kota sempena Perhimpunan Agung Umno ke-66 baru-baru ini, Zambry antara lain mengesahkan beliau dipersetujui oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak menjadi jeneral perang di Perak dalam PRU 13.

Komen beliau: “Ini bukan saya boleh tentukan. Saya tidak pernah meminta sebelum ini, tetapi Presiden (Umno) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sudah memaklumkan saya untuk mengepalai bala tentera di Perak ini, you kena fahamlah, mana boleh ada jeneral ke tempat lain kalau sudah mengetuai (sesuatu tempat).”

Walaupun ia tidak bercakap secara khusus, sama ada akan bertanding di DUN Pangkor ataupun berpindah ke kawasan Parlimen, kenyataan itu tak perlu ditafsir lebih-lebih. Ia boleh saja kita ibaratkan sudah terang lagi bersuluh.

Najib sebagai Menteri Pertahanan tentu dapat mengenal pasti kualiti seseorang jeneral perang. Kerana perang kali ini dalam skala yang lebih sengit menentukan sama ada BN atau PR yang menjadi pemerintah baru. Silap strategi bukan saja Perak kembali ke PR, Putrajaya barangkali terlepas.

Kini selaku jeneral yang dipertanggungjawabkan oleh PM membawa bala tentera ke medan perang, Zambry adalah pilihan tepat. Dalam konteks Perak, tidak ada jeneral sanggup dikerah ke medan pertempuran yang tidak menjanjikan kemenangan. DS Dr Ahmad Zahid Hamidi ataupun DS Nazri Aziz dilihat kurang berminat berkhidmat di Perak kerana sumbangan mereka lebih diperlukan di Putrajaya. Najib tentu setuju dengan pendirian kedua-duanya.

Empat tahun sudah berlalu tanpa kedengaran Zambry tidak disenangi oleh ahli-ahli Umno. Dan untuk ‘ibu segala perang’ politik nanti, Zambry sudah lebih daripada bersedia mengibar panji-panji BN dan insya-Allah membawa kejayaan besar.-14/12/2012 -Sinarharian

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 359  tetamu dalam talian